Tuesday, March 2, 2010

Suasana Kondusif Penting Dalam Proses Pengajaran Dan Pembelajaran

Ini adalah takrifan kondusif yang saya temui ;

Kondusif ; sesuai, baik dsb utk membantu mencapai atau mendorong menghasilkan sesuatu: Dgn menyediakan persekitaran yg ~, negara akan terus mengalami perkembangan ekonomi yg menggalakkan.  Sumber asal tanpa pindaan : http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=kondusif

Dari sudut pandangan mana sekalipun, saya masih beranggapan bahawa suasana kondusif adalah salah satu perkara penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Kondusif pada pandangan saya meliputi beberapa perkara berikut ;

1. Peralatan atau Alat Bantu Mengajar.
Pastikan ianya boleh digunakan untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Bangunan yang tersergam megah serta penghawa dingin yang memberikan rasa nyaman itu belum cukup untuk memberikan suasana kondusif yang diinginkan. LCD projector dan mikrofon yang sepatutnya memberikan "rasa" kondusif dalam proses pengajaran dan pembelajaran jangan sampai memberikan bebanan mental pula kepada tenaga pengajar dan juga para pelajarnya. Suara mikrofon tenggelam timbul sementara LCD pula gambarnya hanya berbayang merah dan biru. Dan akhirnya tenggelam tanpa sepatah kata pun terpapar di skrin.
Gambar Bukan Sekadar Hiasan
2.  Alat Penghawa Dingin Di Setiap Kelas.
Keperluan terhadap pemasangan penghawa dingin di setiap kelas bukan lagi satu pilihan tetapi satu kemestian untuk memberikan rasa nyaman yang bakal memberikan suasana kondusif itu. Panas yang semakin membahang membuatkan pilihan semacam sudah tertutup. Bayangkan, di dalam kelas dengan udara yang panas yang hanya ber"angin"kan kipas yang juga "memusingkan" angin yang panas juga, selalunya menitikkan titik-titik jerih yang bukan sedikit. Berjalan dan bercakap dalam suasana seperti itu bukan sesuatu yang mudah. Paling kurang 120 minit untuk satu-satu masa. Bagaimana jika lebih panjang daripada itu.

3. Susun Atur Kerusi Meja Perlu Diselaraskan.
Saya kira, susun atur kerusi meja merupakan salah satu perkara yang dikira penting untuk mewujudkan suasana kondusif dalam kelas semasa berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran. "Kelas terapung" yang menjadikan sesuatu bilik itu tidak "dimiliki" oleh sesiapa mungkin antara halangan utama kepada masalah ini. Tiada sesiapa "tertentu" yang boleh dipertanggungjawabkan secara mutlak. Menjadikan cerita 'bangau oh bangau" adalah jawapan popular kepada persoalan ini. Susun atur kerusi meja yang berkecamuk akan melahirkan pemikiran yang berkecamuk juga akhirnya. Dan akhirnya "ular" yang menjadi mangsanya . Dan "ular" itu adalah tenaga pengajar dan para pelajarnya juga. Sesuatu yang "menyakitkan" juga jika setiap kali masuk kelas dan setiap kali itu juga proses menyusun atur semula terpaksa dilakukan. Kalau sikit-sikit mungkin boleh dipertimbangkan lagi. Tetapi kalau selalu-selalu sangat hilang juga bisanya. Saya penuh yakin bahawa setiap persoalan ada jawapannya yang pasti. Tugas "pasti" kita adalah mencari langkah penyelesaian yang terbaik kepada masalah tersebut.

Sembang-sembang secara tidak rasmi dengan seorang dua rakan sekerja sedikit sebanyak menyokong pandangan di atas walaupun tiada kajian ilmiah yang dilakukan. Dalam hal ini barangkali pengalaman sendiri dan rakan-rakan merupakan kayu ukur "paling tepat" berbanding soal selidik yang adakalanya dimasuki unsur "tanda sahajalah mana yang patut, janji siap dan hantar".

Sejujurnya saya katakan.
Jangan pula kalut-kalut menyusu kera di hutan sedangkan anak-anak di rumah menangis kehausan dan kepanasan.
Dan.
Jangan pula sampai yang dikejar tidaklah dapat, manakala yang dikendung pula berkeciciran.

Razak Nordin berpesan ; Adakalanya dalam keghairahan menyebabkan manusia menjadi gelojoh dan sering terlupa.

Nota ; Tulisan ini hanya pandangan peribadi penulis sebagai warga pengajar dan tiada kaitan dengan mana-mana institusi sama ada secara langsung atau tidak langsung.

3 comments:

PUSAT ISLAM POLITEKNIK TUANKU SYED SIRAJUDDIN said...

kekadang tertanya-tanya jugak, dari manakah duit kita dapat untuk mengkondusifkan Pusat Islam. Sedangkan kelas lama dah tak kondusifnya. Adakah perlu di"rasmi"kan kelas baru nak dapat suasana kondusif tersebut.
Ataupun jangan ditanya dan tak perlu tanya..

ajaknordin said...

No komen...huhuhu

Naser Al-Faasy said...

Terbaek.

Share/Bookmark