Monday, March 15, 2010

Telegram Untuk Pengguna Tandas Awam

Daripada : Ibnnordin

Kepada   : Semua pengguna tandas awam seluruh Malaysia.

Perkara   : Sama-Samalah Menjaga Kebersihan Tandas Awam.

Tuan/puan yang dikasihi dan dihormati sekalian.

Apabila saya menghantar telegram ini kepada tuan-tuan dan puan-puan, saya tidak bermaksud untuk mencari salah sesiapa dalam perkara yang berkait dengan kebersihan tandas awam kita.

Tidak sama sekali.
Besarlah harapan saya semoga kita sama-sama dapat menjaga kebersihan tandas awam. Tandas awam kita, tanggungjawab kita.

Cumanya.
Sebagai salah seorang pengguna tandas-tandas awam yang agak kerap juga, saya merasa cukup terkilan dengan tahap kebersihan yang pada pengamatan saya kurang memuaskan.

Antaranya ;
1. Tandas-tandas yang tidak dipam setelah digunakan. Tidak mampu saya gambarkan dalam bentuk tulisan di sini. Saya rasa tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum akan kesannya jika ianya berlaku dalam tempoh masa yang panjang. Kuning, berlumut dan meremangkan bulu-bulu roma yang ada.

2. Paip-paip getah tidak digantungkan semula ke tempat asalnya setelah digunakan. Dibiarkan melingkarkan di atas lantai tandas yang basah untuk digunakan oleh pengguna seterusnya termasuk saya juga. Padahal rasa saya, kerja tersebut tidaklah berat sangat pun. Tergamakkah tuan-tuan dan puan-puan memegang dan menggunakan paip-paip getah yang dibiarkan melingkar dalam tandas tersebut? Entahlah. Kalau tidak sanggup, orang lain pun tidak sanggup juga. Kalau tuan-tuan dan puan-puan sanggup, tentunya ada orang-orang lain yang tidak sanggup. Percayalah!!!

3. Puntung-puntung rokok juga dibuang ke dalam tandas bahkan dalam mangkuk tandas pun ada. Lebih teruk lagi jadinya apabila ianya tidak "pergi" bersama air yang dipam. Sudahlah tidak indah pada pandangan mata bahkan tidak pula wangi pada hidung yang terpaksa menciumnya.

4. Kebanyakkan pintu tandas yang saya pernah saya jumpa rosak dan tidak boleh digunakan lagi. Kalau setakat kencing mungkin boleh dipertimbangkan lagi. Bolehlah kencing dengan "aman" dengan pelbagai gaya yang ada. Kalau buang air besar, kemungkinannya tidak banyak gaya yang boleh dipelbagaikan.

Oleh itu saya menyeru diri saya dan semua pengguna tandas-tandas awam supaya marilah sama-sama kita menjaga kebersihan tandas awam yang kita gunakan. Janganlah sampai air kecil dan besar yang sudah berada di "muka kuala" undur semula ke "hulu" setiap kali kita memasuki tandas. Berpeluh dahi sudahnya.

Lalu kita salahkan orang lain atas "dosa-dosa" yang pernah kita lakukan.

Mungkin mudah kita katakan ;
Pekerja kebersihan kan ada!!
Pekerja kebersihan buat apa?
Ah, ini bukan rumah kita!!
Biarkan!!, lepas ni ada orang akan bersihkan.
Dan mungkin pelbagai perkataan yang akan terucap.

Itu saya tidak akan komen.

Maaflah jika telegram ini agak panjang. Selalunya telegram dalam bentuk yang ringkas, tepat dan padat kerana bayarannya agak mahal juga.

Tetapi untuk kali ini biarlah saya berhabis duit untuk telegram ini. Dengan harapan adalah seorang dua yang mengambil iktibar dari telegram sepanjang ini.

Razak Nordin berpesan ; Yang ikhlas dari kejauhan. Ibnnordin.

No comments: