Saturday, September 12, 2009

Nilainya Pada Ikhlas Bukan Jumlahnya

Idea ingin menulis tentang perkara ini muncul selepas sahur pagi tadi lebih kurang 15 minit menjelang subuhlah. Waktu imsak.
Puncanya. Apabila isteriku sambil-sambil menyapu lantai, "bercerita-cerita" dan minta "pandanganku" tentang jumlah duit raya yang "sesuai" hendak diberikan kepada anak-anak istimewa di sekolahnya yang seramai 35 orang itu.
Setengahnya ada yang kata, cukuplah bagi seringgit seorang sahaja. Hujahnya mudah, kitakan ramai. Kalau kita bagi seringgit seorang, banyaklah juga dapat anak-anak istimewa itu.
"Umi nak bagi RM 2 seorang" kata isteriku sambil tangannya masih lagi menyapu-nyapu lantai.
Aku masih diam tanpa sebarang komen, ya pun tidak, tidak pun tidak. Sambil mata melayan aksi Aggasi dan James Blake bertarung di gelanggang Astro Channel 816 sambil mata menjeling jam di dinding menantikan masuknya waktu solat subuh. Bagiku, itu ayat pernyataan bukan pertanyaan. Maknanya ia tidak memerlukan jawapan. Sekadar melepaskan "keresahan jiwa."
Apabila melihat aku hanya diam tanpa sebarang komen dan pandangan, lalu isteriku memanjangkan sesi tersebut dengan pertanyaan ini ;
" Ke abang rasa macam mana" pertanyaan yang ku kira memerlukan jawapan segera, tepat dan memuaskan. Jawapan meleret-leret mungkin menimbulkan persoalan lain pula di subuh hari yang dingin itu.
"Tak payah fikirlah pasal jumlahnya, bagi jerlah berapa yang nak bagi, yang penting ikhlas" aku memberi kata putus dan harap-harap tidak ada soalan berbangkit selepas itu. Ringkas dan tepat pada perkiraan aku.
Barangkali inilah yang banyak berlaku dalam persekitaran kita. Ingat, nilainya pada ikhlas bukan pada jumlahnya semata. Ikhlas dengan jumlah yang banyak lagi baik. Sedikit yang ikhlas dengan banyak yang tidak ikhlas terlalu jauh "perbezaannya".
Dalam kursus Tamadun Islam, salah satu topik yang disentuh ialah mengenai akhlak. Imam al Ghazali menjelaskan bahawa akhlak ialah suatu sifat yang tertanam sebati dalam diri seseorang dan dari sifat-sifat itu melahirkan perbuatan-perbuatan tanpa berfikir dan pertimbangan fikiran. "Kayu ukur" kepada akhlak adalah agama. Bila agama erti mesti ikhlas jika ingin sesuatu itu "bernilai" di sisi Allah s.w.t. Moral "kayu ukurnya" masyarakat yang boleh menerima sesuatu perkara itu atas dasar rasionalnya tetapi belum tentu agama menerimanya. Etika "kayu ukurnya" , buku atau set peraturan undang-undang dan adakalanya untuk menunjuk-nunjuk dan keterpaksaan serta ada unsur ketidakikhlasan dalam membuat sesuatu.
Selepas aku memberikan jawapan tersebut, isteriku hanya diam dan "meneruskan' kerja-kerja sapu-menyapunya. Kalau dalam "bab" pinang meminang dikatakan "diam tu tanda setuju". Dalam hal ini pun harap-harap begitulah. Pandangan diberi dengan ilmu. Menerima pula mesti dengan kepercayaan. Baru ada titik pertemuan.
Ku tinggalkan isteriku dengan "jawapan" itu. Mandi, bersiap dan terus ke Pusat Islam untuk solat subuh. Selepas kuliah subuh, balik rumah lalu ku tumpahkan lontaran idea ini di alam blog ini. Harap-harap ada manfaat untuk aku dan kau juga.
Razak Nordin berpesan ; Adakalanya kita buntu dan kaku bukan kerana "sejuknya" udara.
Bilik tepi
D1-1.1
Kuarters PTSS

No comments: