Bukan sekali aku pernah mendengar dan barangkali anda juga, ungkapan seperti di bawah ini ;
1. Alah, kerja dah ada, apa nak lagi. Oklah tu.
2. Alah, anak bini dah ada, nak fikir apa lagi. Tak bahagia lagi ke.
3. Alah, kereta dah ada, rumah dah ada, apa lagi yang kau nak???
4. Tidak lengkap lagi ke hidup kamu ni , apa lagi kamu nak, kerja ada, anak bini dah ada, hidup senang, rumah ada, kereta ada..pendek kata, sudah cukup sempurna. Apa lagi yang tidak cukupnya. Apa lagi sebab tidak bahagianya.
Aku biasa mendengar dialog-diolag di atas sama ada secara langsung atau tidak langsung. Selalunya apabila aku "mengomel-ngomel" tentang apa yang sebenarnya aku cari dalam hidup ini. Entahlah, hati ini selalu terasa kosong dan semacam tidak ada kesudahan "kepuasannya". Kerja sudah ada. Isteri serta anak-anak yang comel "lote" sentiasa di sisi. Kenderaan yang "baik" sudah dimiliki , rumah kediaman yang selesa sudah tersedia. Makan minumnya pula lebih dari cukup berbanding kehendak. Aku lahirkan rasa syukur pada Allah atas segala nikmat Allah S.W.T. itu berbanding hidupku bertahun dulu.
Persoalannya ; Adakah apabila kita memiliki semua yang disebutkan di atas bermakna kita akan bahagia, tenang dan damai di dunia. Adakah kerana di tangan kita ada segelas air kita akan hilang "dahaga" atau hausnya itu. Sesekali aku tidak menafikan bahawa semua itu barangkali banyak membantu untuk membahagiakan manusia. Terima kasih tidak terhingga buat isteri tercinta serta anak, Cik dan Mak, adik beradik, rakan-rakan serta semua yang pernah bersahabat bahagia selama ini. Soalnya, adakah ia sama untuk semua orang.
Aku biasa ditanya bagaimana cara hendak memujuk suami atau isteri yang merajuk. Jawabku "senang' yang bukan "senang". Pilihlah cara yang "sesuai" dengan diri sendiri dan pasangan anda juga. Tidak ada cara yang sama untuk semua orang. Cara yang "sesuai" dan masa yang "sesuai" juga mungkin tidak sama untuk individu berlainan. Jadi terpulanglah kepada "kebijaksaan" masing-masing untuk memilih yang "sesuai" itu.
Begitulah hidup ini. Secara peribadi aku "sedikit tidak serasi" dengan dialog-dialog atau jawapan di atas. Kebenarannya mungkin ada tapi itu bukan faktor utamanya berdasarkan pengalaman peribadiku. Aku masih ada "simpan sedikit" kepercayaan pada kata-kata "bahawa tilam yang tebal belum tentu nyenyaknya tidur."
Kesusahan hidup suatu masa dulu menjadikan aku manusia yang berangan-angan "besar". Aku tabik pada Mat Jenin yang mempunyai cita-cita besar. Siapa kata Mat Jenin mati semasa jatuh dari pokok kelapa semasa berangan-angan berkahwin dengan anak raja. Kalau Mat Jenin betul-betul terkorban semasa jatuh dari pokok kelapa, kepada siapakah Mat Jenin telah ceritakan angan-angannya sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya itu. Semuanya kena auta oleh penjajah. Nanti aku perincikan dalam catatan lain kisah Mat Jenin tersebut.
"Dulu-dulu" semasa masih "belajar" aku pernah berangan-angan betapa "syoknya" jika sudah bekerja, tidak perlu "susah payah" buat tugasan yang bertimbun-timbun dan macam-macam lagi benda-benda yang aku tidak suka. Mempunyai gaji sendiri pulok tu. Pernah juga berangan-angan betapa "syoknya" memiliki lesen memandu, motor atau kereta sendiri. Syoknya bila kahwin nanti serta macam-macam lagi "angan-angan" yang "syok-syok" . Rupanya itu hanya persepsi dari seseorang yang belum "memiliki". Aku pernah mendengar kata-kata " datanglah ke dunia sebenar, baru tahu hakikatnya". Sekali lagi aku "tegaskan" bahawa ini bukan bermakna aku tidak bersyukur atas segala nikmat Allah tersebut. Terlalu bersyukur. Tapi di situkah terletaknya sebuah kepuasan abadi.
Bayangkan dunia kerja yang disangka semuanya indah, tidak semuanya indah rupanya. Rakan sekerja, persekitaran kerja pernah membuatkan aku rasa " rupanya semuanya indah khabar dari rupa". Sama ada ia berpunca dari diriku sendiri atau orang lain. Itu kita bincang dalam coretan lain. Di sini kita berbicara soal ketenangan, keindahan dan kedamaian jiwa, hati dan perasaan.
Begitu juga apabila berjaya memiliki lesan memandu , motor serta kereta sendiri. Semuanya kosong dan hambar. Rasa macam minum air oren masa demam teruk. Semua pahit dan kelat. Angan-angan sebelum memiliki akhirnya hilang bersama sejarah masa. Hati dan perasaanku masih seperti dulu. Masih tiada penghujung pada sebuah kerinduan yang sejati.
Rutin hidup masih sama. Bangun pagi solat subuh, hantar anak ke sekolah, masuk kerja, balik kerja, petang bersama dengan anak isteri atau bersukan . Bila maghrib, bersiap untuk diri ngan anak-anak, tunaikan kewajipan, lepas tu tidur, pagi esok bangun balik. Bila lapar, makan, bila dahaga, minum. Bila rasa mengantuk, tidur. Bila jemu, "start" kereta, pusing-pusing dan jalan-jalan. Pagi esok rutin sama berulang lagi. Itukah erti hidup? Itukah namanya kepuasaan hidup? Aku belum menjumpainya.
Kenapa?
Razak Nordin berpesan ; Kalau kau menjadi aku, aku yakin kau akan mengerti.
Jumaat
21 Ramadhan 1430H
2 comments:
kalau aku mnjd engkau, aku yakin aku akan mengerti..;)
Kalau pun kau tidak mungkin menjadi aku, tapi kau mungkin boleh memahami aku..
Post a Comment