Saturday, February 6, 2010

Apa Diharap Padi Seberang

"Orang tidak akan melihat kebaikan-kebaikan yang kita buat tetapi orang hanya mengkritik kesilapan-kesilapan yang kita buat", kata-kata Tutor saya Ustaz Farid Mat Zin(waktu itu) semasa saya belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia masih melekat teguh dalam memori ingatan ini. Sekitar tahun 1995. Semasa saya di tahun 3 pengajian.

Dan saya menyebutnya sekali lagi semasa menutup Mesyuarat Jawatankuasa Perasmian Pusat Islam Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin yang dijangka pada 28 Januari 2010.

Mudah-mudahan ia dapat sedikit sebanyak memberikan inspirasi untuk AJK-AJK terbabit meneruskan "perjuangan" sebagaimana saya pernah mengalaminya lebih 10 tahun dulu.

Kata-kata tersebut sungguh bermakna kepada saya ketika itu kerana saya betul-betul dalam keadaan tertekan kerana diamanahkan untuk menjadi pengarah Seminar Pemurnian Semula Sejarah Awal Islam pada saat-saat akhir setelah orang yang diamanahkan sebelum itu "tidak sempat" untuk menguruskan seminar tersebut.

Semuanya bermula dengan langkah pertama semula.

Mencari pembentang kertas kerja.
Mencari peserta seminar.
Mencari sumber kewangan untuk membuat bayaran-bayaran tertentu seperti upah percetakan kertas kerja.

Itu antaranya.

Dan masih ada beberapa perkara dalam ingatan saya tetapi rasanya tidak perlu dikongsikan di sini.

Semuanya menemui jalan kepayahan dan kegelisahan yang bukan sedikit. Semuanya ada peelnya tersendiri.

Pembentang kertas kerja dengan peelnya tersendiri. Lewat menghantar kertas kerja walaupun dihubungi berulang-ulang kali. Ada antara nama-nama mereka masih dalam ingatan saya. Saya benar-benar masih ingat kerana mereka pernah membuatkan saya begitu gelisah ketika itu.

Mencari peserta seminar pula bukan perkara yang mudah dan senang. Kebetulan pula tajuknya tiada nilai komersial kata orang sekarang. Sampai ke akhirnya pun jumlah peserta tidak mencapai target dan perkiraan bugjet kewangan "lari" begitu jauh dari perkiraan asal. Kertas kerja dicetak lebih dengan harapan ada peserta yang akan mendaftar pada saat-saat akhir. Dan akhirnya duit pinjaman saya terbang RM 600++ untuk menampung kos percetakan. Tiada sumber lain lagi.

Mencari sumber kewangan betul-betul meninggalkan pelbagai kenangan pahit maung bagi diri saya dan juga rakan-rakan seangkatan ketika itu. Cuma saya dikira agak beruntung ketika itu kerana ramai juga kawan-kawan yang "menyayangi" saya dan mereka sanggup berkorban bersama saya dalam mencari sumber kewangan. Terima kasih kepada orang kaya Kajang kerana sudi menyumbangkan dana dan ada antara kami menjadi seperti peminta sedekah mencari sumber kewangan dari pelbagai tempat.

Sebagai perkongsian dari cerita lain, saya pernah "meneroka" Jalan TAR dan sekitarnya serta beberapa jalan yang lain bersama rakan-rakan untuk mendapatkan sumber kewangan untuk satu projek seminar perkahwinan yang kami anjurkan bersama Azhari Ibrahim dan Abdul Aziz Mohamad. Perit dan jerih. Yang banyaknya peluh dan tebalnya muka. Yang sedikitnya wang yang diperolehi.

Kembali cerita asal.

Mengangkut kertas-kertas A4 dari Kajang ke UKM berulang-ulang kali dengan motor adalah antara "pengalaman manis" yang kami lalui bersama dengan segala rasa yang ada.

Dalam ranjau dan sedikit kepayahan yang telah ditakdirkan itu. Saya amat bersyukur pada Ilahi kerana seminar itu telah berlangsung dengan jayanya. Dan segala kepedihan itu saya simpan sampai hari ini kerana saya adalah pengarahnya. Segalanya dibawah "tanggungan" saya. Betul dan silapnya. Baik dan buruknya juga. Puji dan hinanya juga. Dan malam ini saya coretkan semula dalam blog ini. Bukan bermaksud mengungkit kisah lama. Harapnya ada sedikit pencetus pada jiwa yang memerlukan termasuk saya juga.

Cumanya hati  saya sedikit terubat ketika itu kerana apabila selesai ucapan alu-aluan saya sebagai pengarah seminar, ketika saya kembali duduk di sebelah Ketua Jabatan, Ustaz Ismail Abdul Halim(dulu), kata-kata ini yang pertama keluar dari mulutnya. 

"Ahsanta", merujuk "bagusnya" isi-isi ucapan alu-aluan yang telah saya sampai. Saya tahu kerana dia menyebutnya sekali lagi dalam ucapan perasmiannya.

Dan rakan-rakan seperjuangan mengangkat ibu jari tanda bagus di hujung dewan . Ketika itu hati saya separuh terubat. Separuh lagi masih saya simpan hingga hari ini, untuk khazanah panduan diri.

Razak Nordin berpesan ; Dalam kepayahan dan kesakitan, adakalanya "kegembiraan dan harapan" dapat mengubatnya kalau pun tidak semuanya. Kecil tapi BESAR.

Saya juga dedikasikan tulisan ini khas untuk anak-anak muda yang baru mula belajar bertatih. Bertatihlah perlahan-lahan. Takut terjatuh tersemban muka. Belajar mengalaminya sendiri untuk mengetahui betapa jauh bezanya hakikat dengan persepsi.

No comments: