Wednesday, September 30, 2009

Anda Pernah Bertanya Tentang Puasa Enam?

Kepada yang pernah bertanya kepada saya, sila rujuk di sini untuk lebih kepastian.
Razak Nordin berpesan ; Pilihlah yang terbaik untuk diri anda dalam "kekhilafan" pandangan yang berlaku. Jangan sesekali berhenti beramal dan sentiasalah mencari yang terbaik untuk hidup ini. Sesungguhnya ilmu Allah itu terlalu luas untuk di"gali" dan di"terokai". Tuntutlah ia dari buaian hingga ke liang lahad. Jika masih ada kekeliruan, jangan malu bertanya kepada yang lebih mengetahui.

Tuesday, September 29, 2009

Ya Allah, Hanya PadaMu Ku Mohon Kekuatan

Sebetulnya "semangat dalaman" diri ini belum pulih sepenuhnya. Hanya pada Allah Yang Maha Esa ku mohon agar "semangat dalaman" itu akan pulih secepat mungkin. Kehilangan ibu tercinta pergi mengadap Ilahi pada pagi Syawal 1430H yang baru lalu masih membekas di hati ini. Semoga rohnya di rahmati Allah selamanya. Perjalanan sesudah subuh di pagi 1 Syawal 1430H dari Kuala Kangsar ke Marang, Terengganu cukup menguji ketabahan dan menuntut penyerahan diri yang paling maksima pada Allah Yang Maha Esa. Dalam kepasrahan itu, aku gagahi pemanduan bersama isteri dan anak-anak tercinta. Ibu tidak sedarkan diri selepas terjatuh dan setelah di"scan" didapati saluran darah dalam kepala ibu telah pecah. Ketika menerima perkhabaran itu, aku sudah pasrah bahawa harapan untuk ibu kembali sembuh hanyalah 1%. Dalam kepasrahan itu aku masih menadah tangan sambil mengharapkan keajaiban dari Allah S.W.T. Hanya keajaiban milik Allah. Ketentuan Tuhan akhirnya tiba juga. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk ibu tercinta. Setiba di kawasan Tasik Banding, aku menerima sms dari Maxis bahawa ada panggilan yang "tidak boleh masuk" kerana masalah tiada "line". Bila aku telefon kembali nombor telefon tersebut, adik ipar memaklumkan bahawa ibu telah tiada dan akan dibawa ke rumah Tok di Kampung Jenang, Marang, Terengganu. Serentak itu juga entah berapa banyak airmata ini menitik ke bumi milik Allah ini di pagi 1 Syawal itu.
Bukan aku tidak redha dengan ketentuan Ilahi. Perjalanan hidup yang pernah dilalui oleh ibu tercinta membuatkan perasaan ini terlalu hiba untuk di kenang lalu menjatuhkan manik-manik jernih yang sedikit mendamaikan jiwa. Semuanya biarlah ku simpan dalam memori hidup ini sampai bila-bila pun. Akhirnya ibu pergi bersama "kerinduan" kepada anak-anak serta cucu-cucu yang akan terubat di Syurga, Insyaallah.
Apapun aku bersyukur kerana sempat juga bersama-sama memandi, mengkafan, menyembahyang serta menguburkan jenayah ibu bersama Mak Da serta adik beradik yang lain untuk bersemadi di tanah tumpah darahnya setelah lama ibu berkelana mencari "kedamaian" hidup. Titik.
Kesempatan ini aku ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada ;
1. Abang Mad dan Kak Nor yang banyak bersusah payah sehingga selesai segalanya.
2. Semua adik -adik yang lain serta ipar-ipar kerana sanggup mengorbankan kemeriahan raya masing-masing.
3. Tok serta mak-mak saudara sebelah mak yang banyak membantu.
4. Penduduk-penduduk kampung Jenang, Marang, Terengganu yang banyak membantu.
5. Pihak Hospital Paka, Hospital Dungun dan juga Hospital Kuala Terengganu .
Seterus mohon maaf banyak-banyak ;
1. Pada isteri dan anak-anak serta keluarga mertuaku kerana "mengambil" giliran raya yang sepatutnya di Kuala Kangsar tahun ini.
2. Pada kawan-kawan yang hantar SMS Hari Raya tetapi tidak berbalas. Hakikatnya aku amat menghargai semua SMS kalian tetapi malangnya aku tiada kekuatan untuk membalasnya saat itu.
3. Pada semua pelajar SHK 4, DSK 4, DIP 3 dan DOE 3 jika kelas minggu ini agak "kurang bermaya". Sesungguhnya saya sentiasa berusaha dan berazam memberikan yang terbaik untuk anda sekalian. Walaupun adakalanya terpaksa menyembunyikan kesedihan hati serta gagahkan diri walaupun badan ini tidaklah "sihat sangat", demam-demam, sakit-sakit badan, serta kepala yang masih pening-pening. Segalanya kerana aku amat menyintai bidang ini serta kalian semuanya. Berkat asuhan ibu juga.
Razak Nordin berpesan ; Ibu...terima kasih atas segalanya. Tiada lagi pelukan dan airmatamu untuk anak kedua ibu ini.
Razak Nordin berpesan ; Buat adik beradik..marilah kita berdoa memohon rahmat Allah S.W.T. moga kita semua dipertemukan dengan ibu di Syurga yang abadi dan kekal di dalamnya. Ingat pesan ibu selalu..Jaga solat..jaga solat..jaga solat...

Thursday, September 17, 2009

Dari Kedekatan Dan Kejauhan ini

Insyaallah jika diizinkan Allah s.w.t. kami sekelurga akan bertolak ke Taman Lela Kamunting, Taiping, Perak seawal mungkin pagi esok untuk menyambut Aidilfitri kali ini. Doakan semoga perjalanan kami di bawah rahmat Allah selamanya. Kesempatan ini aku ingin mengucapkan selamat hari raya Aidil Fitri buat sesiapa sahaja yang pernah dan sedang mengenali diriku RAZAK BIN NORDIN. NO KP : 720704-11-5419. BERASAL DARI KAMPUNG BUKIT KULIM, 21600 MARANG TERENGGANU.
Kat PTSS ;
1. Ustaz Yasir bin Othman sekeluarga dengan ucapan bila lagi buka "cawangan" baru.
2. Hamdan bin Zakaria sekeluarga dengan ucapan semoga terus tabah di Aidilfitri ini
3. Semua blogger kat JPA yang ada link dengan pokok-kayu.blogspot.com ( Mata Gembira, FizahGhazali, DBA4624 yang khabar sedang berseronok dan "dua ronok" di Kg Kelubi, Pasir Putih dengan ucapan jangan lupa bawak kuih taik itik(bukan taik yang betul)
4. Azmiah Aziz di JMSK dengan ucapan jagalah rezeki Allah itu baik-baik dan sesekali jangan berhenti berdoa.
5. Puan Iliza Misnan dengan ucapan selamat memandu MPV baru.
6. Nadzri bin Che Kamis dengan ucapan jangan lupa kerepok lekor "ganung" bila balik raya nanti. Jika perlukan "pendahuluan" habaq ye.
7. Semua pelajar SHK 4 Sesi Julai 2009.
8. Semua pelajar DSK 4 Sesi Julai 2009.
9. Semua pelajar DIP 3 Sesi Julai 2009.
10. Semua pelajar DOE 3 Sesi Julai 2009.
11. Semua pelajar PTSS yang pernah bersama saya dulu-dulu.
Untuk 7 hingga 11. Semoga terus suksess dan ampun maaf di pinta jika ada kesilapan sepanjang kita bersama.
Yang jauh di mata ;
1. Cik dan Mak dengan ucapan, terima kasih atas segalanya. Akhirnya aku jadi "sesuatu" juga.
2. Adik beradik
i. Abang Mad sekeluarga di Kg. Bukit Kulim, Marang, Terengganu.
ii. Adik-adik-Yah sekeluarga di Padang Serai.
iii. Zaliha dan Mohd Shukri di Kg. Bukit Kulim, Marang Terengganu.
iv. Adik Na sekeluraga di Chini, Pahang-semoga tabah dalam mengejar cita-cita dalam kepayahan itu.
Buat semua adik-adikku, kerinduan ini sentiasa bersama kalian.
Kawan yang pernah singgah di sudut hati ini ;
1. Mansor Yusof sekeluarga di Teluk Intan dengan ucapan hati-hati memandu ke Terengganu.
2. Abdul Aziz Mohamad sekeluarga di Sekudai, Johor dengan ucapan yang serupa.
3. Yusaini Mohd Ali di Kulim,Kedah dengan ucapan terima kasih atas jasa baik selama ini.
4. Mohd Embong di Ipoh, Perak.
5. Mat Uki di Kg. Barat, Marang, Terengganu.
6. Sauber di PKK, Sabah.
7. Kerol juga di PKK, Sabah.
8. Ad dan Ima di PKK, Sabah.
Dan semua yang pernah mengenali diri ini sama yang di tulis nama atau yang tidak di tuliskan di sini. Tidak lupa semua pengunjung pokok-kayu.blogspot.com sama ada yang mengenali diri ini atau tidak. Teruskan kunjungan anda.
Razak Nordin berpesan ; Ampun maaf atas segala kesilapan.

Tuesday, September 15, 2009

Suatu Sudut Pandang

"Aku tidak setuju tanya soalan macam itu. Kenapa mesti ditanya berapa helai baju rayanya tahun ini. Kenapa mesti ditanya jenama apa baju dan seluarnya. Beli di mana, di Hari-Hari atau di Kamdar atau Wah Seah atau Gene Martino (tul ke ejaannya). Sekadar menyebut beberapa nama. Tak ada soalan atau ucapan lainkah yang lebih manis dan enak didengar serta mendamaikan jiwa, misalnya ceria nampak nak sambut raya kali ni, selamat berbahagia selalu. You ni nampak makin "slimlah' menjelang akhir Ramadhan ni, lepas Ramdhan nanti bolehlah sambung dengan puasa 6 hari di bulan Syawal pulok, pahala dapat, "slim" pun dapat ". Aku membangkang sepenuh-penuhnya soalan seperti itu dengan "bercakap sendirian dengan diri".
Itu bukan dialog yang terzahir dengan kata-kata. Cuma "monolog" dalaman dari keresahan dan kegelisahan hati kecilku apabila aku mendengar ada orang bertanya soalan seperti itu.
Mungkin bagi "sesetengah" orang pertanyaan seperti itu biasa sahaja. Tidak mengguris mana-mana pun. Sama ada fizikal, hati, nurani dan perasaan. Soalnya, bagaimamana pula perasaan "sesetengah" orang yang tidak atau kurang bernasib baik. Atau aku lebih suka guna istilah ''kurang rezeki dalam bentuk kewangan" yang barangkali membantutkan "kuasa" membeli sesetengah orang itu.
Nampak kecil tapi hati terguris siapa yang tahu. Barangkali perkongsian pengalaman hidup. Aku orang "kurang berada"(susahlah jugak dalam meneruskan hidup) dulu-dulu, walaupun hari ini tidaklah kaya sangat dan tidaklah senang sangat, tapi tidaklah "susah-susah" macam dulu-dulu lagi, tapi syukur alhamdulillah, lebih baik berbanding dulu-dulu. Aku tahu "pedihnya" hati dan "perasaan" bila soalan seperti itu ditanyakan kepada aku.
Apa tidaknya. Untuk aku memiliki hanya sepasang baju raya, aku terpaksa "menderita hati dan perasaan". Menjelang hujung Ramadhan barulah dapat membelinya. Itu kalau ada rezeki lebih, jika tidak, pakailah mana yang ada. Memahami kesusahan Cik dan Mak mencari "pitis" untuk sesuap nasi dan secubit lauk ketika itu. Aku redha dalam "dendam halus". Inikan pula ingin memiliki beberapa pasang baju dan seluar raya. Selalunya Cik akan membawa aku ke rumah arwah pak cik Mat untuk memilih pakaian raya. Seberang jalan sahaja, tidak jauh pun, kira-kira 2 minit perjalanan menggunakan kaki dengan kelajuan biasa. Itu hanya sekelumit kecil pengalaman "kecil" aku. KFC pun pertama kali aku masuk ketika berumur 30 tahun lebih. Itu pun setelah memiliki pekerjaan dan gaji sendiri. Nak order pun masih takut-takut masa itu. "Main" tunjuk nombor sahaja kemudian bayar dan "belah" cepat-cepat. Pertama kalinya di KFC sebelah hentian Puduraya Kuala Lumpur. Sekarang ini sudah beralih ke FC baru. Namanya Radix Freid Chicken( RFC) . "Kuno"nya aku atas kepayahan yang pernah aku alami dalam meneruskan hidup ini. Padahal dari zaman sekolah menengah lagi aku biasa mendengar nama-nama seperti KFC dan A&W. Ingatkan kereta. Rupanya kereta lain pula. BMW ejanya. Tidak termasuk lagi "celeng buluh" (tabung untuk simpan duit yang diperbuat dari batang buluh) abang Mad "terpaksa" beberapa kali dipecahkan hanya untuk sekilo gula. Dan aku pernah "dimarah" oleh abang Mad hanya kerana "sebatang jeruk kelubi" yang berharga 10 sen satu. Dan hari ini aku sudah "memahami"nya. Semua pasal "kurang duit". Senang cakap kemiskinan melata yang sedikit sebanyak menjadikan aku seperti hari ini. Mudah tersentuh bila bercakap soal kesusahan hidup. Kalau lahir dalam keluarga mewah dan berada, nak cakap pasal kesusahan dan keperitan hidup petani dan nelayan. Belahlah.Belahlah.Belahlah. Tidak ada maknanya. Hanya retorik kosong. Kehebatan yang tidak hebat mana pun. Titik.
Sekarang ini kalau ingin shopping mesti "naik kereta". Ke mana? Changlun, alah tak mainlah Changlun. Kodiang lagilah "jauh panggang dari bara". "Tak masaklah ikan tu nampaknya". Pekan Pauh, tidak ada dalam senarai pendek. Paling tidak Jitra, lagi ada umph..Alor Setar, "rajin" lagi ke Sungai Petani. Lagi dahsyat ada yang sanggup sampai ke Penang. Masa itu mana ada Wah Seah Maju, Hari-Hari ke, jauh sekali Butik BTM, Gene Martino, GMV pula tidak pernah dengar pun, Cap Bujang Senang(Buaya), Dunhill dan macam-macam "lambang kemewahan" lagi. Itu tidak termasuk yang pergi "shopping" sampai ke luar negara untuk persiapan raya. Apa kejadahnya semua itu. Harapkan pagar, pagar tak buat lagi. Akhirnya......
Itu orang berduit. Bila isteri bercerita tentang rancangan yang disiarkan di TV1 dan TV3 tentang bagaimana sesetengah orang-orang susah menyambut Ramadhan, apatah lagi ingin menyambut hari raya tidak lama lagi. Hati kecil ini berkata ; Cukuplah bertanya berapa pasang baju raya tahun ini. Jenama apa? Beli di mana? Tapi katakanlah, tadahkan tanganmu sahabatku , ku ingin hulurkan sesuatu. Untuk dunia dan akhirat jua.
Razak Nordin berpesan ; Siapa peduli!!!!Buat bekas guru-guruku, Cikgu!!! cukuplah bertanya soalan itu, janganlah bertanya lagi di dalam kelas apa kerja bapaku dan ibuku. Tanyalah siapa aku hari ini. Jangan ditanya lagi awalnya, tapi tanyalah kesudahannya bagaimana....Amin.

Sunday, September 13, 2009

Terpulanglah!!!!

"Suami orang Johor juga ke" aku sekadar bertanya. Aku pun tidak ingat bagaimana soalan itu boleh muncul dari jari jemari ini lalu terbentuk dalam bentuk tulisan di skrin.
Dia membalas "Ya, Johor juga, senang sikit, bila time raya tak payah gaduh-gaduh" tulisnya jujur pada firasat aku.
"Saya tak kisah, tahun ni raya kat Perak, tahun lepas kat Terengganu dah". jawabku juga sejujurnya.
Barangkali anda juga selalu mendengar dialog seperti ini ;
"Tahun ni raya mana"
"Tahun ni raya kat Perak saja ke, tak balik Terengganu ke ?"
"Tak kot, saya kalau raya balik gilir-gilir je, tak kisah sangat"
"Saya hari pertama di Ipoh, raya kedua pula di Kedah, nak buat macam mana, dah jadi budaya macam tu" nada yang "semacam" ada keresahan di jiwa kecil.
"Saya hari raya pertama mesti umah mak saya, hari kedua terpulanglah"
Itu antara dialog-dialog popular menjelang hari raya. Dan aku juga seakan-akan terikut dengan budaya bertanya seperti di atas.
Penting sangat ke?
Penting. Jika soalan itu "bermatlamatkan" untuk mengakrabkan lagi kasih sayang, kemesraan dan silaturrahim sesama kita. "Daripada tidak ada langsung perkara yang hendak dibualkan", maka keluarlah dialog-dialog seperti di atas. Bukan untuk mencari jawapan pun kepada persoalan sebenarnya. Sekadar "memanaskan" suasana yang dingin dan hambar dengan "mood" hari raya yang semakin terasa. Adakalanya seakan-akan menjadikan manusia tidak lagi efektif untuk bekerja di minggu-minggu terakhir ini. Patutkah begitu? Sekadar persoalan, jawapannya tunggu coretan lain menyusul.
Secara peribadi. Tidaklah penting sangat. Jika "bermatlamatkan" ingin menilai "kegembiraan" dan "keseronokan" menyambut hari raya berdasarkan tempat dan lokasi yang di sambut hari raya itu.
Aku salah seorang manusia yang "tidak berapa setuju " bahawa kebahagiaan, kegembiraan dan keseronokan "disandarkan" kepada faktor tempat dan lokasi semata. Mungkin ada juga betulnya teori ini, tapi pada aku itu bukan penentu yang mutlak sebuah "kebahagiaan", "kegembiraan" dan "keseronokan" itu.
Hakikatnya, manusia mempunyai dua unsur dalam penciptaannya. Jasmani dan rohani. "Keseronokan" fizikal dan juga "keseronokan" hati nurani. Untuk menjadikan manusia "bahagia,gembira dan seronok", kepuasaan ke dua-dua unsur tersebut mestilah dipenuhi "seadilnya." Itu sebahagian pengalaman hidup. Antara kita mungkin berbeza.
Untuk menilai "bahagia,gembira,seronok" selalunya bermula dihati. Hati "gembira, bahagia dan seronok" akan memaparkan wajah yang ceria, tingkahlaku yang menyenangkan, tutur kata yang lunak dan segala macam yang "baik-baik" belaka insyaallah. Ini juga sebahagian pengalaman hidup. Sekali lagi, kau dan aku mungkin berbeza.
Terpulanglah. Pilihlah yang terbaik untuk menikmati hidup ini sebaik-baiknya.
Sama ada di ;
Kg. Kelubi, Pasir Putih, Kelantan.
Bukit Besar, Kedah.
Kuala Kangsar, Perak.
Taman Lela, Kamunting.
Lekir, Manjung, Perak.
Kuala Nerang, Kedah.
Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Kg. Bukit Kulim, Marang.Terengganu.
Beserah, Kuantan , Pahang.
Titi Gajah, Alor Setar, Kedah.
Ayer Itam, Kedah.
Kg. Lana Bulu, Kerpan Kedah.
Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan.
Aku doakan anda semua "bahagia" mengikut "ukuran" dan "kepercayaan" masing-masing. Bahagialah dengan cara anda. Tiada siapa boleh menidakkanya. Tapi ingat!!! jangan sesekali melanggar batasan agama dalam mengejar semua itu. Itu pasti. Kepercayaan setiap mukmin. Iman namanya. Menjadikan hidup ini mempunyai "maknanya". Jika tidak, maka "tiada maknanya."
Razak Nordin berpesan ; Aku masih percaya bahawa "tidaklah penting sangat" di mana kita berada, yang penting adalah kita bahagia di mana-mana kita berada itu.

Saturday, September 12, 2009

Nilainya Pada Ikhlas Bukan Jumlahnya

Idea ingin menulis tentang perkara ini muncul selepas sahur pagi tadi lebih kurang 15 minit menjelang subuhlah. Waktu imsak.
Puncanya. Apabila isteriku sambil-sambil menyapu lantai, "bercerita-cerita" dan minta "pandanganku" tentang jumlah duit raya yang "sesuai" hendak diberikan kepada anak-anak istimewa di sekolahnya yang seramai 35 orang itu.
Setengahnya ada yang kata, cukuplah bagi seringgit seorang sahaja. Hujahnya mudah, kitakan ramai. Kalau kita bagi seringgit seorang, banyaklah juga dapat anak-anak istimewa itu.
"Umi nak bagi RM 2 seorang" kata isteriku sambil tangannya masih lagi menyapu-nyapu lantai.
Aku masih diam tanpa sebarang komen, ya pun tidak, tidak pun tidak. Sambil mata melayan aksi Aggasi dan James Blake bertarung di gelanggang Astro Channel 816 sambil mata menjeling jam di dinding menantikan masuknya waktu solat subuh. Bagiku, itu ayat pernyataan bukan pertanyaan. Maknanya ia tidak memerlukan jawapan. Sekadar melepaskan "keresahan jiwa."
Apabila melihat aku hanya diam tanpa sebarang komen dan pandangan, lalu isteriku memanjangkan sesi tersebut dengan pertanyaan ini ;
" Ke abang rasa macam mana" pertanyaan yang ku kira memerlukan jawapan segera, tepat dan memuaskan. Jawapan meleret-leret mungkin menimbulkan persoalan lain pula di subuh hari yang dingin itu.
"Tak payah fikirlah pasal jumlahnya, bagi jerlah berapa yang nak bagi, yang penting ikhlas" aku memberi kata putus dan harap-harap tidak ada soalan berbangkit selepas itu. Ringkas dan tepat pada perkiraan aku.
Barangkali inilah yang banyak berlaku dalam persekitaran kita. Ingat, nilainya pada ikhlas bukan pada jumlahnya semata. Ikhlas dengan jumlah yang banyak lagi baik. Sedikit yang ikhlas dengan banyak yang tidak ikhlas terlalu jauh "perbezaannya".
Dalam kursus Tamadun Islam, salah satu topik yang disentuh ialah mengenai akhlak. Imam al Ghazali menjelaskan bahawa akhlak ialah suatu sifat yang tertanam sebati dalam diri seseorang dan dari sifat-sifat itu melahirkan perbuatan-perbuatan tanpa berfikir dan pertimbangan fikiran. "Kayu ukur" kepada akhlak adalah agama. Bila agama erti mesti ikhlas jika ingin sesuatu itu "bernilai" di sisi Allah s.w.t. Moral "kayu ukurnya" masyarakat yang boleh menerima sesuatu perkara itu atas dasar rasionalnya tetapi belum tentu agama menerimanya. Etika "kayu ukurnya" , buku atau set peraturan undang-undang dan adakalanya untuk menunjuk-nunjuk dan keterpaksaan serta ada unsur ketidakikhlasan dalam membuat sesuatu.
Selepas aku memberikan jawapan tersebut, isteriku hanya diam dan "meneruskan' kerja-kerja sapu-menyapunya. Kalau dalam "bab" pinang meminang dikatakan "diam tu tanda setuju". Dalam hal ini pun harap-harap begitulah. Pandangan diberi dengan ilmu. Menerima pula mesti dengan kepercayaan. Baru ada titik pertemuan.
Ku tinggalkan isteriku dengan "jawapan" itu. Mandi, bersiap dan terus ke Pusat Islam untuk solat subuh. Selepas kuliah subuh, balik rumah lalu ku tumpahkan lontaran idea ini di alam blog ini. Harap-harap ada manfaat untuk aku dan kau juga.
Razak Nordin berpesan ; Adakalanya kita buntu dan kaku bukan kerana "sejuknya" udara.
Bilik tepi
D1-1.1
Kuarters PTSS

Friday, September 11, 2009

Baru Ku Tahu(Sebenarnya Aku Belum Tahu)

Bukan sekali aku pernah mendengar dan barangkali anda juga, ungkapan seperti di bawah ini ;
1. Alah, kerja dah ada, apa nak lagi. Oklah tu.
2. Alah, anak bini dah ada, nak fikir apa lagi. Tak bahagia lagi ke.
3. Alah, kereta dah ada, rumah dah ada, apa lagi yang kau nak???
4. Tidak lengkap lagi ke hidup kamu ni , apa lagi kamu nak, kerja ada, anak bini dah ada, hidup senang, rumah ada, kereta ada..pendek kata, sudah cukup sempurna. Apa lagi yang tidak cukupnya. Apa lagi sebab tidak bahagianya.
Aku biasa mendengar dialog-diolag di atas sama ada secara langsung atau tidak langsung. Selalunya apabila aku "mengomel-ngomel" tentang apa yang sebenarnya aku cari dalam hidup ini. Entahlah, hati ini selalu terasa kosong dan semacam tidak ada kesudahan "kepuasannya". Kerja sudah ada. Isteri serta anak-anak yang comel "lote" sentiasa di sisi. Kenderaan yang "baik" sudah dimiliki , rumah kediaman yang selesa sudah tersedia. Makan minumnya pula lebih dari cukup berbanding kehendak. Aku lahirkan rasa syukur pada Allah atas segala nikmat Allah S.W.T. itu berbanding hidupku bertahun dulu.
Persoalannya ; Adakah apabila kita memiliki semua yang disebutkan di atas bermakna kita akan bahagia, tenang dan damai di dunia. Adakah kerana di tangan kita ada segelas air kita akan hilang "dahaga" atau hausnya itu. Sesekali aku tidak menafikan bahawa semua itu barangkali banyak membantu untuk membahagiakan manusia. Terima kasih tidak terhingga buat isteri tercinta serta anak, Cik dan Mak, adik beradik, rakan-rakan serta semua yang pernah bersahabat bahagia selama ini. Soalnya, adakah ia sama untuk semua orang.
Aku biasa ditanya bagaimana cara hendak memujuk suami atau isteri yang merajuk. Jawabku "senang' yang bukan "senang". Pilihlah cara yang "sesuai" dengan diri sendiri dan pasangan anda juga. Tidak ada cara yang sama untuk semua orang. Cara yang "sesuai" dan masa yang "sesuai" juga mungkin tidak sama untuk individu berlainan. Jadi terpulanglah kepada "kebijaksaan" masing-masing untuk memilih yang "sesuai" itu.
Begitulah hidup ini. Secara peribadi aku "sedikit tidak serasi" dengan dialog-dialog atau jawapan di atas. Kebenarannya mungkin ada tapi itu bukan faktor utamanya berdasarkan pengalaman peribadiku. Aku masih ada "simpan sedikit" kepercayaan pada kata-kata "bahawa tilam yang tebal belum tentu nyenyaknya tidur."
Kesusahan hidup suatu masa dulu menjadikan aku manusia yang berangan-angan "besar". Aku tabik pada Mat Jenin yang mempunyai cita-cita besar. Siapa kata Mat Jenin mati semasa jatuh dari pokok kelapa semasa berangan-angan berkahwin dengan anak raja. Kalau Mat Jenin betul-betul terkorban semasa jatuh dari pokok kelapa, kepada siapakah Mat Jenin telah ceritakan angan-angannya sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya itu. Semuanya kena auta oleh penjajah. Nanti aku perincikan dalam catatan lain kisah Mat Jenin tersebut.
"Dulu-dulu" semasa masih "belajar" aku pernah berangan-angan betapa "syoknya" jika sudah bekerja, tidak perlu "susah payah" buat tugasan yang bertimbun-timbun dan macam-macam lagi benda-benda yang aku tidak suka. Mempunyai gaji sendiri pulok tu. Pernah juga berangan-angan betapa "syoknya" memiliki lesen memandu, motor atau kereta sendiri. Syoknya bila kahwin nanti serta macam-macam lagi "angan-angan" yang "syok-syok" . Rupanya itu hanya persepsi dari seseorang yang belum "memiliki". Aku pernah mendengar kata-kata " datanglah ke dunia sebenar, baru tahu hakikatnya". Sekali lagi aku "tegaskan" bahawa ini bukan bermakna aku tidak bersyukur atas segala nikmat Allah tersebut. Terlalu bersyukur. Tapi di situkah terletaknya sebuah kepuasan abadi.
Bayangkan dunia kerja yang disangka semuanya indah, tidak semuanya indah rupanya. Rakan sekerja, persekitaran kerja pernah membuatkan aku rasa " rupanya semuanya indah khabar dari rupa". Sama ada ia berpunca dari diriku sendiri atau orang lain. Itu kita bincang dalam coretan lain. Di sini kita berbicara soal ketenangan, keindahan dan kedamaian jiwa, hati dan perasaan.
Begitu juga apabila berjaya memiliki lesan memandu , motor serta kereta sendiri. Semuanya kosong dan hambar. Rasa macam minum air oren masa demam teruk. Semua pahit dan kelat. Angan-angan sebelum memiliki akhirnya hilang bersama sejarah masa. Hati dan perasaanku masih seperti dulu. Masih tiada penghujung pada sebuah kerinduan yang sejati.
Rutin hidup masih sama. Bangun pagi solat subuh, hantar anak ke sekolah, masuk kerja, balik kerja, petang bersama dengan anak isteri atau bersukan . Bila maghrib, bersiap untuk diri ngan anak-anak, tunaikan kewajipan, lepas tu tidur, pagi esok bangun balik. Bila lapar, makan, bila dahaga, minum. Bila rasa mengantuk, tidur. Bila jemu, "start" kereta, pusing-pusing dan jalan-jalan. Pagi esok rutin sama berulang lagi. Itukah erti hidup? Itukah namanya kepuasaan hidup? Aku belum menjumpainya.
Kenapa?
Razak Nordin berpesan ; Kalau kau menjadi aku, aku yakin kau akan mengerti.
Jumaat
21 Ramadhan 1430H

Thursday, September 10, 2009

Tanda-Tanda Kebahgiaan dan Kecelakaan

Dalam "duk" belek membelek buku Pengajaran Ummah Cerita Serta Doa Dari Hadith & Quran, maka terjumpalah satu "artikel" ringkas yang aku rasa sesuai untuk dikongsikan bersama.

BAB 31

TANDA KEBAHAGIAAN SEBELAS PERKARA

1. Tidak kasih kepada dunia(zuhud) dan cinta kepada akhirat.
2. Sentiasa ingin beribadat dan membaca Al Quran.
3. Sedikit berbicara mengenai hal yang tidak perlu.
4. Sentiasa memelihara solat lima waktu.
5. Bersahabat dengan orang yang baik-baik.
6. Warak terhadap barang haram dan syubhat, sedikit atau banyak.
7. Bersikap tawaduk, tidak sombong.
8. Dermawan lagi pemurah.
9. Bersifat belas kasihan terhadap makhluk yang dicintai Allah.
10. Menjadi orang yang bermanfaat bagi makhluk.
11. Banyak mengingati mati.

Dan tanda kecelakaan juga ada sebelas ;

1. Rakus dalam mengumpul harta.
2. Keinginan hanya untuk memuaskan syahwat dan mencari keenakan dunia.
3. Ucapannya kotor dan suka memburukkan orang.
4. Meremehkan solat lima waktu.
5. Bergaul dengan orang-orang yang berbuat dosa.
6. Buruk budi pekerti.
7. Berlaku bongkak dan sombong.
8. Tidak memberi manfaat kepada manusia.
9. Sedikit belas kasihan terhadap orang-orang yang beriman.
10. Kikir
11. Tidak ingat mati.

Halaman 89-90. Himpuan Cipta : Wan Jamal bin Wan Mat Saman

Susunan Oleh : Farah Natasha binti Jasmin( Ikatan Studi Islam UKM)


Razak Nordin berpesan ; Semoga ada kebaikannya walaupun sedikit cuma.

Salam Takziah Buat Sahabat

Pagi ini aku ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan sekalung takziah buat sahabat atas kembalinya ibu tercinta ke pangkuan Ilahi di pagi 20 Ramadhan 1430H ini. Semoga tabah menghadapi ujian Allah dan sama-sama kita berdoa semoga rahmat Allah sentiasa bersama ibu tercinta di alam kekal abadi.
Razak Nordin berpesan ; DariNya kita datang dan kepadaNya kita semua akan kembali. Itu pasti. Tapi berapa ramaikah antara kita yang peduli dan ambil kesah.

Wednesday, September 9, 2009

Jangan Salah Faham,Bukan Itu Maksud Ku

Dalam khutbah Aidil Fitri 1430H saya ada menyebut begini "Akhirnya marilah kita sama-sama mengingatkan diri masing-masing supaya sentiasa berwaspada dalam menyambut hari raya Aidil Fitri ini. Sambutan yang melampau-lampau bukanlah dari ajaran Islam yang kita anuti bersama. Melebihkan sambutan hari raya daripada ibadah pada bulan Ramadhan seakan telah menjadi budaya yang telah menjalar dan menular dalam masyarakat kita. Mudah-mudahan kita dilindungi Allah daripada termasuk dalam golongan tersebut".
Jangan salah faham. Bukan maksud saya(dulu selalu guna aku je, lebih selesa) untuk menafikan hak-hak setiap dari kita untuk bergembira dan "bergelak ketawa" di hari yang mulia itu. Malah sewajibnya pun hari itu di sambut penuh "kegembiraan" dan "kemeriahan" bagi orang-orang yang berpuasa(!!!). Itu pasti. Salah satu dari dua kegembiraan yang dijanjikan Allah bagi orang-orang yang berpuasa.
Cumanya saya sedikit "terkilan" dengan apa yang pernah berlaku dalam sejarah Ramadhan serta Syawal yang pernah sama-sama kita lalui. Permerhatian saya, anda pula terpulanglah. Sebetulnya saya tidak pernah memaksa sesiapa untuk menerima buah fikiran saya seadanya ini. Cuma satu pesan saya. Jangan sesekali berhenti membaca untuk selama-lamanya kalaupun bukan coretan saya. Bacalah mana yang anda suka selagi ia dibenarkan dan sah di sisi Agama. Itu prinsip. Dalam bahasa agama disebut sebagai akidah.
Saya "melihat" "kebanyakan" sama ada orang-orang yang kita kenal atau orang-orang kita tidak kenal tetapi berada di seputar kehidupan kita, "melebihkan" sambutan Hari Raya berbanding ibadah puasa. Puasanya tidak, tapi sambut rayanya mengalahkan orang-orang yang berpuasa. Pakaian raya pula ditempah atau dibeli beberapa pasang. Puasanya bagus tetapi solatnya tidak. Puasa dan solat waktunya bagus tapi terawikhnya pula tidak. Persiapan raya pula berlebih-lebih sehingga pembaziran yang melampau. Semangat sederhana yang diajar oleh jiwa Ramadhan hilang dalam sekelip mata. Terlupa semuanya. Terawikh sunat sahaja sedangkan menyambut raya adalah wajib malah haram berpuasa pada Hari Raya. Kalau itu hujjah anda. Saya ucapkan semoga anda selamat berbahagia. Saya menulis berdasarkan pengalaman hidup saya . Tidaklah lama. Hari ini saya baru berumur 37 tahun, 2 bulan dan 5 hari. Secara tepatnya saya dilahirkan pada 04 Julai 1972.
Razak Nordin berpesan ; Seandainya anda meragui apa yang cuba saya lontarkan ini. Perhatikan diseputar hidup anda mulai sekarang sehingga hari raya nanti. Ingat, jangan sesekali berniat untuk menghina sesiapa dan merasakan diri sendiri hebat. Itu ujub. Ujub boleh merosakkan seluruh amal kebajikan kita.
Apa erti saya menganut Islam. Salah satunya mengambil tahu dan peduli kepada apa yang berlaku dalam masyarakat kita. Takutlah azab Allah yang tidak hanya menimpa hanya orang-orang zalim sahaja. Tiada tempat untuk kita merasa selesa. Belek dan bacalah Quran untuk mencari jawapannya. Jika anda masih ragu.
Catatan Ringkas Sebelum pergi berbuka puasa di Pauh In
Dari bilik tepi D1-1-1 yang sedikit hangat

Tuesday, September 8, 2009

Uji Tahap Kesabaran Dengan "Shopping"

Anda bercadang ingin menguji kesabaran di bulan Ramadhan yang mulia ini. "Shopping" sama ada membeli pakaian raya atau lain-lain keperluan raya adalah salah satu aktiviti yang aku ingin cadangkan kepada anda semua. Lagi bagus, pilihlah waktu tengahari yang bahangnya hangat membakar.
Dalam perjalanan barangkali kesabaran anda sudah di uji dengan sikap pemandu yang memandu sesuka hati. Antaranya, ada pemandu yang berada di lorong paling kanan tetapi kelajuannya macam sedang "bermadu kasih" di atas jalan raya. Semasa di stesen minyak diuji lagi. Bayangkan ketika anda ingin bergerak selepas selesai mengisi minyak, tiba-tiba ada seseorang melintas di hadapan kereta anda tanpa sebarang isyarat bahkan tidak memandang ke arah anda pun dan anda hampir melanggarnya bukan atas kelalaian anda. Di lampu isyarat pun diuji lagi. Bila lampu sudah hijau, kereta yang paling depan masih "terhegeh-hegeh". Rupanya sedang bergayut dengan telefon atau bahasa sekarang "tengah buat roti canai" di atas jalan raya.
Bila sampai di tempat yang dituju, mencari tempat parkingnya pun hampir "separuh purnama" lamanya. Bila sudah berjumpa, ketika anda nyalakan "signal" untuk masuk ke tempat itu, tiba-tiba kereta yang entah dari mana munculnya masuk ke tempat parking tersebut tanpa sebarang isyarat pun. Barangkali pada masa itu, kedinginan penghawa dingin kereta anda belum cukup untuk menyejukkan hati-hati anda yang sedang menghangat itu.
Sebelum masuk ke "shopping kompleks" anak anda pula menangis-nangis ingin menaiki "kuda palsu" yang ada di tepi pintu masuknya. Bukan sekali diletak duitnya, tapi berulang-ulang kali selagi dia belum puas. Selepas puas bermain dengan "kuda-kuda palsu"nya. Anak-anak anda sudah tidak larat untuk berjalan sendiri. Maka andalah sebagai bapa mithali sama ada rela atau tidak mendukung anak anda yang masih merenget-renget itu.
Bila pilih baju atau seluar, banyak pula karenahnya. Yang besar dengan karenahnya, sementara yang kecil pula dengan karenahnya juga. Ada sahaja perkara yang tidak kena. Tambah pula penghawa dingin di pusat membeli belah tersebut kebetulannya tidak berapa dingin pula pada ketika itu. Pengunjungnya pula bersesak-sesak dengan "tujuan" masing-masing. Macam-macam bau pula yang dapat dihidu. Daripada yang sewangi-wanginya hinggalah kepada yang semasam-masamnya.
Jika anda dapat menghadapi "sebahagian kecil" dari apa yang berlaku untuk "terjadinya sebuah peristiwa shopping" di bulan Ramadhan tersebut dengan penuh sabar, tahniahlah untuk diri anda sendiri. Ambil tapak tangan kanan anda, dan tepuklah di atas sebelah kiri dada anda dengan "separuh kuat". Jeritlah kuat-kuat. Hebat. Hebat. Hebat, sebanyak mana yang anda suka.
Razak Nordin berpesan ; Kepada yang belum pernah mengalaminya, selamat mencuba pada hujung minggu ini. Mudah-mudahan anda juga akan jadi hebat, hebat, hebat. Seperti mereka.

Sunday, September 6, 2009

Aku Pernah Menulis Begini.

Dulu-dulu, aku pernah menulis seperti ini dan ini.

Razak Nordin berpesan ; Gali-gali mencari khazanah lama yang mungkin bernilai barang sebaris ayat jua.

Istanbul Dan Masjidil Haram, Izinkan Aku Memeluk, Menciummu

Antara Istanbul dan Masjidil Haram. Kedua-duanya baru "bertakhta" seminggu dua ini di hati kecil ini dan aku mula merindui serta memasang angan-angan untuk "memeluk" serta "mencium" kedua-duanya. Paling tidak pun salah satu dari yang dua itu. Moga Allah permudah dan perkenankan "singgahan" baru ini. Aku mula merindui untuk menyambut Ramadhan di Istanbul selepas membaca coretan ini.
Dan malam tadi muncul lagi nama Masjidil Haram. Seperti biasa selepas menunaikan 4 rakaat solat sunat terawikh akan diselangi oleh tazkirah ringkas. Banyak yang disebutkan oleh Ustaz Hasminudin. Di hujung tazkirah malam tadi tiba-tiba munculnya nama Masjidil Haram. Ustaz Hasminudin menceritakan pengalamannya menunaikan solat sunat terawikh di Masjidil Haram. Sehinggakan hujan yang gerimis, renyai serta lebat sekali pun, para jemaah masih bertahan dalam kekusyukkan dan kenikmatan itu. Katanya, ada jemaah yang menggigil tangannya menahan sejuk hujan tapi tidak sesekali berganjak dari tempat solat masing-masing.
Tiba-tiba hati ini menjadi terlalu rindu untuk mengalami sendiri pengalaman menyambut Ramadhan di Istanbul dan Masjidil Haram. Moga suatu hari yang entah bila, Allah permudahkan untukku sampai ke sana.
Istanbul dan Masjidil Haram. Tunggulah kehadiranku untuk memeluk dan menciummu sepuas hatiku.
Rasullullah pernah bersabda ; ertinya
Daripada Mughirah bin Syu'bah r.a. berkata : Rasullullah s.a.w. bersabda :" Sentiasa di kalangan kamu ada golongan yang berjaya(dalam perjuangan mereka), sehinggalah sampai suatu saat yang dikendaki Allah s.w.t..Mereka sentiasa berjaya". HR Bukhari. Dipetik dari 40 Hadis, Peristiwa Akhir Zaman. Susunan Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi, Hadis ketujuh. Halaman 24.



Razak Nordin berpesan ; Moga Allah izinkan dengan rahmatNya yang sentiasa melimpah.

Saturday, September 5, 2009

Sabtu Kali Ini Dan Kejutan Sesudah Zohor

Kiranya hari ini hari minggu yang agak "terisi' sikitlah untuk diriku jika hendak dibandingkan dengan hari-hari sabtu yang sebelum ini. Kutulis "entry" ini selepas balik dari Forum Pemantapan Akidah Belia di Pusat Islam PTSS.
Apa tidaknya, sejak selepas subuh lagi duduk "mengadap" laptop untuk perkemaskan bahan untuk Forum Pemantapan Akidah Belia petang nanti di Pusat Islam PTSS. Program tersebut anjuran bersama Jabatan Belia Negeri Perlis, ABIM dan juga Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin. Pertama kalinya dalam sejarah hidup ini, aku jadi ahli panel forum seperti ini. Harap-harap pengalaman 10 tahun aku dalam bidang pendidikan ini sedikit sebanyak dapat membantu. Kira pengalaman berharga jugalah .
Sebelah pagi, selepas siapkan bahan-bahan mana-mana yang patut. Aku dan isteri serta anak-nak ke pekan Changlun untuk tiga tujuan utama ;
;beli lauk pauk yang sudah kehabisan di pasar Changlun
;ke klinik Keluarga Dr Zainuddin untuk "cek' telinga aku yang masih "kurang sihat" ni. Dapat antibiotik yang lebih "power" serta ubat alahan.
; ke Cmart untuk dapatkan bekalan kering
Dalam pukul 12 tengahari kami selamat sampai ke rumah. Aku kemaskinikan bahan-bahan mana yang patut. Selepas tu solat Zuhur dan bercadang nak lelapkan mata barang sekejap.
Tiba-tiba terdengar suara isteriku memanggil namaku.
"Abang, ada orang ketuk pintu. " masa tu dia tengah siang ikan di dapur.
Tanpa berlengah aku terus ke pintu utama dan terus membukanya. Dalam perjalanan ke pintu aku hanya fikir sendiri mungkin ada sapa-sapa nak hantar juadah berbuka kot. Rupanya bukan.
Bila buka pintu, kejutan rupanya. Mak mertua ngan bapak mertuaku bertandang rupanya. Kali ini "depa" saja nak buat kejutan katanya. Saja tak nak telefon dulu kata mak mertua.
Lepas tu rehat kejap. Sempatlah lelapkan mata barang sebentar. Dalam 4.30 selesai bersiap dan terus ke Pusat Islam untuk solat asar dan seterus ke majlis forum tersebut. Forum tersebut bermula lebih kurang pukul 5.10.
Lebih kurang jam 6.45 petang majlis forum berakhir,terus pulang ke rumah. Sembang beberapa ketika dengan bapa dan mak mertua. Terima kasih buat mereka kerana sudi bertandang ke rumah kami jauh di utara ini untuk melihat cucu-cucu serta berbuka puasa bersama kami. Kira meriah jugalah buka puasa kami maghrib tadi. Syukur pada Allah atas kurniaan rezekiNya yang masih berkekalan.
Razak Nordin berpesan ; Salah satu cara mensyukuri nikmat Allah ialah melalui ibadat yang berterusan kepadaNya. Semoga kekuatan itu terus bersama kita atas anugerah Allah s.w.t. Iktibar untuk yang mahu berfikir.

Friday, September 4, 2009

Kisah 1-Hargailah Nikmat Allah Sebelum Ia Hilang

"Ya..sakit apa encik" tanya Dr Zainuddin sebaik sahaja aku duduk di kerusi yang disediakan di sebelah kiri doktor tersebut.
"Telinga saya ni doktor, sakit dan berdenyut-denyut serta rasa tersumbat, seminggu lepas adalah keluar air serta sedikit cecair berwarna kekuningan. Nak kata bernanah, lepas tu takder dah, cuma rasa kurang selesalah. Saya dah dapatkan ubat titik di farmasi" jawapku bersama sedikit kegusaran.
Apa tidaknya. Dalam seminggu ini, ku kira sedikit nikmat pendengaran telah di"tarik" oleh Allah, barangkali atas dosa-dosa yang pernah aku lakukan.
"Mai saya tengokkan" kata doktor tersebut sambil memasukkan satu alat ke dalam lubang telingaku.
" Ooo gegendang telinga pecah ni" sambung Dr Zainuddin sambil melabuhkan punggung di kerusi.
"Haa, gegendang telinga pecah" aku bercakap dengan diri tanpa suara.
Dan aku menyambung dengan pertanyaan ini "Apa puncanya Dr, boleh sembuh kembali ke " soalku sambil mengharapkan jawapan yang baik-baik sahaja.
" Mungkin sebab masuk air atau sebab menyelam, kalau kanak-kanak mungkin boleh sembuh kembali, tapi orang dewasa payah sikit. Mungkin boleh sembuh sekejap, kemudian ia datang kembali jika tidak dijaga dengan betul teruatama masa mandi, jika masuk air ia akan berulang kembali" jawap Dr Zainuddin dalam senyuman menambah gusar dihatiku.
"Kalau gegendang pecah, mana boleh bubuh ubat titik, saya bagi antibiotik, ubat alahan serta ubat tahan sakit" sambung Dr Zainuddin mengakhiri pertemuan singkat kami itu.
Begitulah kurang lebih dialog yang berlaku pada pagi hari sabtu lepas di klinik keluarga Dr Zainuddin di pekan Changlun. Singgah sebentar semasa dalam perjalanan balik ke Kamunting.
Selepas mengucapkan terima kasih, kutinggalkan bilik Dr tersebut dengan jiwa yang sedikit teruji. Ambil dan bayar ubat, terus ke kereta dan meneruskan perjalanan ke Kamunting, Taiping Perak sambil jiwa bermonolog sendirian. Mencari jawapan kepada pelbagai persoalan yang tidak pasti.
Hakikatnya mungkin begitu. Selalunya manusia akan lebih menghargai sesuatu setelah sesuatu itu hilang darinya. Dan mungkin aku salah seorang dari manusia itu.
Semalam ubat-ubat tersebut telah habis dimakan, tetapi telingaku belum menunjukkan tanda-tanda akan sembuh seperti sediakala. Tahap pendengaranku makin menurun tetapi tidaklah sampai hilang terus buat masa ini. Harap-harap masih ada harapan sembuh untuk salah satu nikmat kurniaan Allah yang amat besar ini.
Razak Nordin berpesan ; Ingat pesan Rasullullah s.a.w.
Terjemahannya " Segeralah kamu dahului tujuh perkara ini dengan amal kebajikan ;
* Kemiskinan yang melupakan
*atau kekayaan yang bermaharajalela
*atau sakit yang merosakkan
*atau masa tua yang melemahkan
*atau mati yang menghampakan(persediaan)
*atau dajjal yang paling bahaya untuk ditunggu
*atau hari kiamat dan hari kiamat itu lebih bahaya dan lebih dahsyat dari semua. (Riwayat al-Tirmizi)
Dipetik dari Buku Manusia dan Islam, Jilid 2, Panel Penulis Diketuai Oleh Dr Haron Din. Halaman 33.

Wednesday, September 2, 2009

Seorang Sahabat Dan Cucurnya

Isnin lepas, dalam perjalanan balik dari Kamunting ke Perlis. Aku singgah sekejap di rumah sahabat lama di Kulim, Kedah untuk mengambil Xango seperti yang dijanjikan . Melalui jalan pintas dari Kamunting ke Kulim agak mencabar. Jalannya berliku. Tetapi lebih baik berbanding sebelum jalan baru siap di bina. Kebetulan lepas sahaja melalui kawasan Pondok Tanjung hujan turun dengan lebatnya. Tapi syukur alhamdulillah, dalam keadaan "merangkak-rangkak itu", kami sekeluarga selamat sampai ke Kulim dalam lingkungan 5.45 petang.


Sempatlah sembang-sembang barang sebentar dengan Yus. Kesempatan ini aku ingin ucapan terima kasihlah kerana "sediakan" kami bekal cucur berlainan jenis itu serta ampau pada anak-anak kami. Ampau dari kami akan menyusul insyaallah. Bolehlah kami jadikan cucur itu juadah berbuka puasa maghrib itu.


Kekangan masa tidak memberi banyak ruang pada kami untuk terus bercerita panjang. Kesempatan lain, Insyaallah. Dalam pukul 6 lebih sikit kami meneruskan perjalanan untuk berbuka di RFC di Laguna Merbok, Sungai Petani. Jalan pintas yang kami pilih, akhirnya tersesat sampai ke Labu Besar kalau tidak silap. Akhirnya patah balik melalui Lebuhraya Kulim-Butterworth seterusnya ke Lebuhraya Utara Selatan menuju Sungai Petani Utara.


Dalam asyik hendak membalas mesej kepada Pengetua Kamsis, terlepas susur singkat untuk ke utara. Sebenarnya ini bukan kali pertama aku terlepas susur kecil itu. Jalannya agak mengelirukan aku kalaupun tidak pada orang lain. Terpaksa terus menuju ke Butterworth dan patah balik ke lebuhraya Utara-Selatan dalam satu kilometer. Dalam kekalutan mengejar masa itu, hampir-hampir berlaku eksiden antara innovaku dengan sebuah motorsikal. Entah dari mana munculnya. Sedar-sedar sudah semakin hampir dengan pintu tempat pemandu sebelah kananku. Syukurlah aku sempat perasan dan sempat mengelak sekadar mampu dalam "kekejutan" itu. Mungkin barakah membaca doa sebelum bertolak kot. Syukur tidak terhingga kepada Allah kerana tidak ada apa-apa yang tidak diingini berlaku.
Dan maghrib itu menjadi saksi untuk kali pertamanya Ramadhan ini kami berbuka dalam Innova di atas lebuh raya lebih kurang 10 km dari destinasi kami di RFC di Laguna Merbok Sungai Petani. Berbuka bersama cucur yang "dibekalkan" seorang sahabat yang lebih mesra di panggil Yus. Terima kasih sekali lagi buat Yus dan isteri Puan Norizan. Pertama kali juga maghrib itu aku makan cucur keledek. Sedap, kata isteriku. Buat Yus, terima kasih daun keladi, lain kali kalau kami datang buatlah lagi. Semoga Allah murahkan rezeki, panjang umur dan permudahkan segala urusan Yus dan keluarga. Ku tutup coretan ini dengan satu pertanyaan buat Yus; bila lagi hendak tambah bini..opssss silap, maksud aku bila lagi Amar nak dapat adik. Puan Norizan jangan marah. Melawak je.
Razak Nordin berpesan ; Hidup ini banyak kemungkinan dan kemungkinan berada di mana-mana. Bersedialah untuk setiap kemungkinan itu.

Tuesday, September 1, 2009

Hari Kedua 203 Jalan Limbat Taman Lela

Seawal pagi sebelum subuh "kejutan" pertama telah berlaku dalam memulakan pagi Ahad yang syahdu itu. Mana tidaknya. Jam belum lagi menunjukkan pukul 5.00 pagi, tapi mak mertua sudah mula kejutkan kami semua untuk bangun bersahur. Kira kejutan jugalah bagi diriku. Kerana sepanjang Ramadhan tahun ini tidak pernah aku dan isteri bersahur seawal itu. Selalunya kami memulakan sahur paling awal pun dalam pukul 5.25. Kurang lebihlah tu. Dalam "kepayahan" itu berjaya jugalah aku habiskan sepiring nasi goreng. Berlauk udang goreng lebihan berbuka maghrib semalam. Syukurlah.

Selepas sahur, bersiap siaga mana yang patut. Bertemankan innovaku, ku memandu sendirian menuju ke surau Nur Khairiah. Tidaklah jauh sangat,lebih kurang 7 minit perjalanan "menggunakan kaki". Cumanya seawal subuh pagi itu tidak berani jugalah aku. Bukan apa, aku sebenarnya fobia dengan anjing. Pengalaman "ngeri" beberapa kali dikejar semasa di Sabah dulu masih belum luput dari ingatan ini. Orang kata, anjing sejenis binatang yang boleh menghidu bau takut yang keluar dari badan seseorang apabila seseorang itu takut. Dan fobia itu menyebabkan bau takutku cepat keluar apabila melihat anjing. Entah betul entah tidak, aku pun tidak pasti.

Seperti biasa subuh itu hanya dipenuhi oleh golongan-golongan veteran. Golongan muda entahlah hilang ke mana gamaknya. Selepas berwirid dan berdoa bersama Imam, ku pulang ke rumah lalu. Lalu ku coretkan catatan : Hari Pertama di Taman Lela, Kamunting ; sementara menunggu anak-anak bangkit dari tidur.

Bila anak-anak semuanya sudah bangun dari tidur dan dalam keadaan belum mandi itu. Aku, isteri,anak-anak serta ibu mertua menuju ke "pasar minggu" Kamunting yang dibuka setiap pagi Ahad. Kalau di Perlis depa panggil "nat"lah kot.

Nama restoran yang agak kabur kerana biasan cahaya



Hidangan bersedia untuk dihabiskan...sup puyuh, daging masak merah, siakap 3 rasa dll

Petangnya kami berbuka di restoran Ala Yala, di pekan Simpang sebelum sampai ke Changkat Jering. Ada nostalgia kata mereka. Entah nostalgia apa. Kenangan mengusik kalbu kot. Bolehlah. Setakat hendak kenyangkan perut "bodoh" ini. Malam itu ku tutup hari kedua di Jalan Limbat Taman Lela Satu dengan solat terawikh secara solo di bilik tengah itu. Dalam kekalutan itu, tidak sempat untuk aku berjemaah di mana-mana surau atau masjid. Rugi tu memanglah rugi kiranya, tapi sekurang-kurang "dapat" jugalah walaupun secara solo. Makmun jemaahku yang selalu itu pula "cuti rehat".


Razak Nordin berpesan ; Kadangkala terfikir juga......

Ditulis dari bilik tepi
D1-1.1 Kuarters PTSS
Arau, Perlis.