Wednesday, March 31, 2010

Pelajar Sekolah : Benarkah Mereka "Berlesen Besar"

Mitos atau realiti.
Dulu-dulu dan hingga sekarang pun.
Di kampung saya, pelajar-pelajar sekolah selalu dianggap sebagai "pemilik lesen besar". "Lesen besar" di sini merujuk kepada "kekebalan" para pelajar sekolah ketika berada di jalanraya.

Ibaratnya.
Dalam apa keadaan sekali pun, mereka tetap tidak dianggap bersalah. Jika mereka yang melanggar orang lain, orang yang dilanggar itu akan dianggap salah. Bukan pelajar itu yang dianggap bersalah. Kalau orang lain yang melanggar budak sekolah, lagi-lagilah salah-salahnya itu. Walaupun pelajar-pelajar sekolah tersebut melintas jalan sesuka hati mereka. Menunggang motosikal dan memandu kereta sesuka hati juga.

Betul Ke Kebal.
Pagi ini baru terpanggil saya untuk menulis tentang perkara ini. Harap-harap ia tidak mengundang kontroversi. Kerana itu bukan maksud saya.
Saya hanya ingin tahu betul ke mereka "kebal" kerana;
Sudah acapkali benar saya melihat seolah-olah "kekebalan" itu berlaku. Dilihat di banyak tempat juga, cumanya pada masa yang mungkin berbeza. Kalau bolehlah saya senaraikan di bawah ini.

1. Kebanyakan atau majoriti pelajar sekolah yang saya jumpa menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar(mungkinkah kebetulan?). Walaupun selalu juga dilihat topinya "disimpan" dalam raga motornya. Andaiannya mungkin kerana mereka tidak mahu rambut yang telah disikat rapi itu dirosakkan oleh pemakaian topi keledar tersebut. 

2. Menunggang motosikal secara berkelompak sehingga menguasai sebahagian besar jalanraya terutama di kawasan-kawasan yang berhampiran dengan sekolah.

3. Membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar sama ada dengan kawan sepersekolahan atau bukan kawan sepersekolahan( mungkin ayah atau ibu atau abang atau kakak atau bapa saudara atau emak saudara) yang menghantar mereka ke sekolah sedangkan penunggangnya memakai topi keledar.

4. Berlumba sesama mereka terutama semasa tamat persekolahan pada hari tersebut. Sudahlah topi keledar pula tidak dipakainya.

Senang cerita.
Semuanya itu bercantum dalam satu. Cumanya, saya sengaja senaraikannya satu persatu untuk mudah dibaca dan difahami walaupun dalam banyak keadaan ia adakalanya berkesinambungan.

Persoalan saya?
Betulkah para pelajar sekolah "berlesen besar dan kebal". Sehingga seolah-olahnya semuanya macam tidak terkawal dan berleluasa. Atau saya terlalu ambil kisah kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya saya peduli pun. Kerana mereka bukan anak-anak atau adik-adik saya pun.

Entahlah. Cumanya, sebagai manusia yang masih waras dan boleh berfikir, kadangkala kepedulian itu datang tanpa dipaksa-paksa pun.

Harapan.
Jika adalah pihak-pihak berwajib berkaitan ada terbaca blog picisan ini. Sudi-sudilah berkongsi maklumat dengan saya. Persoalan saya. Pelajar Sekolah : Benarkah Mereka "Berlesen Besar?".

Mitos atau Realiti.

Razak Nordin berpesan ; Berkongsi menambah maklumat dan pengetahuan.

No comments: