Saturday, August 22, 2009

Benarlah Awal Ramadhan Itu Rahmah

Semestinya rasa syukur alhamdulillah kupanjatkan kehadrat Allah s.w.t kerana diberikan kesempatan untuk terus menikmati Ramadhan kali ini. Mudah-mudahan aku diberikan kekuatan oleh Allah untuk memberikan yang terbaik mungkin dalam menghidupkan Ramadhan ini. Agak lama rasanya aku tidak solat berjemaah dengan isteriku atas "kesibukan" anak-anak yang menyebabkan kami "tidak boleh" solat berjemaah. Tidak tahulah alasan tersebut diterima oleh Allah atau tidak. Kadangkala dalam "kesibukan mengisahkan anak-anak" aku gagahkan juga pergi ke Pusat Islam untuk solat berjemaah. Hakikatnya sememangnya aku lebih gemar begitu. Kepuasan dan ketenangan yang tidak jumpa aku cari ditempat lain. Sesungguhnya aku amat merinduinya kerana ia pernah hadir dalam hidupku suatu ketika dulu. Cuma kadang itu kesian juga dekat isteri yang terpaksa solat dalam "kekalutan" dengan karenah anak-anak yang tengah membesar itu. Kadang itu termanggu dan tersentak juga bila isteriku berkata bahawa dalam aku seronok solat tanpa gangguan di Pusat Islam sedang dia "kelam kabut" untuk menyelesaikan solat maghribnya.
Aku amat memahami maksud isteriku. Kerana ibuku pun pernah bercerita tentang "kesusahan" dan "kekalutan" mendirikan solat semasa membesarkan kami, anak-anaknya. Sebab itu katanya, dipenghujung usia ini dan ketika anak-anak sudah besar serta membawa haluan masing-masing ,dia ingin menebus balik "dosa-dosa" silamnya itu. Dan ibu memilih untuk tinggal di Pondok* di "pondok usang" itu daripada bersama kami anak-anaknya di rumah batu ini.
Dikesempatan Ramadhan yang mulia ini, kuucapkan terima kasih yang tulus kepada isteriku atas pengorbanannya selama ini. Terima kasih kerana penuh tabah menjaga dan membesarkan anak-anak permata dunia kita bersama itu. Kenakalan mereka mudah-mudahan menjadi penghibur kesepian kita bersama.
Benarlah awal Ramadhan itu rahmah. Malam pertama Ramadhan bukti pertama untuk diriku. Setelah sekian lama, akhirnya rahmat Tuhan memberikan kami peluang untuk solat Isyak, Terawikh serta Witir secara berjemaah. Syukur Allah atas rahmatMu itu. Semoga rahmat tersebut akan terus berkekalan sampai bila-bilapun. Kekuatan dari Allah kupohonkan untuk selamanya.
Razak Nordin berpesan ; Semoga rahmat Allah sentiasa bersama kita. Ketenangan hidup yang mendamaikan dengan rahmat Allah S.W.T.
*Pondok -Pusat pengajian yang terkenal di sebelah pantai timur terutama Kelantan dan Terengganu. Begitu juga sebelah utara terutama di Kedah.

No comments: