Anda bercadang ingin menguji kesabaran di bulan Ramadhan yang mulia ini. "Shopping" sama ada membeli pakaian raya atau lain-lain keperluan raya adalah salah satu aktiviti yang aku ingin cadangkan kepada anda semua. Lagi bagus, pilihlah waktu tengahari yang bahangnya hangat membakar.
Dalam perjalanan barangkali kesabaran anda sudah di uji dengan sikap pemandu yang memandu sesuka hati. Antaranya, ada pemandu yang berada di lorong paling kanan tetapi kelajuannya macam sedang "bermadu kasih" di atas jalan raya. Semasa di stesen minyak diuji lagi. Bayangkan ketika anda ingin bergerak selepas selesai mengisi minyak, tiba-tiba ada seseorang melintas di hadapan kereta anda tanpa sebarang isyarat bahkan tidak memandang ke arah anda pun dan anda hampir melanggarnya bukan atas kelalaian anda. Di lampu isyarat pun diuji lagi. Bila lampu sudah hijau, kereta yang paling depan masih "terhegeh-hegeh". Rupanya sedang bergayut dengan telefon atau bahasa sekarang "tengah buat roti canai" di atas jalan raya.
Bila sampai di tempat yang dituju, mencari tempat parkingnya pun hampir "separuh purnama" lamanya. Bila sudah berjumpa, ketika anda nyalakan "signal" untuk masuk ke tempat itu, tiba-tiba kereta yang entah dari mana munculnya masuk ke tempat parking tersebut tanpa sebarang isyarat pun. Barangkali pada masa itu, kedinginan penghawa dingin kereta anda belum cukup untuk menyejukkan hati-hati anda yang sedang menghangat itu.
Sebelum masuk ke "shopping kompleks" anak anda pula menangis-nangis ingin menaiki "kuda palsu" yang ada di tepi pintu masuknya. Bukan sekali diletak duitnya, tapi berulang-ulang kali selagi dia belum puas. Selepas puas bermain dengan "kuda-kuda palsu"nya. Anak-anak anda sudah tidak larat untuk berjalan sendiri. Maka andalah sebagai bapa mithali sama ada rela atau tidak mendukung anak anda yang masih merenget-renget itu.
Bila pilih baju atau seluar, banyak pula karenahnya. Yang besar dengan karenahnya, sementara yang kecil pula dengan karenahnya juga. Ada sahaja perkara yang tidak kena. Tambah pula penghawa dingin di pusat membeli belah tersebut kebetulannya tidak berapa dingin pula pada ketika itu. Pengunjungnya pula bersesak-sesak dengan "tujuan" masing-masing. Macam-macam bau pula yang dapat dihidu. Daripada yang sewangi-wanginya hinggalah kepada yang semasam-masamnya.
Jika anda dapat menghadapi "sebahagian kecil" dari apa yang berlaku untuk "terjadinya sebuah peristiwa shopping" di bulan Ramadhan tersebut dengan penuh sabar, tahniahlah untuk diri anda sendiri. Ambil tapak tangan kanan anda, dan tepuklah di atas sebelah kiri dada anda dengan "separuh kuat". Jeritlah kuat-kuat. Hebat. Hebat. Hebat, sebanyak mana yang anda suka.
Razak Nordin berpesan ; Kepada yang belum pernah mengalaminya, selamat mencuba pada hujung minggu ini. Mudah-mudahan anda juga akan jadi hebat, hebat, hebat. Seperti mereka.
No comments:
Post a Comment