Sunday, February 28, 2010

Hajat Kecil Yang Tertunai Juga

Semuanya bermula dari sembang-sembang yang tidak disengajakan malam tadi.

Macam biasa.

Sembang-sembang pasal makan antara topik yang jarang diabaikan walaupun masih dalam "pantang" dengan pelbagai makanan kegemaran.  
Sesekali melanggar pantang mungkin diharuskan.

Teringin benar rasanya merasa menu ayam kampung digulai menggunakan rempah Cap Bunga Ros Ustaz Hasan Majid. Bekas guru Quran saya zaman persekolahan menengah dahulu. Campur pula dengan sedikit kerisik. Aromanya yang "dulu-dulu" bagaikan masih terhidu-hidu.

Pagi tadi.
Seawal pagi saya telah "menerjah" ke lokasi-lokasi yang dipercayai ada menjual ayam kampung yang sudah diproses.

Pertama, kedai ayam di Pekan Pauh
Dan keduanya di "Nat" Pokok Getah di Pauh juga.

Sedikit hampa dan kecewa.
Entah macam mana hari ini kedua-dua lokasi yang saya terjah itu tidak ada ayam kampung yang saya kehendaki.

Diringkaskan.

Saya memandu pulang dari Nat Pokok Getah Pauh ke rumah dengan perasaan yang berbaur. Bercampur antara sedikit kecewa, hampa serta sedikit terkilan.

TERIMA KASIH USTAZ YASIR

Telah ditakdirkan.

Sebaik sampai di pintu masuk politeknik saya berselisih dengan ustaz Yasir yang kebetulan ingin keluar. Destinasinya saya tidak pasti.

Saya menunjukkan isyarat tangan “tidak ada”. Dan saya rasa dia faham maksud saya kerana selepas seketika belum pun saya sampai ke rumah telefon saya berbunyi .

Dan Ustaz Yasir seperti biasa. Orangnya semudah namanya.

“Nak hambo beli kat Jitra ke”, sejujurnya suara dihujung talian. Tanpa menyebut pun apa yang ingin dibelikan kerana antara kami telah memahami maksudnya ; Ayam Kampung.

Dengan hasrat tidak menyusahkan, saya menjawab “Takpelah, takpelah, susah pulok nanti”, saya pun sejujurnya juga.

“Takpelah, hambo belilah”, Ustaz Yasir memberikan peneguhan.

Atas peneguhan itu saya menjawab “ Kalau kebetulan nak p tu belilah, tapi kalau semata-mata nak pi beli ayam takyahlah”, saya benar-benar tidak ingin menyusah sahabat yang agak kurang sihat juga sejak akhir-akhir ini.

“Takpelah, hambo pun memang nak p “market” Jitra, kalau ada hambo belilah”, Ustaz Yasir memberikan keyakinan bahawa saya memang tidak menyusahkan dia.

“Oklah”, saya yang menyudahkan perbualan telefon pagi tadi.

Selang beratus minit kemudian.

"SMS" ini yang masuk ke telefon saya “ Ayam kampung telah dibeli”. Tentunya dari Ustaz Yasir.

Saya membalas “Ok, nak pi Pauh Jap, “cari" barang kejap”.

SMS tersebut tidak berbalas.

Tetapi sekitar 12.30 tengahari kurang lebih "sampailah" ayam kampung tersebut bersama barang-barang yang tidak dipesan pun.

Batang keladi.
Nangka muda
Dan rebung.

Itulah Ustaz Yasir yang saya kenali. Orangnya semudah namanya.

Terima kasih banyak-banyak atas jasa baik yang diberikan.

Dengan persiapan ramuan masakan yang telah dibuat awal. Proses masak memasak tengahari tadi berjalan agar lancar juga.

Dan inilah hasilnya ;

Gulai Ayam Kampung ala Terengganu berempahkan rempah Cap Bunga Ros Ustaz Hasan Majid.

Terima kasih juga buat isteri kerana "susah-susah" masakan untuk saya .

Razak Nordin berpesan ; Syukur pada Allah s.w.t. atas nikmat-nikmat yang masih berterusan.

No comments: