Sunday, February 28, 2010

Hajat Kecil Yang Tertunai Juga

Semuanya bermula dari sembang-sembang yang tidak disengajakan malam tadi.

Macam biasa.

Sembang-sembang pasal makan antara topik yang jarang diabaikan walaupun masih dalam "pantang" dengan pelbagai makanan kegemaran.  
Sesekali melanggar pantang mungkin diharuskan.

Teringin benar rasanya merasa menu ayam kampung digulai menggunakan rempah Cap Bunga Ros Ustaz Hasan Majid. Bekas guru Quran saya zaman persekolahan menengah dahulu. Campur pula dengan sedikit kerisik. Aromanya yang "dulu-dulu" bagaikan masih terhidu-hidu.

Pagi tadi.
Seawal pagi saya telah "menerjah" ke lokasi-lokasi yang dipercayai ada menjual ayam kampung yang sudah diproses.

Pertama, kedai ayam di Pekan Pauh
Dan keduanya di "Nat" Pokok Getah di Pauh juga.

Sedikit hampa dan kecewa.
Entah macam mana hari ini kedua-dua lokasi yang saya terjah itu tidak ada ayam kampung yang saya kehendaki.

Diringkaskan.

Saya memandu pulang dari Nat Pokok Getah Pauh ke rumah dengan perasaan yang berbaur. Bercampur antara sedikit kecewa, hampa serta sedikit terkilan.

TERIMA KASIH USTAZ YASIR

Telah ditakdirkan.

Sebaik sampai di pintu masuk politeknik saya berselisih dengan ustaz Yasir yang kebetulan ingin keluar. Destinasinya saya tidak pasti.

Saya menunjukkan isyarat tangan “tidak ada”. Dan saya rasa dia faham maksud saya kerana selepas seketika belum pun saya sampai ke rumah telefon saya berbunyi .

Dan Ustaz Yasir seperti biasa. Orangnya semudah namanya.

“Nak hambo beli kat Jitra ke”, sejujurnya suara dihujung talian. Tanpa menyebut pun apa yang ingin dibelikan kerana antara kami telah memahami maksudnya ; Ayam Kampung.

Dengan hasrat tidak menyusahkan, saya menjawab “Takpelah, takpelah, susah pulok nanti”, saya pun sejujurnya juga.

“Takpelah, hambo belilah”, Ustaz Yasir memberikan peneguhan.

Atas peneguhan itu saya menjawab “ Kalau kebetulan nak p tu belilah, tapi kalau semata-mata nak pi beli ayam takyahlah”, saya benar-benar tidak ingin menyusah sahabat yang agak kurang sihat juga sejak akhir-akhir ini.

“Takpelah, hambo pun memang nak p “market” Jitra, kalau ada hambo belilah”, Ustaz Yasir memberikan keyakinan bahawa saya memang tidak menyusahkan dia.

“Oklah”, saya yang menyudahkan perbualan telefon pagi tadi.

Selang beratus minit kemudian.

"SMS" ini yang masuk ke telefon saya “ Ayam kampung telah dibeli”. Tentunya dari Ustaz Yasir.

Saya membalas “Ok, nak pi Pauh Jap, “cari" barang kejap”.

SMS tersebut tidak berbalas.

Tetapi sekitar 12.30 tengahari kurang lebih "sampailah" ayam kampung tersebut bersama barang-barang yang tidak dipesan pun.

Batang keladi.
Nangka muda
Dan rebung.

Itulah Ustaz Yasir yang saya kenali. Orangnya semudah namanya.

Terima kasih banyak-banyak atas jasa baik yang diberikan.

Dengan persiapan ramuan masakan yang telah dibuat awal. Proses masak memasak tengahari tadi berjalan agar lancar juga.

Dan inilah hasilnya ;

Gulai Ayam Kampung ala Terengganu berempahkan rempah Cap Bunga Ros Ustaz Hasan Majid.

Terima kasih juga buat isteri kerana "susah-susah" masakan untuk saya .

Razak Nordin berpesan ; Syukur pada Allah s.w.t. atas nikmat-nikmat yang masih berterusan.

Friday, February 26, 2010

Selamat Hari Lahir Ruknuddin Razin Raziq

RUKNUDDIN RAZIN RAZIQ BIN RAZAK

Anakanda Razin, 
Mengikut kalendar Hijrah, hari ini bersempena dengan memperingati hari Maulid al Rasul tahun 1431H genaplah anakanda Ruknuddin Razin Raziq berumur 2 tahun.

Abi mendoakan moga anakanda terus dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki serta dipermudahkan segala urusan hidup ini. Lebih penting dari itu, semoga anakanda dapat membesar bersama nikmat Islam dan Iman yang berterusan sampai bila-bila pun.

Anakanda Razin,
Jangan sesekali lupa menjadikan Rasulullah Muhammad s.a.w. sebagai idola terbaik sepanjang zaman dari semua aspek kehidupanmu. Mendepani hidup masa hadapan tidak semudah yang kau impikan. Belajarlah perlahan-lahan. Merangkak, bertatih, jatuh bangun kemudian berjalanlah sambil berpedoman. Jangan gopoh dalam menjalani hidup yang pelbagai karenah ini. Kerana Allah s.w.t pun menciptakan langit dan bumi mengambil masa selama 7 hari walaupun Allah s.w.t mampu untuk menjadikan keduanya sekurang atau lebih cepat dari kerlipan mata sekalipun.

Anakanda Razin,
Ingatlah bahawa Nabi Muhammad s.a.w bukan sekadar lilin yang hanya mampu menerangi sisi persegi yang terbatas, bukan sekadar lampu kalimantang yang hanya mampu menerangi rumah yang mempunyai sempadan tertentu, bukan sekadar bulan yang menyinari sebahagian bumi di malam hari tetapi Nabi Muhammad s.a.w adalah matahari yang menutup malam dengan sinaran cahayanya. Menerobos semua tempat yang tidak mampu dimasuki oleh cahaya lilin, lampu kalimantang dan bulan. Menjadi bukti bahawa hadirnya adalah rahmat untuk sekalian alam.

Selamat hari lahir buat anakanda tercinta.

Daripada ;
Abi  dari kedekatan  ini.

Razak Nordin berpesan ; Anak kecil perlu "diikat mindanya" dengan nilai-nilai yang baik sedari rebungnya lagi. Mudah-mudahan kelamaan yang dilalui akan menjadi kebiasaan yang sebati dalam diri.

Selamat Menyambut Maulid al-Rasul 1431H

Salam,
Saya ingin kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Maulid al-Rasul 1431H kepada semua teman-teman, sahabat taulan dan sesiapa sahaja yang terbaca blog pokok-kayu ini. Semoga kita semua terus berada di landasan yang betul diredhai Allah s.w.t dan tidak akan tersesat sampai bila-bila pun. Berpegang dengan dengan Al Quran dan Sunnah Rasul-Nya

Tidakkah Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

“Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu semua tidak akan sesat selepasku selagi kamu berpegang teguh pada keduanya, Kitab Allah(Quran) dan juga Sunnahku”. Maksud hadis.

Semoga kita umat Islam tidak menjadi seperti Kerengga Dan Buah Rambutan.
 
Marah-marah apabila ada orang menghina Nabi Muhammad s.a.w tetapi pada masa yang sama kita tidak pula mengamalkan suruhan Allah dan Rasul-Nya bahkan mengabaikan serta mengambil sikap tidak peduli tentang suruhan dan larangan Baginda yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. 
 
Razak Nordin berpesan; Semoga Allah s.w.t tetapkan nikmat Islam dan Iman yang masih berkekalan itu untuk kita semua.

Wednesday, February 24, 2010

Hanya Dua Orang Di Dunia Ini.

Dialog Si Ibu Dan Anak Perempuan.
15 Tahun Dulu

Hari Pertama ;
Ibu      : Kakak makan apa kat sekolah? Kakak belajar apa hari  ni?
Kakak : Nasi lemak dengan air teh "O". Belajar macam-macamlah mak.

Hari Kedua ;
Ibu      : Kakak makan apa kat sekolah? Kakak belajar apa hari ni?
Kakak : Nasi lemak lagi dengan air suam je. Belajar macam-macamlah mak.

Hari Ketiga ;
Ibu      : Kakak makan apa kat sekolah? Kakak belajar apa hari ni?
Kakak : Nasi lemak dengan air teh "O" lagilah mak!!!. Belajar macam-macamlah mak.

Hari Keempat ;
Ibu      : Kakak makan apa kat sekolah? Kakak belajar apa hari ni?
Kakak : Bihun goreng mak". Belajar macam-macamlah mak.

Hari Kelima ;
Ibu       : Kakak makan apa kat sekolah? Kakak belajar apa hari ni?
Kakak : Mee goreng dengan kuih mak. Belajar macam-macamlah mak.

Dan dialog tersebut boleh dikatakan berlaku setiap hari, setiap minggu bahkan setiap bulan selama lebih kurang 11 tahun.

Suatu hari dipenghujung 11 tahun itu si anak bertanya soalan satu soalan kepada ibunya.

"Kenapa ibu bertanya kepada saya soalan yang sama selama berbelas tahun dan ibu pula tidak jemu-jemu untuk bertanya walaupun saya memberikan jawapan yang hampir sama setiap hari", tanya si anak sejujurnya.

"Wahai, anakku. Hari ini ibu tidak akan memberikan jawapan itu kepada mu. Tetapi percayalah, dalam tempoh 15 tahun dari sekarang anak akan berjumpa dengan jawapannya. Ia akan datang sendiri tanpa perlu bersusah payah pun", jawab si ibu penuh kasih sayang.

Kemudian si ibu menambah " Kat dunia ni hanya ada dua orang sahaja yang akan memberikan kita kasih sayang tanpa syarat, ibu dan bapa", kata si ibu menyudahkah perbualan ringkas petang itu.

Si ibu bangun meninggalkan si anak termanggu sendirian.

15 tahun kemudian.
Ketika anak-anak semuanya sudah berjaya dengan kerjaya masing-masing. Punyai keluarga dan anak-anak sendiri yang sedang membesar.

"Along makan apa kat sekolah hari ni", tanya si ibu penuh teruja.

"Makan mee goreng", jawab si anak ringkas.

Diringkaskan.

Setelah berulang kali soalan yang sama ditanya kepada si anak setiap hari, si anak mula merasa rimas dan tidak senang sehinggalah suatu hari terjadilah dialog di bawah :

"Kalau ibu tak tanya soalan sama setiap hari boleh tak, malaslah saya nak jawab. Asyik-asyik tanya pasal makan. Sikit-sikit tanya pasal makan. Tak ada soalan lain ker" jawab si anak semacam memberontak.

"Maafkan ibu along, cuma ibu nak imbau kembali apa yang berlaku pada ibu lebih kurang 15 tahun lalu. Dialog antara ibu dan nenek kamu".

15 Tahun Lalu ;
Hari Pertama ;
Ibu : Kakak makan apa kat sekolah? Kakak belajar apa hari ni?
Kakak : Nasi lemak dengan air teh "O". Belajar macam-macamlah mak.

Hari Kedua ;
Ibu : Kakak makan apa kat sekolah? Kakak belajar apa hari ni?
Kakak : Nasi lemak lagi dengan air suam je. Belajar macam-macamlah mak.

Hari Ketiga ;
Ibu : Kakak makan apa kat sekolah? Kakak belajar apa hari ni?
Kakak : Nasi lemak dengan air teh "O" lagilah mak!!!. Belajar macam-macamlah mak.

Hari Keempat ;
Ibu : Kakak makan apa kat sekolah? Kakak belajar apa hari ni?
Kakak : Bihun goreng mak". Belajar macam-macamlah mak.

 Hari Kelima ;
Ibu : Kakak makan apa kat sekolah? Kakak belajar apa hari ni?
Kakak : Mee goreng dengan kuih mak. Belajar macam-macamlah mak.

Dan dialog tersebut boleh dikatakan berlaku setiap hari, setiap minggu bahkan setiap bulan selama lebih kurang 11 tahun.

Suatu hari dipenghujung 11 tahun itu ibu bertanya soalan satu soalan kepada nenek kamu.

"Kenapa ibu bertanya kepada saya soalan yang sama selama berbelas tahun dan ibu pula tidak jemu-jemu untuk bertanya walaupun saya memberikan jawapan yang hampir sama setiap hari", tanya ibu sejujurnya.

"Wahai, anakku. Hari ini ibu tidak akan memberikan jawapan itu kepada mu. Tetapi percayalah, dalam tempoh 15 tahun dari sekarang anak akan berjumpa dengan jawapannya. Ia akan datang sendiri tanpa perlu bersusah payah pun", jawab nenek kamu.

Kemudian nenek kamu menambah " Kat dunia ni hanya ada dua orang sahaja yang akan memberikan kita kasih sayang tanpa syarat, ibu dan bapa", kata nenek menyudahkah perbualan ringkas kami petang itu.

Kemudian si ibu berlalu perlahan sambil berkata: "Ingat!!! Kat dunia ni hanya ada dua orang sahaja yang akan memberikan kita kasih sayang tanpa syarat, ibu dan bapa".

"Dan ibu sudah berjumpa sebabnya kenapa nenek kamu berbuat demikian kepada ibu lebih 15 tahun dulu" tambah si ibu ringkas

Meninggalkan si anak perempuannya sendirian membuat kesimpulan.

Razak Nordin berpesan; Ibu dan ayah. Kasih sayangmu semestinya tanpa syarat.

Tuesday, February 23, 2010

Kerana Kau Anak Kecilku.

Selepas selesai menulis coretan cerita satu perdua malam,  satu perdua malam tadi, dengan berbekalkan semangat Nabi Ayyub yang telah sedikit berbekas di jiwa, saya bergegas untuk kembali "berjuang" melelapkan mata  bagi cubaan kali kedua.

Tetapi semuanya tidak semudah yang diharapkan.

Pejam celik, pejam celik yang entah berapa kali itu tidak pula menghadirkan lena walaupun ketika itu rasa ingin tidur yang amat sangat.

Pusing kiri, pusing kanan. Mencari posisi dan keselesaan untuk beradu.

Masih gagal untuk melelapkan dua biji mata sepet ini.

Gangguan mimpi yang melampau-lampau dan "fikir-fikir tanpa landasan dalam kepala otak" sebelum tidur, semuanya menjadikan tidur bukan lagi nikmat yang dinanti-nantikan oleh saya. Siang dan juga malam.

Dan.

Ketika mata hampir terlelap, antara sedar dan jaga itu. Tiba-tiba Si Razin pula menangis. Bersulam antara perlahan dan sesekali "menerang' juga.

Jam di dinding lebih kurang pukul 2 pagi.

Dan semua itu membawa ke pagi tadi.
Sekejap senyap. Lepas seketika "berbunyi" lagi.

Kerana Kau Anak Kecilku.

Kami bergilir melayan karenahnya yang pelbagai macam tu.

Sekejap mahu didukungnya.
Sekejap mahu bantal busuknya.
Sekejap mahu susu botolnya.
Sekejap mahu Uminya.
Sekejap mahu Abinya pula.
Sekejap melayan kartun saluran 611.
Sekejap masuk bilik.
Sekejap keluar bilik.
Sekejap buka langsir.
Sekejap tutup langsir.
Pelbagai kaedah dan teknik yang dicuba.

Hasilnya ;
Sekejap senyap. Sekejap menangis pula. Silih berganti membawa ke pagi.

Dan.

Sesi terakhirnya bersama Uminya dan saya terlelap dalam separuh jaga hingga ke pagi.  Bila semuanya berakhir saya sendiri pun tidak pasti. Dalam separuh jaga itu, saya masih mendengar sesekali tangisnya hingga ke pagi.

Antara kepenatan serta perlukan masa rehat untuk tidur.

Antara kegeraman melayan karenahnya yang adakalanya sukar difahami itu, saya memilih yang ketiga iaitu memberikannya ciuman yang bertalu-talu. Tanda sayang yang tiada batas dan belah bahaginya.

Masam pipinya sewangi kasturi.
Hanyir hingusnya semerbak mawar mewangi.
Bising tangisnya seindah melodi.
Semuanya menggamit rasa rindu.

Kerana Kau Anak Kecilku.

Abi tidak mahu menderhaka kepadamu. Sebagaimana engkau juga tidak boleh menderhakai Abi.

Kerana Abi telah ;

Memberikanmu nama yang baik.
Mengajarkanmu tentang perkara-perkara baik dari Al Quran.
Memilih ibu yang terbaik bagi Abi untuk melahirkanmu ke dunia ini.

Kerana sesekali Abi teringat kisah yang pernah berlaku di zaman Saidina Umar al Khattab r.a.
Bapa derhaka kepada anaknya lebih dahulu sebelum anaknya dianggap derhaka kepada bapanya. 

Kerana 3 sebab juga;

Memberikannya nama yang tidak baik.
Tidak mengajarkan anaknya dengan ilmu al Quran.
Memilih ibu yang tidak baik untuk melahirkan anaknya.  

Lalu kata Saidina Umar, kamu terlebih dahulu telah menderhaka kepada anakmu sebelum anakmu menderhaka kepadamu sebagai bapa.

Sudahnya.

Kepala ini terasa"berat sekali" hingga saat ini.

Razak Nordin berpesan ; Kerana kau anak kecilku. Tiada batas dan belah bahaginya. Tertunaikah amanah seorang bapa bernama Abi Razak. Mudah-mudahan.

Monday, February 22, 2010

Cerita Satu Perdua Malam

Apa lagi yang mampu saya lakukan apabila ;

Bantal lembut dan tilam empuk "tidak mampu" untuk melenakan mata yang sedang mengantuk.

Kedinginan bersama hembusan lembut penghawa dingin "tidak mampu" memberikan suasana tenang dan nyaman menemani tidur malam.

Kewangian dengan segala aromanya "tidak mampu" memberikan rasa damai di hati dan perasaan menusuk sanubari.

Lalu.

Bangun.

Capai baju.

Buka peti ais dan ambil sebiji limau mandarin.

Capai kunci motor.

Hidupkan enjin motor dan pusing sekitar politeknik mengambil angin malam yang separuh nyaman itu.

Entahlah untuk apa?.

Tanpa tujuan yang pasti.

Singgah tepi padang bola. 

Kupas limau.

Makan limau sampai habis dan balik rumah semula.

UJIAN SAKIT DAN NILAI SABAR.

Diriwayatkan bahawa Nabi Ayyub mengalami sakit selama 18 tahun.

Pada suatu hari Siti Rahmah berkata kepada Nabi Ayyub : “Engkau adalah seorang Nabi yang mulia terhadap Tuhanmu, seandainya engkau berdoa kepada Allah Taala supaya Dia(Allah) menyembuhkanmu?”

Kata Nabi Ayyub a.s, kepada Siti Rahmah : “Berapa lamakah kita telah hidup senang?”

Kata Siti Rahmah “Lapan puluh tahun.”

Kata Nabi Ayyub : “Sesungguhnya saya merasa malu kepada Allah Taala untuk meminta kepada-NYA, sebab waktu cubaannya belumlah memadai dibandingkan masa senangku.”

Dan ketika pada badan Nabi Ayyub, sudah tidak ada lagi daging yang akan dimakan, maka ulat-ulat itu saling memakan di antara mereka, hingga akhirnya tinggal dua ekor ulat, yang selalu berkeliaran di badan Nabi Ayyub dalam usaha mencari makanan daging, tidaklah mereka dapatkan kecuali hati dan lidahnya. Maka yang satu pergi ke hati dan memakan hatinya dan yang lainnya pergi ke lidah dan menggigitnya.

Di saat itulah Nabi Ayyub a.s. berdoa kepada Tuhannya seraya berkata : "Sesungguhnya aku telah ditimpa bahaya yang dahsyat, sedangkan Engkau Dzat yang Maha Pengasih.”

Hal ini tidaklah termasuk dalam kategori keluh kesah dan tidak pula bererti keluar dari golongan yang sabar.

Oleh kerana itu Allah Taala berfirman : "Sesungguhnya dia Kami dapati sebagai orang yang sabar.”

Kerana sesungguhnya, Nabi Ayyub tidak bersusah hati terhadap hartanya dan anak-anaknya, yang telah hilang musnah, bahkan dia merasa susah kerana cemas terputus “dari syukur dan zikir” kepada Allah Taala.

Kemudian Allah Taala memberikan wahyu kepadanya : “Ya Ayyub, lidah, hati dan ulat adalah milik-Ku, sedangkan rasa sakitpun milik-Ku, apakah erti susah?”

Lalu Allah Taala menjatuhkan kedua ulat itu dari diri Nabi Ayyub, maka yang satu jatuh di air, kelak menjadi lintah yang dapat digunakan untuk berbekam dan yang satu lagi jatuh di darat yang kelak menjadi lebah, yang mengeluarkan madu yang mengandung ubat untuk manusia.

Lalu.

Apakah lagi penawar pelembut rasa untuk jiwa yang lemah ini.

Saya mula tersedar dan "tersentak".

Tutup lampu dan kipas.

Masuk ke bilik utama untuk lena sedapat mungkin.

Yang lain.

Biarlah ia teguh bersama semangat Nabi Ayyub.

Razak Nordin berpesan ; Kalau kau menjadi aku, aku yakin kau akan mengerti.

Saturday, February 20, 2010

Email Dari Ayahanda Bonda

Salam,

Apa khabar anak-anak ayahanda dan bonda semua yang kini berada jauh dari kampung halaman tempat tumpah darah anak-anak yang dikasihi sekelian.

Macam mana anakanda di Kuala Lumpur.
Banjir kilat masih menjadi ancaman?

Macam mana anakanda Johor Bharu.
Danga Bay masih happening?

Macam mana anakanda di New York.
Kalau ada kesempatan tu kirim salam buat Barack Obama dan Tiger Woods sekali ye!

Macam mana anakanda di Kobe, Jepun.
Sakura masih mengorak kelopaknya?

Macam mana anakanda di Sydney Australia.
Kanggaroo masih mengawan terus?

Dari kejauhan ini, bersama kerinduan yang amat sangat pada anak-anak dan cucu-cucu sekelian, ayah dan bonda doakan semoga anak-anak serta cucu-cucu ayahanda dan bonda semuanya berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya.

Ayah dan bonda janganlah dirisaukan, alhmadulillah sihat walafiat. Cuma akhir-akhir ini sedikit selesema, batuk-batuk, kepala pula kembali pening-pening. Mungkin faktor cuaca yang agak panas semenjak akhir-akhir ini. Bertahan sahajalah di rumah, insyaallah esok lusa baiklah tu. Ingin ke klinik pula tidak ada orang yang sanggup bawakan. Kalau sewakan teksi, banyak pula yang perlu dibayarnya.

Oh ye!! Itik dan ayam ayahanda semuanya sudah kembali rahmatullah. Dibaham ular sawa di malam hari direban usang itu. Sedang ayahanda dan bonda kesejukan di sebalik selimut koyak oleh kelamaan masa itu. Apalah kudrat tua yang ada pada ayahanda dan bonda untuk menghalang ular sawa sepemeluk besarnya itu. Hanyalah keharuan tanpa airmata. Bukan tidak sudi untuk menangis. Cuma airmatanya sudah tiada.

Tentang makan minum pula anakanda-anakanda sekelian janganlah risau. Beras usang lebihan tahun lalu masih banyak dalam simpanan. Air perigi masih jernih untuk diminum seperti anak-anak masih kecil dahulu. Ikan kering, ikan masin serta budu masih banyak dalam simpanan. Baunya masih semerbak seluruh rumah.

Maafkan ayahanda dan bonda sekiranya kehadiran email ini mengganggu kesibukan tugas anak-anak ayahanda dan bonda yang semuanya berpangkat besar. Siapa sangkakan. Anak-anak desa yang serba daif dahulunya kini berpangkat dan berjawatan besar. Sehingga kadang itu terlupa asal usulnya dari hanyirnya selut di sawah dan hamisnya lumpur di kandang kerbau serta dari semerbaknya "tahi getah" dalam tempurung.

Cuma harapan ayahanda dan bonda, sudilah kiranya anak-anak membaca email yang tidak seberapa ini dari ayahanda dan bonda "di hujung dunia" ini sebelum men"delete"kannya.

Tujuan ayahanda dan bonda hanyalah ingin men"forward"kan email yang ayahanda terima tempohari. Ada "rasa" bila ayahanda dan bonda membacanya. Mungkin ketuaan menyebabkan kami agak emosi dan sensitif.

Ini emailnya ;

HARAPAN IBU BAPA


“Kepada anak-anakku….”
Satu hari nanti apabila kamu melihat kami menjadi tua, lemah, pelupa dan tak bermaya…
Bersabarlah anak-anakku.
Jika kami makan dan mengotorkan…dan,
Kami tidak boleh memakai baju sendirinya….
Dan cuba memahami diri kami,
Bantulah kami dan ingatlah sewaktu kami memberi makan dan memakai pakaian kamu ketika masih bayi yang kecil…...
Jika kami bercakap dengan kamu , kami mengulanginya lagi benda yang sama janganlah tidak mempedulikan…
...tumpukan perhatian kepada kami.
Ketika kamu kecil kami membaca buku cerita yang sama sehingga kamu tertidur.
Jika kami tidak mahu mandi dan janganlah memalukan dan memarahi kami …..
Ingatlah ketika kamu kecil….kami menyuruh kamu mandi dan kamu memberi pelbagai alasan?
Kami tetap bersabar dengan kerenahmu wahai anak-anakku….
Jika ada benda-benda baru yang kami tidak tahu, ajarlah kami dengan lemah-lembut
Ingatlah kami telah banyak
Mengajar banyak perkara-perkara baru ketika kamu kecil…
Makan dengan cara yang betul,
Memakai baju dengan betul dan bersolat dan mengaji al quran ….
Jika kami tidak mahu makan.
Janganlah terlalu memaksa kami. Kami akan makan bila sampai masanya
Hulurkan tangan sewaktu kami tidak mampu berjalan seperti waktu kamu baru mula belajar berjalan
Janganlah kamu marah akan keadaan kami .
Kerana satu hari nanti kamu akan faham akan keadaan kami……
Sedekahkan al-fatihah sekiranya kami di alam barzakh. Doakan akan kesejahteraan kami setiap kali selesai solat

Sesungguhnya sebaik-baik yang kamu makan adalah dari hasil usaha kamu sendiri dan sesungguhnya kelahiran anak-anak kamu adalah dari hasil dari usaha kamu sendiri –Riwayat al bukhari

Kami sayang kamu semua,
Wahai anak-anakku..


Daripada
Ayah dan ibu..

Rasulullah s.a.w. Bersabda,
Baginda memberitahu kamu supaya taat kepada Allah dan Rasulnya sentiasa. Selepas itu taatlah kepada ibumu kemudian ibumu kemudian ibumu kemudian ayahmu.

Dari ayahanda dan bonda.
Bersama linangan airmata.
Semuanya bercampur dalam satu rasa yang tidak terucap oleh kata-kata.

Razak Nordin berpesan ; ................................

Sunday, February 14, 2010

Catatan Perjalanan-Sabtu 13 Februari 2010

Alhamdulillah.

Perjalanan kami dari Ulu Pauh atau lebih tepat Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis ke Taman Lela Satu, Kamunting, Taiping sebelum tengahari semalam berjalan lancar tentunya dengan rahmat Ilahi jua.

Menyelusuri sebahagian lebuhraya Changlun-Kuala Perlis dari Ulu Pauh ke Pekan Changlun, Innova SAA 6381 C mengubah haluan ke laluan yang lebih panjang dan mencabar.

Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke Taiping.

Lebuhraya agak tenang dan separa sunyi.
Tidak banyak kenderaan.
Begitulah kebiasaannya.

Pengalaman peribadi saya sendiri.

Perjalanan dari Utara ke Selatan jarang berlaku kesesakan termasuk pada musim-musim perayaan besar kecuali ada kemalangan yang teruk di lebuhraya seperti hari raya puasa yang lalu.

Yang sesak ketika itu adalah perjalanan dari Selatan ke Utara selalunya.

Perjalanan ke Selatan hanya akan sesak selalunya apabila warga kota berasak-asak ingin pulang semula ke Kuala Lumpur selepas beraya di kampung halaman masing-masing di sebelah utara semenanjung. Ketika itu perjalanan ke Utara pula yang tidak sesesak perjalanan ke Selatan.

Mungkin itu salah satu kelebihan yang saya dapat apabila bekerja di utara semenanjung sementara kampung halaman isteri pula di Kamunting dan kampung halaman sendiri pula di Marang, Terengganu.

Memandu dengan "bertemankan" kepala yang bersimpang siur tidak "mengizinkan" saya untuk berbual panjang dengan isteri dan anak-anak dalam kereta sepanjang perjalanan itu.

Melayani perasaan sendiri untuk mencari jawapan kepada persoalan hidup yang bermacam-macam. Yang berkaitan dan juga yang "tidak berkaitan secara langsung".

Banyak yang merimaskan dan meletihkan minda dan fikiran. Ingin mengambil sikap tidak peduli. Tidak boleh. Kerana sebagai manusia, lebih-lebih lagi sebagai seorang muslim, mahu tidak mahu saya mesti mengambil tahu dan peduli juga dengan apa yang berlaku.

Bila ambil peduli mengundang rasa geram dan sakit hati pula.

Entahlah.

Sampai di Sungai Petani(U), memasuki susurnya seketika sahaja kemudian pusing balik menuju ke selatan selepas membayar tol kerana "tidak jadi" untuk mencuba Radix Pizza.

Fuhhh.

Kepala makin "penuh".

Saya memandu seadanya. Sesekali menjeling-jeling ke belakang "meninjau" anak-anak yang sedang tidur. Wajah-wajah yang membahagiakan seorang Abi yang semakin menginjak usianya ini.

Keadaan menjadi makin sunyi. Yang terdengar hanyalah lagu-lagu dari radio yang sepatah haram pun saya tidak minat. Makin menyerabutkan kepala yang telah sedia bersimpang siur itu. Sesekali disulami dengan pertanyaan isteri yang dijawab "separuh mahu".  

Perjalanan diteruskan.

Sesampai di susur Permatang Pauh, naluri apa yang mendorong saya untuk membelok ke susur itu pun saya tidak pasti. Yang pastinya tanpa tujuan yang "besar-besar". Kalau ada pun hanyalah keinginan saya untuk merasai lagi melalui jalan kampung dan berhutan dari Kulim ke Kamunting. Itu sahaja.

"Abang nak p mana ni", tanya isteri apabila menyedari saya membelok memasuki susur Permatang Pauh.

"Entah", jawab saya ringkas.

"Kita pi makan Nasi Ayam Periuk Besar nak? Tempat yang kawan Abi bawak dulu tu", sambungnya.

"Boleh gak", jawab saya serba ringkas.

Serentak itu saya mendail nombor telefon En. Yusaini seorang kawan lama di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah untuk bertanya lokasi sebenar tempat itu. Kelamaan masa berlalu menyebabkan saya sendiri pun ingat-ingat lupa. Pertama kali saya ke sana lebih 5 tahun lalu ketika kami belum lagi mempunyai anak. Orang yang bertanggungjawab membawa kami pada masa itu ialah En. Shamsul Arif dan isterinya Puan Liza. Terima kasih banyak-banyak.

Alhamdulillah.

Berpandukan pelan tanpa lukisan sampai juga kami ke destinasi yang dituju walaupun terpaksa membuat panggilan kedua kepada En. Yusaini bagi mendapat kepastian yang sepasti-pastinya.

Akhirnya sampai juga kami di sini ;

Nasi Ayam Periuk Besar Pekan Sungai Kob,Kulim, Kedah.
Ucapan selamat datang.

Contoh salah satu Nasi Ayam yang dijual di sini dengan sup-supnya sekali.

Bakal pemandu Formula Satu pun ada.

Teruja juga saya apabila duduk semeja dengan bakal pemandu Formula Satu.

Tanda nama yang agak kabur kerana "ditangkap" ketika kereta sedang bergerak.

Kesimpulannya : No Bad kata "orang putih' pada selera kami anak beranak. Tetapi kami biasa "berjumpa" dan makan Nasi Ayam yang lebih sedap dari itu. Kepada yang rasa teringin, bolehlah singgah untuk mencuba. Tidak rugi pada saya mencuba kelainan di sini.

Perjalanan diteruskan lagi.

Dari Kulim menuju ke Kamunting melalui jalan kampung dan hutan separa belantara itu.

Diringkaskan.

Tapi awas!!!!. Di kawasan tepi hutan di tengah-tengah perjalanan anda akan terjumpa makhluk-makhluk di bawah dalam jumlah yang begitu banyak juga. Saya hanya sempat merakamkan dua ekor sahaja. Yang lain sedang teruja mengejar kereta saya. Mencari makanan mungkin.

Untuk keselamatan anda dan keluarga , anda dilarang dari memberikan sebarang  makanan kepada monyet-monyet ini. Papan-papan tanda  larangan ada dipacakkan dilokasi-lokasi tertentu.

Anda boleh berhenti untuk mendapatkan "posing-posing" menarik dari monyet-monyet tersebut tetapi pastikan terlebih dahulu tingkap-tingkap kenderaan anda telah ditutup rapat. Nanti lain pula jadinya.

Monyet oh monyet.

Bahagiakah menjadi monyet? Entahlah.

Sekitar pukul 4 petang , kami selamat sampai di rumah bernombor 203, Jalan Limbat, Taman Lela Satu, Kamunting, Perak. Bumi yang "semakin panas" dari hari ke hari. Entahlah pasal apa.  Tentunya bukan kerana monyet.

Razak Nordin berpesan ; Entahlah. Kalau manusia tu, manusialah juga.

Aksi-Aksi "Panas" Di Taman

Razak Nordin berpesan ; Adakalanya gambar-gambar lebih mendamaikan. Dari mata turun ke hati.

Semua Cara Bukan Untuk Semua Orang

Kisah 1
"Kalau isteri membebel, kamu start motor pilah pekena teh tarik secawan, bila agak-agak dia dah ok tu, bolehlah balik rumah", pesan seorang ayah untuk anak mudanya yang baru mendirikan rumahtangga. Tentunya darahnya juga adalah darah orang muda-muda. Cepat panas, mendidih dan menggelegak.

"Milah pulok, kalau suami marah tu janganlah menjawab pulok, senyap je, kejap-kejap nanti sejuklah dia tu", pesan seorang bapa mertua kepada menantu perempuan barunya.

Kisah  2
"Apa rahsia mak cik dapat mempertahankan rumahtangga bersama suami sekian lama serta dapat mendidik anak sehingga semuanya berjaya", tanya wartawan kepada seorang ibu yang telah dianugerahkan tokoh ibu mithali suatu masa dahulu.

"Ooo, mak cik ni jenis panas baran, tetapi suami makcik pula setiap kali mak cik marah-marah, dia segera keluar dengan basikal tuanya. Bila dia pulang nanti, suami makcik akan bawa balik makanan kegemaran makcik. Makcik pun bukannya marah lama sangat pun", jawab makcik itu sejujurnya.

Dan setakat ini, kedua-duanya telah dan masih berjaya dengan cara masing-masing. Syukur alhamdulillah.

Kedua-duanya cerita benar. 

Cerita pertama, telinga saya sendiri mendengarnya secara live. Tetapi watak-watak utama dalam cerita ini terpaksa dirahsiakan. Pengajarannya mungkin lebih penting.

Sementara cerita kedua saya mendengarnya dari salah satu kaset ceramah seorang ustaz yang agak popular di sebelah utara semenanjung. 

Aktiviti Berkumpulan Dalam Pengajaran dan Pembelajaran.
 
Saya mencubanya kali pertama pada semester ini. Harapan saya agar nampak kelainan selain sesi komunikasi secara langsung antara pensyarah dan pelajar-pelajar di dalam kelas-kelas yang berlaku sebelum ini.

Kali ini, para pelajar perlu berbincang terlebih dahulu dalam kumpulan  sesama mereka tentang tajuk yang diberikan berdasarkan handout yang disediakan serta rujukan-rujukan lain yang ada untuk menguji dan melihat tahap kefahaman mereka.

Kemudiannya para pelajar akan membuat rumusan bersama pensyarah bagi memastikan kefahaman pelajar tidak menyimpang dari kefahaman sebenar yang dikehendaki. 

Kesimpulan saya ;

Dari pemerhatian saya secara rambang. Cara ini mungkin tidak sesuai untuk semua orang. 

Ada yang kisah.

Ada yang tidak kisah.

Dan ada yang "buat-buat kisah".

Ada yang menghargai.

Ada yang tidak menghargai.

Dan ada yang "buat-buat menghargai".

Rupanya.

Bukan senang untuk memuaskan dan membahagiakan semua orang dengan cara yang sama dan serupa.

Sesi rumusan menjadi "buktinya".

Sebagai tenaga pengajar, saya tidak boleh berputus asa. Saya mesti "mencipta" cara lain yang barangkali sesuai untuk para pelajar yang tidak sesuai dengan cara ini. 

Kerana.

Di setiap hujung kelas saya akan menutupnya dengan ungkapan ini ;

"Setiap kali memasuki kelas, saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk kamu semua. Tetapi yang terbaik pada saya belum tentu yang terbaik pada kamu semua".

Razak Nordin berpesan ; Kelamaan adakalanya....

Saturday, February 13, 2010

Pagi Sabtu 13 Februari.

Pagi Sabtu 13 Februari 2010.

Sekitar kuarters pensyarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Arau Perlis sunyi dan sepi.

Barangkali atas dua sebab ;

Pertama  ; Ada penghuni-penghuninya yang mengambil kesempatan pagi minggu seperti ini untuk menyambung tidur sesudah subuh tadi.

Keduanya ; Ada juga yang mengambil kesempatan untuk balik ke kampung halaman melawat orang tua, sanak saudara dan sebagainya.

Kerana cuti umum tahun baru cina akan berlanjutan sehingga hari selasa depan.

Semuanya sebahagian nikmat hidup hendaknya.

Cuma adakalanya dinikmati dengan cara yang berbeza dan berlainan untuk berbeza manusia juga.

D1-1-1 juga separuh sunyi.

Cumanya sesekali kesunyiaan itu disulami dengan tangisan anak-anak dengan pelbagai ragam serta karenah dan juga "suara" dari saluran Astro ceria 611. Saluran wajib "24 jam" setiap hari minggu.

Hati dan perasaan saya sedikit terusik dalam separa kesunyian dan kesepian ini.

Bukan apa.

Cumanya.

Terkadang diri ini terfikir juga, apa indahnya hidup jika kita terlalu mencari perbezaan sesama insan. Akhirnya jurang yang terbina semakin meluas dan melebar. Entah bila pula akan bercantum titik temunya.  

Realiti yang terpapar dan terjadi seolah-olah manusia lebih suka dan teruja melihat orang lain menderita dalam hidup ini.

Secara peribadi saya tidak suka hidup dalam "kekalutan dan kontroversi". Dan tiada untungnya bagi hidup saya dulu, kini dan selamanya.

"Untungnya" bagi saya mungkin ;

Tidur malam yang sentiasa terganggu.
Tekanan darah semakin naik.
Dada pula semakin "sesak".
Kepala sentiasa pening dan sakit-sakit.
Leher sentiasa tegang dan "terbeban".
Dan hidup ini hanya penuh kebencian.

Orang lain. Itu saya tidak tahu.

Ini hanya gelodak rasa jiwa saya. Saya tuliskan di sini mengikut firasat saya sendiri. Apa yang sedang saya perhati dan rasakan dalam jiwa sedar saya.

Dan sekejap lagi, kami sekeluarga akan bertolak ke Kamunting, Taiping untuk "menghabiskan" cuti hujung minggu ini.

Semoga semuanya berjalan dengan lancar dan selamat.

Mudah-mudahan ianya sedikit sebanyak meredakan gelodak jiwa dan tekanan yang ada.

Melihat alam ciptaan Allah s.a.w. yang indah-indah insyaallah boleh mendamaikan jiwa yang sedikit resah.

Razak Nordin berpesan ; Selamat bercuti dan berhujung minggu buat sahabat-sahabat yang mengenali diri ini. Adakalanya kita perlu mencari "kebahagiaan sendiri" dengan cara kita dalam hidup ini tanpa menyusahkan sesiapa pun. 

Friday, February 12, 2010

Kerengga Dan Buah Rambutan

Sana bising

Sini pun bising

Sana marah

Sini pung marah

Sana benci

Sini pun benci

Sana kalut

Sini pun kalut

Sana kecoh

Sini pun kecoh

Sana gegar

Sini pun gegar

Sana huhuhu

Sini pun huhuhu

Sana hehehe

Sini pun hehehe

Sana buat kenyataan

Sini pun buat kenyataan

Sana buat demontrasi

Sini pun buat demontrasi

Akhirnya sini dan sana jadilah macam kerengga dengan buah rambutan.

Kerengga akan mengigit tangan-tangan  sesiapa sahaja yang cuba "merampas" buah rambutan "miliknya" pada dahan yang berjuntai itu.  

Kerengga akan mengamuk sekuat kuasa yang ada.

Kerengga akan bertebaran mencari mangsa.
Tetapi pada masa yang sama dia sendiri pun tahu (betul ke tau) bahawa dia tidak boleh makan pun buah-buah tersebut dan tidak pernah mengambil sebarang manfaat pun dari buah rambutan tersebut selama ini kecuali sedikit sahaja.

Kesian kerengga-kerengga itu.
Macam siapa ye?
Entahlah.
Pandang keliling.
Membacalah selalu.
Lihatlah TV jika perlu.
Bukalah internet jika perlu.
Dan buatlah apa-apa yang lain juga.
Jika perlu.

Razak bin Nordin berpesan ; Ini pula kisah kerengga. Razak Nordin pun tak nak campur juga. Biarlah kerengga dengan dunianya. Dunia manusia kan berbeza. Cuma manusia adakalanya =kerengga. Tak nak campurlah.

Dialog Tiga Binatang

Watak-Watak Utama
Kambing, Ayam, Kambing

Tempat
Pinggir Hutan Di Bumi Tuhan

" Awat hang termenung dan bermuram durja sahaja wahai sahabatku", tanya si lembu, mengejutkan si ayam yang sedang ralit termenung.

"Oooo..bukan apa sahabatku lembu,  aku kecewalah dengan manusia-manusia ni. Hari-hari depa makan telur aku, tetapi tak pernah seorang pun  antara mereka yang memanggil aku ibunya", leter ayam melepaskan apa yang terbuku di hatinya sekian lama.

"Ooo, pasal tu ke. Aku pun kecewa juga wahai si ayam. Manusia juga boleh dikatakan hari-hari meminum susu aku. Tetapi mereka pun tidak pernah memanggil aku ibunya. Kita senasiblah si ayam", kata lembu bersahaja cuba bersimpati dengan nasib yang dialami oleh si ayam.

"Aku pun sama si ayam dan si lembu sahabat-sahabatku, mereka juga hari-hari meminum susu-susuku  malah ada yang menjadikan susu-susuku sebagai sabun-sabun untuk dikomersialkan. Mereka jadi kaya raya kerananya, tapi tidak pernah pun aku dipanggil ibu dan aku tak dapat royalti pun", si kambing tumpang "dua kaki" mengutuk manusia-manusia di luar sana.

"Hangpa tau ke, manusia menggelarkan kita dengan bermacam-macam gelaran", kata si lembu cuba menarik perhatian si ayam dan si kambing.

"Macam saya sendiri depa kata macam-macam, bodoh macam lembu. Bagai lembu dicucuk hidung, kononnya teruk sangatlah saya ni", telinga lembu mula kemerahan tanda ada rasa marah dalam dirinya.

"Saya pula depa gelar apa ye", kata si ayam semacam tidak sabar.

"Yang saya masih ingat depa kata antaranya, macam ayam berak kapur, hangat-hangat tahi ayam, jangan ikut rasmi ayam, bertelur sebiji, riuh sekampung, semuanya menggambarkan imej-imej yang buruk", sambung si lembu.

"Saya pula", tanya si kambing semakin tidak sabar ingin tahu apa yang manusia kata kepadanya.

"Kamu pula, depa kata busuk macam kambing gelaran bagi orang yang tak mandi, hamis pun macam kambing, bila depa pening kepala depa kata sebab makan daging kambing, depa tak salah pun", separuh panjang penjelasan si lembu.

"Oooo gitu ke, rasanya manusia-manusia ni memang tak sedar diri kot, kalau hang jumpa dengan manusia-manusia di luar sana, boleh tak habaq kat depa bahawa si kambing berpesan ; " Paku dulang, paku serpih, kata kat binatang, rupa-rupanya manusia yang lebih", pesan si kambing sambil menahan geram.

"Saya pun setuju", si ayam menyokong.

"Ok...nanti saya akan sampaikan", si lembu memberi jaminan.

Razak Nordin berpesan ; Dialog antara binatang, Razak Nordin tidak campur.

Wednesday, February 10, 2010

Ikan Patin Masak Tempoyak


Alhamdulillah.

Hari ini 10 Februari 2010.

Dua hari lepas 8hb Februari 2010 dinoktahkan mencecahnya 5 tahun usia perkahwinan saya dan isteri yang telah diijabkabulkan pada 8hb Februari 2005.
Dan selepas 5 tahun 2 hari usia perkahwinan kami, Allah s.w.t telah mengurniakan dua "hiasan dunia" untuk kami. Yang sulungnya puteri dan keduanya putera.

Yang zahiriahnya.

Yang batiniahnya.

Tentunya rasa syukur yang tidak terhingga diucapkan kepada Allah s.w.t. yang masih mengurniakan yang indah-indah sepanjang kami melayari rumahtangga bersama. Menyatukan dua hati yang berbeza tentunya bukanlah sesuatu yang mudah.

Ranjau sepanjang jalan.
Pahit maung.
Masin manis.
Kelat pahit.
Masam kelat.
Onak duri.
Kesakitan dan kepayahan.
Airmata dan tangisan.

Barangkali rencah hidup yang pasti akan dilalui oleh setiap manusia di dunia ini. Kalau tidak serentak, ia mungkin datang silih dan berganti.

Kalau pantai tentunya selalu dipukul ombak.

Kalau lidah tentunya adakalanya tergigit oleh gigi juga.

Tetapi semua itulah yang melahirkan madah-madah yang indah dan hebat dari pujangga-pujangga yang agung.

Angin ribut kata orang menjadikan pokok kelapa di tepi pantai lebih "gagah dan perkasa".

Angin yang menolak menjadikan layang-layang terbang ke awan.

Dan tentunya juga pelangi selalunya muncul setelah hujan berakhir.

Buat Isteri

Terima kasih buat isteri kerana menerima saya seadanya.

Bersyukur atas kelebihan dan bersabar atas kekurangan yang telah "ditakdirkan".

Moga jodoh kita akan berpanjangan sampai ke akhirnya yang entah bila itu.

Begitulah sebaliknya.

Meraikan persamaan. Menjarakkan perbezaan sedapat mungkin.

Jika ditakdirkan, tentunya perjalanan hidup ini masih jauh untuk kita langkah bersama. Mudah-mudahan rahmat Allah sentiasa mengiringi perjalanan hidup ini.

Kalau ditanya kenapa saya meminati ikan patin masak tempoyak. Sedap kata saya.

Saya pun tidak pasti sebab-sebabnya secara pasti dan tepat. 

Barangkali perkataan yang sesuai ; Semuanya secukup rasa.

Rasa masamnya.
Rasa tempoyaknya.
Rasa masinnya.
Rasa manisnya.
Kewangiannya.
Pekatnya.
Aromanya.
Dan lain-lain rasa yang ada.

Semuanya sudah tentu memerlukan kepakaran dalam memasak serta mengadunkan bahan-bahan yang ada. Dan kepakaran tidak lahir dari sekejapnya masa tetapi memerlukan "kelamaan melalui" dan sentiasa berusaha untuk menghasilkan yang terbaik.

Dan hasilnya.

Menjadikan ikan patin masak tempoyak memikat hati saya.

Begitulah juga dalam melayari kehidupan berumahtangga. Bandingan mudah untuk saya.

Adunlah rencah hidup yang pelbagai macam itu dengan cara terbaik dan belajarlah dari pengalaman, guru milik kita. 

Insyaallah setiap masalah hidup akan ada jalan keluarnya. 

Doakan yang terbaik untuk semua. 

Razak Nordin berpesan ; Apabila kamu telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah.