Wednesday, September 9, 2009

Jangan Salah Faham,Bukan Itu Maksud Ku

Dalam khutbah Aidil Fitri 1430H saya ada menyebut begini "Akhirnya marilah kita sama-sama mengingatkan diri masing-masing supaya sentiasa berwaspada dalam menyambut hari raya Aidil Fitri ini. Sambutan yang melampau-lampau bukanlah dari ajaran Islam yang kita anuti bersama. Melebihkan sambutan hari raya daripada ibadah pada bulan Ramadhan seakan telah menjadi budaya yang telah menjalar dan menular dalam masyarakat kita. Mudah-mudahan kita dilindungi Allah daripada termasuk dalam golongan tersebut".
Jangan salah faham. Bukan maksud saya(dulu selalu guna aku je, lebih selesa) untuk menafikan hak-hak setiap dari kita untuk bergembira dan "bergelak ketawa" di hari yang mulia itu. Malah sewajibnya pun hari itu di sambut penuh "kegembiraan" dan "kemeriahan" bagi orang-orang yang berpuasa(!!!). Itu pasti. Salah satu dari dua kegembiraan yang dijanjikan Allah bagi orang-orang yang berpuasa.
Cumanya saya sedikit "terkilan" dengan apa yang pernah berlaku dalam sejarah Ramadhan serta Syawal yang pernah sama-sama kita lalui. Permerhatian saya, anda pula terpulanglah. Sebetulnya saya tidak pernah memaksa sesiapa untuk menerima buah fikiran saya seadanya ini. Cuma satu pesan saya. Jangan sesekali berhenti membaca untuk selama-lamanya kalaupun bukan coretan saya. Bacalah mana yang anda suka selagi ia dibenarkan dan sah di sisi Agama. Itu prinsip. Dalam bahasa agama disebut sebagai akidah.
Saya "melihat" "kebanyakan" sama ada orang-orang yang kita kenal atau orang-orang kita tidak kenal tetapi berada di seputar kehidupan kita, "melebihkan" sambutan Hari Raya berbanding ibadah puasa. Puasanya tidak, tapi sambut rayanya mengalahkan orang-orang yang berpuasa. Pakaian raya pula ditempah atau dibeli beberapa pasang. Puasanya bagus tetapi solatnya tidak. Puasa dan solat waktunya bagus tapi terawikhnya pula tidak. Persiapan raya pula berlebih-lebih sehingga pembaziran yang melampau. Semangat sederhana yang diajar oleh jiwa Ramadhan hilang dalam sekelip mata. Terlupa semuanya. Terawikh sunat sahaja sedangkan menyambut raya adalah wajib malah haram berpuasa pada Hari Raya. Kalau itu hujjah anda. Saya ucapkan semoga anda selamat berbahagia. Saya menulis berdasarkan pengalaman hidup saya . Tidaklah lama. Hari ini saya baru berumur 37 tahun, 2 bulan dan 5 hari. Secara tepatnya saya dilahirkan pada 04 Julai 1972.
Razak Nordin berpesan ; Seandainya anda meragui apa yang cuba saya lontarkan ini. Perhatikan diseputar hidup anda mulai sekarang sehingga hari raya nanti. Ingat, jangan sesekali berniat untuk menghina sesiapa dan merasakan diri sendiri hebat. Itu ujub. Ujub boleh merosakkan seluruh amal kebajikan kita.
Apa erti saya menganut Islam. Salah satunya mengambil tahu dan peduli kepada apa yang berlaku dalam masyarakat kita. Takutlah azab Allah yang tidak hanya menimpa hanya orang-orang zalim sahaja. Tiada tempat untuk kita merasa selesa. Belek dan bacalah Quran untuk mencari jawapannya. Jika anda masih ragu.
Catatan Ringkas Sebelum pergi berbuka puasa di Pauh In
Dari bilik tepi D1-1-1 yang sedikit hangat

No comments: