RUKNUDDIN RAZIN RAZIQ BIN RAZAK
Anakanda Razin,
Mengikut kalendar Hijrah, hari ini bersempena dengan memperingati hari Maulid al Rasul tahun 1431H genaplah anakanda Ruknuddin Razin Raziq berumur 2 tahun.
Abi mendoakan moga anakanda terus dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki serta dipermudahkan segala urusan hidup ini. Lebih penting dari itu, semoga anakanda dapat membesar bersama nikmat Islam dan Iman yang berterusan sampai bila-bila pun.
Anakanda Razin,
Jangan sesekali lupa menjadikan Rasulullah Muhammad s.a.w. sebagai idola terbaik sepanjang zaman dari semua aspek kehidupanmu. Mendepani hidup masa hadapan tidak semudah yang kau impikan. Belajarlah perlahan-lahan. Merangkak, bertatih, jatuh bangun kemudian berjalanlah sambil berpedoman. Jangan gopoh dalam menjalani hidup yang pelbagai karenah ini. Kerana Allah s.w.t pun menciptakan langit dan bumi mengambil masa selama 7 hari walaupun Allah s.w.t mampu untuk menjadikan keduanya sekurang atau lebih cepat dari kerlipan mata sekalipun.
Anakanda Razin,
Ingatlah bahawa Nabi Muhammad s.a.w bukan sekadar lilin yang hanya mampu menerangi sisi persegi yang terbatas, bukan sekadar lampu kalimantang yang hanya mampu menerangi rumah yang mempunyai sempadan tertentu, bukan sekadar bulan yang menyinari sebahagian bumi di malam hari tetapi Nabi Muhammad s.a.w adalah matahari yang menutup malam dengan sinaran cahayanya. Menerobos semua tempat yang tidak mampu dimasuki oleh cahaya lilin, lampu kalimantang dan bulan. Menjadi bukti bahawa hadirnya adalah rahmat untuk sekalian alam.
Selamat hari lahir buat anakanda tercinta.
Daripada ;
Abi dari kedekatan ini.
Razak Nordin berpesan ; Anak kecil perlu "diikat mindanya" dengan nilai-nilai yang baik sedari rebungnya lagi. Mudah-mudahan kelamaan yang dilalui akan menjadi kebiasaan yang sebati dalam diri.
No comments:
Post a Comment