Bersedia untuk dimandikan.
Ini harta dunia.
Sebuah kenderaan untuk kemudahan dan keperluan hidup.
Untuk diri sendiri
Keluarga sendiri.
Dan juga orang-orang lain yang memerlukan khidmatnya.
Harta ini.
Hanya bersifat sementara dan "kemusnahannya" tidak meninggalkan kesan yang berkekalan. Kecuali ia digunakan untuk kebaikan atau kejahatan semasa hayatnya. Maka kesannya juga akan berlanjutan dan berkekalanlah ia sampai alam yang SANA itu. Kepada TUAN HARTA itu.
Sunnatullah mungkin.
Semua manusia menyayangi harta. Barangkali kerana ia "rukun" hidup. Suatu keperluan dan kemestian. Pelbagai cara manusia gunakan untuk mendapatkan harta benda. Sama ada cara yang halal dan dibolehkan atau cara haram dan tidak dibolehkan. Sama ada oleh agama atau undang-undang kehidupan manusia.
Kerana kita menyayanginya.
Kita hantarnya ke "SPA" :-
Untuk dimandikan.
Untuk disabunkan.
Untuk diurut.
Untuk digosok-gosokkan.
Untuk dilap-lapkan serta diwangi-wangikan.
Kerana kita menyayangi yang "sementara dan tiada rasa sakit" itu.
Selepas dimandi dan disabunkan.
Digosok, diurut, dilap-lap serta diwangi-wangikan.
Dan setelah beberapa hari berlalu, ia kembali kotor dan cemar. Dan sampai masanya ia perlu dihantar ke "SPA" semula. Dan kita akan menghantarnya lagi. Berulang-ulang kali.
Berulang-ulang kali kita lakukan untuknya kerana kita amat menyayanginya. Malu dilihat kotor dan cemar. Malu pada diri sendiri dan juga orang-orang lain yang melihatnya.
TUAN HARTA ITU. KITA. MANUSIA-MANUSIA INI.
Sehingga hari ini, pernahkah walau sekali kita menghantar diri kita ke "SPA-SPA ROHANI" untuk membersihkan segala kekotoran yang ada dalam diri masing-masing.
"SPA"nya mungkin berada di mana-mana. Pilihlah mana yang paling sesuai untuk diri masing-masing.
Kalau pun tidak malu dan segan kepada diri sendiri dan orang-orang lain. Ingatlah bahawa kita ada Allah s.w.t yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui.
Luar dan dalam.
Dalam terang atau gelap tersembunyi.
Terselindung atau tidak.
Kerana jasad kita ada rasa sakit.
Tetapi tidak harta kita.
Tetapi jasad kita mungkin akan sakit kerana harta-harta kita yang tidak sakit itu.
Sesekali manjakan dan bersihkan diri di "SPA-SPA" rohani juga.
Bersihkan mana-mana kekotoran yang ada.
Muhasabah diri atas kealpaan dan dosa.
Moga-moga kita semua akan menjadi hamba-hamba dan khalifah-khafilah yang diredhai.
Di dunia dan akhirat juga.
Razak bin Nordin berpesan ; Ameen.
No comments:
Post a Comment