Saturday, February 6, 2010

Kecil Tapi BESAR


Sekurang-kurang ada tiga perkara kecil tapi BESAR pada saya yang berlaku dalam hidup saya hari ini.

Pertama ; Paip sambungan penapis air yang rosak selamat dibaiki oleh Abe De.

Kedua    ; Telefon baru saya yang terpaksa hantar ke kilang semula "kembali" ke pangkuan walaupun baterinya tidak dapat dibaiki juga. Akhirnya dapat bateri baru. Harap-harap semua ok.

Ketiga     ; Amanah untuk mengambil baju isteri di kedai jahit di Pekan Arau sudah ditunaikan.

Dan beberapa hari lalu terakam peristiwa kecil tapi BESAR seperti gambar di bawah ;


Nur Syuhada Najihah dan Ruknuddin Razin Raziq

Saya sengaja memasukkan kedua-dua gambar di atas sebagai pembuka bicara kepada topik pada kali ini ;

Kecil Tapi Besar. 

Bukan semata-mata kerana kedua-duanya adalah puteri dan putera saya dan tidak ada sesiapa yang berhak memarahi saya jika mereka tidak dibayar royalti tetapi sekurang-kurangnya ada sebab-sebab lain.

Pertama ; Kerana ia pertama kali berlaku setelah acapkali si adik mencuba untuk membonceng basikal si kakak.

Kedua ;  Nilai-nilai murni yang tersembunyi sehingga berlakunya "peristiwa itu" walaupun si kakak penuh kepayahan mengendalikan basikalnya itu. Dalam kepayahan itu, senyuman masih terukir di wajah si kakak dan si adik tumpang teruja. 

Untuk sebab yang kedua, saya melihat sekurang-kurangnya atas dua sebab pula ;

Nilai kasih sayang.

Dan  pengorbanan bila hidup ini masih ada nilai saling harga menghargai.

KECIL TAPI BESAR DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN.

Dalam kesibukan tugas dan aktiviti harian, kadangkala kita terlupa perkara-perkara yang kecil walaupun pada hakikatnya ia adalah BESAR. Pada pandangan saya ;

Kadang-kadang kita mungkin terlupa;

Mengucapkan ucapan terima kasih kepada pasangan masing-masing atas segala khidmat baiknya semalam dan malam tadi pada setiap pagi sebelum keluar bekerja.

Memulakan pemanduan dengan doa mohon perlindungan dari Allah sama ada perjalanan itu dekat atau jauh.

Memulakan kerja-kerja harian dengan doa walau seringkas mana sekalipun, mudah-mudahan segala kerja-kerja kita dipermudahkan oleh Allah s.w.t.

Memulakan kelas pengajaran dengan sebarang doa, paling tidak pun bacaan surah al Fatihah. Semoga semuanya dipermudahkan untuk kita dan pelajar juga.
Menguntumkan senyuman untuk sahabat-sahabat dan rakan-rakan yang kita sayang dan hargai di seputar hidup kita. Yang dibenci, pilihlah cara sendiri. Entahlah. Memaafkan setiap orang sebelum tidur mungkin bukan sesuatu yang mudah apabila setiap hari hati kita disakiti atas sebab-sebab yang tidak perlu pun.

Mengucapkan ucapan terima kasih kepada sesiapa sahaja yang menolong kita walaupun pertolongannya itu sekadar "stapler"kan dua helai kertas milik kita atau menandatangani "Cop Salinan Sah" dokumen-dokumen milik kita.

Menegur kesilapan dengan cara yang berhemah dan bijaksana walaupun mungkin kita merasa bahawa kita berada di pihak yang benar.

Menggunakan perkataan yang sesuai dan hikmah apabila meminta tolong dari rakan-rakan dan sahabat-sahabat serta orang-orang di seputar hidup kita walaupun kita adalah ketua yang dilantik secara rasmi.

Mengucapkan ucapan terima kasih kepada semua pelajar apabila kelas berakhir. Atas kerjasama dan perhatian dan memohon maaf atas kekurangan. Kerana semua kita adalah manusia yang tentunya banyak kekurangan di mana-mana.

Para pelajar mengucapkan ucapan terima kasih kepada pensyarah setiap kali berakhirnya kelas pengajaran dan pembelajaran walaupun pensyarah sememangnya di bayar gaji untuk mengajar dan berkhidmat.

Mengucapkan salam sesama Muslim dan ucap selamat untuk yang berlainan agama sebagai menandakan bahawa antara kita bertaut di hati.

Dan lain-lain.

Mungkin banyak lagi yang tidak mampu disenaraikan. Sekadar beberapa contoh yang adakalanya Razak Nordin juga mungkin terlupa.

"KECIL PADA AMALAN TAPI MUNGKIN BESAR PADA KESANNYA. ITULAH YANG DIHARAPKAN"

Razak Nordin berpesan ; Lihatlah. Apabila lelaki dan wanita saling jatuh cinta, saling sayang menyayangi antara satu sama lain, saling harga menghargai, tiada lagi yang "tertinggal". Segala-segalanya adalah untukmu sayang. Susah dan senang kita lalui bersama. 

Contoh mudah mungkin gambar di atas. Kasih sayang, kecintaan mengatasi "kepayahan dan penderitaan"  si kakak dalam memberi khidmat untuk orang-orang yang si kakak sayangi. Satu-satunya adiknya buat masa ini.

No comments: