Tuesday, February 23, 2010

Kerana Kau Anak Kecilku.

Selepas selesai menulis coretan cerita satu perdua malam,  satu perdua malam tadi, dengan berbekalkan semangat Nabi Ayyub yang telah sedikit berbekas di jiwa, saya bergegas untuk kembali "berjuang" melelapkan mata  bagi cubaan kali kedua.

Tetapi semuanya tidak semudah yang diharapkan.

Pejam celik, pejam celik yang entah berapa kali itu tidak pula menghadirkan lena walaupun ketika itu rasa ingin tidur yang amat sangat.

Pusing kiri, pusing kanan. Mencari posisi dan keselesaan untuk beradu.

Masih gagal untuk melelapkan dua biji mata sepet ini.

Gangguan mimpi yang melampau-lampau dan "fikir-fikir tanpa landasan dalam kepala otak" sebelum tidur, semuanya menjadikan tidur bukan lagi nikmat yang dinanti-nantikan oleh saya. Siang dan juga malam.

Dan.

Ketika mata hampir terlelap, antara sedar dan jaga itu. Tiba-tiba Si Razin pula menangis. Bersulam antara perlahan dan sesekali "menerang' juga.

Jam di dinding lebih kurang pukul 2 pagi.

Dan semua itu membawa ke pagi tadi.
Sekejap senyap. Lepas seketika "berbunyi" lagi.

Kerana Kau Anak Kecilku.

Kami bergilir melayan karenahnya yang pelbagai macam tu.

Sekejap mahu didukungnya.
Sekejap mahu bantal busuknya.
Sekejap mahu susu botolnya.
Sekejap mahu Uminya.
Sekejap mahu Abinya pula.
Sekejap melayan kartun saluran 611.
Sekejap masuk bilik.
Sekejap keluar bilik.
Sekejap buka langsir.
Sekejap tutup langsir.
Pelbagai kaedah dan teknik yang dicuba.

Hasilnya ;
Sekejap senyap. Sekejap menangis pula. Silih berganti membawa ke pagi.

Dan.

Sesi terakhirnya bersama Uminya dan saya terlelap dalam separuh jaga hingga ke pagi.  Bila semuanya berakhir saya sendiri pun tidak pasti. Dalam separuh jaga itu, saya masih mendengar sesekali tangisnya hingga ke pagi.

Antara kepenatan serta perlukan masa rehat untuk tidur.

Antara kegeraman melayan karenahnya yang adakalanya sukar difahami itu, saya memilih yang ketiga iaitu memberikannya ciuman yang bertalu-talu. Tanda sayang yang tiada batas dan belah bahaginya.

Masam pipinya sewangi kasturi.
Hanyir hingusnya semerbak mawar mewangi.
Bising tangisnya seindah melodi.
Semuanya menggamit rasa rindu.

Kerana Kau Anak Kecilku.

Abi tidak mahu menderhaka kepadamu. Sebagaimana engkau juga tidak boleh menderhakai Abi.

Kerana Abi telah ;

Memberikanmu nama yang baik.
Mengajarkanmu tentang perkara-perkara baik dari Al Quran.
Memilih ibu yang terbaik bagi Abi untuk melahirkanmu ke dunia ini.

Kerana sesekali Abi teringat kisah yang pernah berlaku di zaman Saidina Umar al Khattab r.a.
Bapa derhaka kepada anaknya lebih dahulu sebelum anaknya dianggap derhaka kepada bapanya. 

Kerana 3 sebab juga;

Memberikannya nama yang tidak baik.
Tidak mengajarkan anaknya dengan ilmu al Quran.
Memilih ibu yang tidak baik untuk melahirkan anaknya.  

Lalu kata Saidina Umar, kamu terlebih dahulu telah menderhaka kepada anakmu sebelum anakmu menderhaka kepadamu sebagai bapa.

Sudahnya.

Kepala ini terasa"berat sekali" hingga saat ini.

Razak Nordin berpesan ; Kerana kau anak kecilku. Tiada batas dan belah bahaginya. Tertunaikah amanah seorang bapa bernama Abi Razak. Mudah-mudahan.

No comments: