Wednesday, March 31, 2010

SHAMS : Aku Pernah Menjadi Wargamu 1985-1991.

Dalam perjalanan pulang dari bercuti di kampung halaman tempohari, saya sempat singgah sebentar di hadapan sekolah lama saya untuk mengabadikan beberapa foto sebagai tanda kenangan dan ikatan yang berkekalan.

SHAMS(MATAHARI).
SHAMS adalah nama singkatan kepada Sek. Men. Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu. Letaknya di Jalan Budiman Batu Buruk, Kuala Terengganu, Terengganu. Berhadapan dengan Sek. Ren. Keb. Seri Budiman(kalau masih menggunakan nama lamanya).

Ternyata SHAMS sudah banyak yang berubah. Dulunya kebanyakan tanahnya tandus dan gersang. Tetapi sekarang ini wajah fizikalnya sudah banyak yang berubah. Moga-moga "roh-roh" lamanya terus segar.

Saya dan rakan-rakan seangkatan merupakan generasi kedua sekolah tersebut yang sebenarnya baru memasuki tahun kedua kewujudannya semasa saya mula-mula menjadi warganya. Pada mulanya kami hanya menumpang di Sekolah Menengah Seri Budiman. Kelamaan menyebabkan saya sudah lupa nama asalnya tetapi lebih "glamour" dengan nama "sekolah Bunut". Kemudian kami berpindah ke SHAMS secara tetap setelah bangunannya sudah sedia untuk digunakan. Cumanya saya masih "ingat-ingat lupa" sama ada nama SHAMS digunakan sejak dari mula-mula penubuhannya atau digunakan setelah dibuat penukaran namanya. Tetapi yang pasti dikenang dan masih kekal diingatan kini hanyalah SHAMS.

Saya kira tidaklah susah sangat menjaga dan mendidik kami pada waktu itu. Mungkin atas dua sebab sekurang-kurangnya.

Pertama : Kami generasi kedua yang masih tiada "idola" yang besar-besar lagi untuk dijadikan contoh menyebabkan kami "sedikit mudah" untuk dibentuk.

Keduanya : Mungkin kerana jumlah kami tidaklah ramai sangat ketika itu. Lebih mudah untuk mengawalnya.

Sekurang-kurangnya pula ada empat "budaya" yang cuba diterapkan oleh pihak pengurusan sekolah untuk kami pada masa itu.

Pertama   :  Setiap pagi dipasangkan kaset-kaset yang mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al Quran.

Kedua     : Setiap pagi sebelum kelas kami diberikan pengisian rohani berbentuk tazkirah oleh ustaz-ustaz kami.

Ketiga      : Diperdengarkan juga bacaan ayat-ayat suci al Quran berserta dengan terjemahannya sekali setiap pagi.

Keempat  : Kewajipan menunaikan solat zohor secara berjemaah untuk semua warganya sama ada yang tinggal di rumah atau pun yang tinggal di asrama.
 
Lama juga saya di sini untuk menghabiskan zaman persekolahan menengah saya. Bermula dari tahun 1985 hinggalah tahun 1991. Kira-kira 7 tahun lamanya. Bermula dengan kelompok besar sehingga tinggallah kami "beberapa kerat" untuk menyambung pembelajaran di tingkatan enam. Dulu-dulu pernah juga rasa"terhina" jika dibandingkan dengan rakan-rakan yang berjaya memasuki matrikulasi UIA dan juga Kusza pada masa itu. Rasa terhina yang tidak patut ada pun sebenarnya.

Dan ada antara kami yang mendapat 9 agregat tetapi memilih untuk menyambung pembelajaran ke tingkatan 6. Saya masih ingat lagi sebabnya. Hanya UITM Shah Alam hajat hatinya tetapi tidak tertunai pada ketika itu atas sebab-sebab yang saya sendiri pun tidak pasti. Dan mungkin dialah antara "penawar duka" kami pada masa itu barangkalinya. Itu tidak termasuk yang mendapat 10,11 agregatnya. Dan saya pula tidak buruk benar agregatnya. 14 agregat. Untuk anak kampung serba kekurangan dari segi "fizikalnya" tetapi tidak dari segi rohani dan semangat juang, tambahan pula baru mengenal daerah kebandaran, saya kira ada patutnya saya berbangga dengan apa yang saya perolehi pada masa itu. Membesar bersama nasi berlaukkan ikan singgang dicicah dengan budu hampak berperahkan limau nipis, mengapa saya harus merasa terhina dengan pencapaian "sehebat" itu? Titik. 

Saya orang "pertengahan". Tidak banyak yang saya sumbangkan demi menaikkan nama SHAMS. Dan tentunya SHAMS pula tidak pernah menyimpan nama saya dalam memorialnya. Tetapi hati saya tidak pernah melupakan SHAMS yang pernah saya menongkah hidup di dalamnya. Belajar merangkak, bertatih dan berjalan yang perlahan-lahan itu sehinggalah saya menjadi seperti hari ini. Kira jadi oranglah juga kata orang sekarang.

Saya datang ke bumi SHAMS dengan segala kepayahan yang ada. Seperti yang saya katakan, saya adalah anak kampung yang baru mengenal daerah kebandaran. Bukan mudah untuk saya berubah dan cuba menyesuaikan diri dengan banyak cara yang berbeza. Segalanya terasa canggung dan yang banyaknya adalah ketidakselesaan. Saya kira pada masa itu semuanya banyak bertolak dari perasaan rendah diri sebagai anak kampung yang serba di "bawah". "Pitis" yang tidak pernah cukup. Bayaran yuran asrama yang sentiasa tertunggak.   Dan terlalu banyak "kisah hidup" yang tidak akan saya ceritakan di sini. Biarlah ia abadi dalam diari sendiri, untuk saya ceritakan pada anak-anak saya apabila mereka mula mengerti nanti. Bahawa inilah antara liku-liku perjalanan hidup yang pernah Abi mereka lalui. Mudah-mudahan mereka akan lebih mengerti. Titik sekali lagi.

Buat guru-guru yang pernah mengajar, mendidik, memberikan tunjuk ajar, membimbing dan semuanya lagi. Terima kasih banyak-banyak atas jasa-jasa kalian. Yang manis-manis dan yang pahit-kelat juga. Tahulah bagaimana Allah s.w.t. untuk membalasnya. Dan saya tidak bercadang untuk menyebut nama-nama guru-guru yang pernah menaburkan jasa-jasa mereka kepada saya selama menjadi warga SHAMS. Kerana semua mereka sentiasa di hati.

Dan saya tumpang berbangga kerana namamu SHAMS acapkali juga memasuki surat-surat khabar atas kejayaan-kejayaan yang telah dilakarkan oleh warga-wargamu kalaupun bukan saya.

Buat teman-teman yang pernah dan masih mengenali saya dan terbaca blog ini, sudi-sudilah berkongsi kisah-kisah lama jika masih ada yang ingat. Harapnya adalah kebaikannya walaupun sedikit cuma.
Razak Nordin berpesan ; SHAMS. Saya amat berbangga kerana pernah menjadi wargamu suatu ketika dulu.

Sungguh, Saya Amat Menghargainya.

Mula-mula.
Saya ingin melahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua AJK Pusat Islam sama ada yang disebut namanya atau tidak disebut namanya,  yang sedikit dan sebanyak telah menyumbang tenaga untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti di Pusat Islam PTSS bagi Sesi Jan 2010.

Dimaklumkan juga, saya ada menerima email-email dari sahabat-sahabat AJK Pusat Islam tentang projek-projek dan program-program yang ingin dan akan dilaksanakan. Untuk semakan dan rujukan saya. Dan saya amat-amat menghargainya. Semuanya. Apa yang lebih penting, semua aktiviti yang telah dirancang dan diputuskan sebelum ini dapat berjalan dengan jayanya bersama redha Ilahi jua.

Cumanya.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf kepada sahabat-sahabat yang aktif bekerja kerana "tahap nafsu" saya buat masa ini berada pada tahap yang cukup "merudum". Semuanya menjadi "tidak bernafsu" untuk kebanyakan kerja yang memerlukan "nafsu dan keinginan". Harap-harapnya ia tidak berlarutan dalam tempoh yang lama. Dan saya tidak bercadang untuk mengulangi punca-punca dan sebab-sebabnya. Nanti jadi macam merungut-rungut pula. Kalau kau menjadi aku, aku yakin kau akan mengerti.

Saya juga ingin meminta maaf banyak-banyak dan pada masa yang sama ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Timbalan Pengerusi kerana terpaksa "dipanjangkan" sesetengah email untuk semakan beliau. Kepada semuanya. Hanya Allah s.w.t yang mampu membalasnya. Ameen.

Menulis ada "nafsu dan keinginan" pula?
Ya, saya masih mempunyai "nafsu dan keinginan" yang masih kuat juga untuk menulis "apa-apa sahaja" walaupun tidak sehebat mana pun.  
Kerana ianya salah satu "terapi emosi,nafsu dan fikiran serta minda" yang masih saya miliki buat masa ini. Kalaupun saya tidak mampu melakukan semuanya, sekurang-kurangnya saya tidak pula meninggalkan semuanya.

Razak Nordin berpesan ; Sesekali ingatlah juga kepada Awais Al Qarni. Antara manusia hebat yang pernah hidup dipermukaan bumi ini. Dalam lipatan sejarah Islam ada kisah hebatnya. Carilah.

Pelajar Sekolah : Benarkah Mereka "Berlesen Besar"

Mitos atau realiti.
Dulu-dulu dan hingga sekarang pun.
Di kampung saya, pelajar-pelajar sekolah selalu dianggap sebagai "pemilik lesen besar". "Lesen besar" di sini merujuk kepada "kekebalan" para pelajar sekolah ketika berada di jalanraya.

Ibaratnya.
Dalam apa keadaan sekali pun, mereka tetap tidak dianggap bersalah. Jika mereka yang melanggar orang lain, orang yang dilanggar itu akan dianggap salah. Bukan pelajar itu yang dianggap bersalah. Kalau orang lain yang melanggar budak sekolah, lagi-lagilah salah-salahnya itu. Walaupun pelajar-pelajar sekolah tersebut melintas jalan sesuka hati mereka. Menunggang motosikal dan memandu kereta sesuka hati juga.

Betul Ke Kebal.
Pagi ini baru terpanggil saya untuk menulis tentang perkara ini. Harap-harap ia tidak mengundang kontroversi. Kerana itu bukan maksud saya.
Saya hanya ingin tahu betul ke mereka "kebal" kerana;
Sudah acapkali benar saya melihat seolah-olah "kekebalan" itu berlaku. Dilihat di banyak tempat juga, cumanya pada masa yang mungkin berbeza. Kalau bolehlah saya senaraikan di bawah ini.

1. Kebanyakan atau majoriti pelajar sekolah yang saya jumpa menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar(mungkinkah kebetulan?). Walaupun selalu juga dilihat topinya "disimpan" dalam raga motornya. Andaiannya mungkin kerana mereka tidak mahu rambut yang telah disikat rapi itu dirosakkan oleh pemakaian topi keledar tersebut. 

2. Menunggang motosikal secara berkelompak sehingga menguasai sebahagian besar jalanraya terutama di kawasan-kawasan yang berhampiran dengan sekolah.

3. Membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar sama ada dengan kawan sepersekolahan atau bukan kawan sepersekolahan( mungkin ayah atau ibu atau abang atau kakak atau bapa saudara atau emak saudara) yang menghantar mereka ke sekolah sedangkan penunggangnya memakai topi keledar.

4. Berlumba sesama mereka terutama semasa tamat persekolahan pada hari tersebut. Sudahlah topi keledar pula tidak dipakainya.

Senang cerita.
Semuanya itu bercantum dalam satu. Cumanya, saya sengaja senaraikannya satu persatu untuk mudah dibaca dan difahami walaupun dalam banyak keadaan ia adakalanya berkesinambungan.

Persoalan saya?
Betulkah para pelajar sekolah "berlesen besar dan kebal". Sehingga seolah-olahnya semuanya macam tidak terkawal dan berleluasa. Atau saya terlalu ambil kisah kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya saya peduli pun. Kerana mereka bukan anak-anak atau adik-adik saya pun.

Entahlah. Cumanya, sebagai manusia yang masih waras dan boleh berfikir, kadangkala kepedulian itu datang tanpa dipaksa-paksa pun.

Harapan.
Jika adalah pihak-pihak berwajib berkaitan ada terbaca blog picisan ini. Sudi-sudilah berkongsi maklumat dengan saya. Persoalan saya. Pelajar Sekolah : Benarkah Mereka "Berlesen Besar?".

Mitos atau Realiti.

Razak Nordin berpesan ; Berkongsi menambah maklumat dan pengetahuan.

Tuesday, March 30, 2010

Maka Benarlah Kata-Kata Itu

Benarlah
Maksud perpatah Arab ; "Aqal yang sihat berada dalam tubuh badan yang sihat".

Lagi benarlah sabda Rasulullah s.a.w.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Rebutlah LIMA PERKARA sebelum datangnya LIMA PERKARA. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat : masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima : masa hidup sebelum tiba masa mati.”
(Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Setelah agak lama juga Allah S.W.T memberikan nikmat sihat kepada saya, Allah mengujinya lagi dalam seminggu dua ini dengan rasa kurang stabil dari segi ketidaklaratan badan. Dan secara langsungnya ia sedikit sebanyak mengganggu dari segi kemampuan berfikir dan mengingat sesuatu. Dan banyak jugalah tugas-tugas dan tanggungjawab serta amanah-amanah yang terbantut walaupun tidaklah sampai terbengkalai terus. Mudah-mudahan ada hikmat-hikmat yang baik yang sengaja Allah S.W.T. takdirkan kepada diri saya disebalik apa yang sedang berlaku.

Pesan orang bijak pandai ; Bersangka baiklah terhadap Allah s.w.t. dengan apa sahaja yang telah ditentukan untuk kita. Hakikatnya memang Allah S.W.T. lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita manusia, hamba-hambanya. Dan yakinlah bahawa Allah tidak taklifkan atas bahu seseorang kecuali sesuatu yang ditaklifkan itu mampu ditanggung oleh seseorang itu.

Besarlah mohon limpah perkenan kepada Allah s.w.t. agar saya diberikan kekuatan yang berterusan dan berpanjangan dalam menghadapi ujian yang tidak sebesar mana ini. Semoga kesembuhan juga yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. akhirnya.

Maaf juga kepada orang-orang yang berada diseputar hidup saya, sekiranya dalam seminggu dua ini saya tidak sepertinya. Isteri, anak-anak, sahabat handai dan juga para pelajar saya.

Razak Nordin berpesan; Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara.  Jangan sampai terlewat.

Monday, March 29, 2010

Seorang Manusia Bergelar Hamba.

Saya menerima apa yang telah terjadi sebagai takdir. Kerana saya seorang manusia bergelar hamba. Akur dengan kehendak Allah s.w.t. yang Maha Berkuasa.

Pagi tadi.
Dalam keadaan kesihatan diri yang masih kurang menentu, saya gagahkan jua diri ini untuk melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya sebaik mungkin. Dan seperti biasa saya akan "mengusung" laptop dan LCD projector untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas berjalan. Menyahut saranan.

Tetapi pagi tadi lain pula jadinya dan ini kali pertama ia berlaku. Plug di dalam kelas yang digunakan pagi tadi tidak berfungsi seperti yang sepatutnya. Kesihatan yang kurang baik menyebabkan saya mengambil keputusan mengubah lokasi kebiasaan asalnya di tingkat 4 ke tingkat 2 di bangunan yang berlainan. Dan akhirnya saya jadi mangsa keadaan. Tidak berbaloi kata orang sekarang.

Semuanya menjadi "lemas, terbantut dan menyakitkan hati". Kesempurnaan yang dihajati menjadi "kecacatan" yang tidak dirancang. Mempositifkan apa yang telah berlaku sedapat mungkin supaya tidak menganggu "mood" yang sememangnya sudah cukup melantai. Komitmen saya adalah memberikan yang terbaik setiap kali memasuki kelas. Dan apa yang berlaku tadi sedikit sebanyak mengganggu juga jiwa dan perasaan saya. Dan selalunya ia mengambil masa untuk sembuh. Itulah antara masalah dengan diri saya. Ketidakpuasaan yang menderitakan jiwa dan perasaan sendiri. Mungkin ia tidak berlaku kepada semua orang tetapi takdir itu berlaku kepada diri saya. Apa yang mampu saya lakukan?

Akhirnya saya menjadi tidak puas dan mungkin para pelajar pun tidak puas juga.

Kepada semua pelajar DSK 4. Maaf atas apa yang terjadi. 

Razak Nordin berpesan ; Kekurangan tidak diminta tetapi adakala ia berlaku dengan hikmat yang jelas nyata ataupun tersembunyi di sisi Allah s.w.t. Untuk mengajar kita semua. Manusia yang serba kekurangan.

Sunday, March 28, 2010

Toyota Innova Dijadikan Teksi Di Vietnam!!!!

Toyota Innova Dijadikan Teksi Di Vietnam.
Itulah yang telah diceritakan bapa mertua saya yang baru pulang melawat Vietnam kira-kira seminggu lepas. Katanya lagi, Toyota Innova yang dijadikan teksi tersebut pula diwarnakan hijau dan putih. 

Kalaulah betul seperti apa yang diceritakan, sebagai pemilik Innova, ada patutnya saya rasa terkejut walaupun sedikit. Kerana saya secara peribadi belum  pernah melihat di Malaysia yang dianggap maju ini menjadikan Innova sebagai teksi. Paling hebat pun proton wira walaupun ada juga jarang-jarang ditemui Mercedes dan Perdana V6 dijadikan teksi. Tetapi jumlahlah boleh dibilang dengan jari.

Cuma terfikir bagaimana negara Vietnam yang selalu dianggap ketinggalan itu boleh menjadikan Toyota Innova sebagai teksi di negara tersebut. Mungkinkah harga Toyota Innova di sana agak murah berbanding di Malaysia. Atau pemandu teksinya di sana terdiri dari golongan yang "mampu milik". Atau ada sebab-sebab lain yang tidak diketahui.  

Kalau dalam Ringgit Malaysia(RM), anda terpaksa membayar lebih kurang RM 144 ribu termasuk "interest' untuk memiliki sebuah Toyota Innova berbanding harga asalnya lebih kurang RM 110 ribu. Kira hebatlah juga pemandu teksi di Vietnam.

Entahlah. Saya tiada jawapan yang pasti.

Razak Nordin berpesan ; Jika anda ada jawapannya, kongsilah di sini. Saya sedang "keliru".

Saturday, March 27, 2010

Radix Pizza ; Tidak Rugi Mencubanya.

Radix Satay Saiz L.
Harga : RM 21++
Walaupun saya adalah ahli HPA yang bernombor 372176 tetapi tulisan ini adalah tanpa prejudis. Bukan bertujuan untuk kempen atau promosi produk-produk HPA. Pilihan. Dulu, kini dan selamanya tetap di tangan anda. Mungkin sekadar ingin berkongsi pengalaman. Kalau berminat untuk mencubanya selepas membaca coretan ini, silalah rasainya sendiri kemudian andalah yang berhak secara mutlak untuk menilainya.

Ahad lepas.
Saya sempat "menyusahkan" En. Rashdan dan Puan Farizah(terima kasih banyak-banyak-rasa bersalah pula selepas En. Rashdan dan Puan Farizah "terbalik" awal ke PTSS mungkin kerana kiriman pizza tersebut) dengan mengirimkannya untuk membelikan isteri saya Pizza Radix. 

Kebetulannya En. Rashdan sebelum itu ada menelefon saya bertanyakan di mana lokasinya Radix Pizza. Dan kebetulannya saya pula tidak tahu di mana lokasinya kerana saya sebenarnya tidak pernah sampai pun ke situ. Lalu saya minta dia menghubungi Ustaz Yasir untuk maklumat tepat kerana Ustaz Yasir pernah singgah makan di Pizza Radix tersebut. Lokasinya di kawasan Village Mall, Sungai Petani, Kedah.  

Memenuhi permintaan isteri yang teruja dengan cerita tentang En. Rashdan yang singgah di Pizza Radix. Dengan muka "tebalnya" saya menelefonnya kembali untuk mengirimkan sebiji Pizza tidak kiralah apa perasanya. Katanya, sudah lama benar dia ingin mencubanya. Cuma sebelum ini tiada kesempatan yang sesuai untuk singgah mencuba. Belum ada rezeki kata orang.

Tidak mengecewakan.
Itulah barangkali kata-kata yang boleh saya lontarkan walaupun saya sebenarnya bukanlah seorang peminat pizza. Seingat saya, ini merupakan kali kedua saya merasai pizza sepanjang hidup ini. Kali pertama hanyalah "satu segitiga" yang kecil itu sahaja. Itupun kerana ingin menjaga hati isteri.

Berjaya menghabiskan "tiga segitiga" yang kecil itu bagi seorang yang bukan peminat pizza saya rasa bukanlah sesuatu yang mudah. Hari pertama satu "jurai". Hari kedua pula dua "jurai". Saya tidak pandai dan berhak untuk menilainya bagi pihak orang lain sama ada ianya sedap atau tidaknya. Ukuran sedapnya pada saya hanyalah pada banyak mana yang berjaya saya habiskan. Mungkin juga kerana ianya kena dengan "rasa" lidah saya. Dan selepas ini saya tidak akan teragak-agak dan takut-takut lagi untuk singgah di Pizza Radix untuk mencubanya lagi. Kerana sebelum ini saya cukup "takut" setiap kali isteri bercadang untuk singgah memakan pizza kerana saya "akan terpaksa" makan juga untuk menjaga hati isteri. Untuk akan datang, Insyaallah tidak lagi. Semuanya dengan kerelaan hati sendiri.  

Kepada peminat-peminat Pizza yang kebetulan lalu di Sungai Petani atau yang tinggal di kawasan Sungai Petani, sudi-sudilah jenguk-jenguk serta singgah rasa di Radix Pizza di kawasan Village Mall Sungai Petani, Kedah. Mana tahu. Mungkin ia kena dengan selera anda. 

Razak Nordin berpesan ; Selamat mencuba.  Saya tidak dibayar sebarang royalti untuk menulis tentang perkara di atas. Sekadar perkongsian dan saya rasa tidak rugi untuk anda mencubanya walaupun hanya sekali.

Friday, March 26, 2010

Mengupah Dan Menerima Upahan

Katakan ;
Ada seseorang datang kepada anda dan menceritakan bahawa dia pernah menerima upahan untuk melakukan sesuatu yang tidak baik sebelum ini. Dan dia mula memburuk-burukkan orang yang dikatakan pernah mengupahnya untuk melakukan sesuatu yang tidak baik sebelum ini apabila tidak sehaluan lagi sedangkan dia pula seorang yang amat-amat terpelajar dan dikenali ramai. Kebetulan pula yang "dikatakan" pernah mengupahnya itu adalah sahabat baik lamanya. Berkhilaf dan "menjauhkan diri" atau "dijauhkan" atas sebab-sebab yang anda sendiri pun tidak pasti.  
Apakah persepsi anda kepada individu tersebut jika anda terpaksa juga memberikan pendapat mengenainya.

Rasa anda, siapakah yang lebih teruk antara orang yang mengupah dan yang menerima upahan untuk melakukan sesuatu yang tidak baik dalam situasi di atas. Dan kebetulan kedua-duanya pula adalah manusia yang bukan "sembarangan" orangnya.

Kalau saya, saya gunakan logik akal begini. Entahlah betul atau tidak.
Logik saya ;
Yang ditanya selalunya lebih pandai dari yang bertanya. Tidak termasuk yang bertanya itu  semata-mata untuk menguji seseorang yang ditanya. Itu "bangang" namanya. Islam tidak pernah mengajar begitu. Mungkin juga tidak termasuk dalam konteks guru menyoal pelajar untuk menguji tahap ingatan dan kefahaman mereka.

Dan mungkin juga yang mengupah lebih pandai dan bijak dari yang menerima upahan. Perkataan "menerima upah atau upahan" pada saya sudah pun "berbunyi jahat". Sedangkan perkataan mengupah pula tiada pula imbuhan "an' untuk menjadikannya "berbunyi jahat" juga. Saya belum pernah berjumpa perkataan mengupahan. Bolehlah cikgu-cikgu bahasa Malaysia membuat pembetulan sekiranya saya silap. Kita kan sama-sama manusia juga.

Saya tinggalkan anda dengan serangkap pantun ;
Siakap Sinohong
Gelama Ikan Duri
Bercakap Bohong
Lama-lama...Luu Pikirlah Sendiri.

Razak Nordin berpesan ; Jenguk-jenguklah ayat 6 Surah Al Hujuraat. Di dalamnya insyaallah ada panduan yang baik untuk kita semua.

Menguasai Dan Dikuasai

Hidup saya ;
Bukan "menguasai" dan bukan juga "dikuasai".
Kerana ;
Saya bukan seorang feudalis.
Saya bukan seorang kapitalis.
Saya bukan seorang sosialis.
Saya bukan seorang komunis.
Tapi saya seorang Islam.

Idola saya bukan Adolf Hitler.
Idola saya bukan Lenin.
Idola saya bukan Karl Marx.
Idola saya bukan Barack Obama.
Tetapi idola saya Muhammad S.A.W.

Sembahan saya bukan pokok kayu.
Sembahan saya bukan patung dan berhala.
Sembahan saya bukan lembu.
Sembahan saya bukan di kalangan manusia juga.
Sembahan saya adalah Allah yang Maha Esa. Esa dan Satu-Satunya.

Razak Nordin berpesan ; Kebodohan kita adakalanya tidak perlu diishtiharkan pun. Cukuplah dinilai dari kata-kata dan perbuatan yang telah dan sedang kita lakukan.

Wednesday, March 24, 2010

Surau Tua Ini Surau Kita

Ini surau di hadapan rumah saya di Kampung Bukit Kulim 21600 Marang, Terengganu.

Saya ingat-ingat lupa bilakah tarikh rasmi ia dibina. Yang masih diingati,ketika itu saya masih kecil tetapi kecil yang sudah boleh mengingati banyak perkara, termasuk kisah surau tua ini. Seingat saya usianya sudah melangkau lebih 30 tahun tetapi surau ini masih setia berbakti untuk sesiapa yang masih sudi untuk sujud di atas sejadah di lantainya.

Surau tua ini dibina secara bergotong royong dalam semangat hidup berkampung. Berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah. Yang berat menjadi ringan, yang susah menjadi mudah. Berganding bahu menggunakan tulang empat kerat untuk membangunkan surau ini. Tapaknya adalah tanah wakaf milik penduduk setempat. Dananya dari lelahnya petani di sawah, juga dari susu yang mengalir lesu dari batang pokok getah tua di perbukitan, terbina dari semangat waja orang-orang kampung yang tidak pernah mengenal erti penat dan lelah. "Berjuang" bukan kerana nama dan sanjungan manusia. Tiada sponsor, tiada tajaan, tiada sumbangan. Tiada pujian dan sanjungan melampau. Semuanya dari poket sendiri-sendiri yang tidak pernah penuh itu.

Sesungguhnya.
Saya penuh yakin bahawa selagi ada matahari yang bersinar dan bulan yang bercahaya, surau ini akan terus berbakti. Ia tidak pernah dan tidak akan pernah tewas. Selama-lamanya. Yang tewas hanyalah manusia yang mendatanginya. Adakalanya bermasam muka atas kekhilafan tetapi yang menjadi mangsanya adalah surau dan masjidnya. Di banyak tempat ia sering berlaku. Pengalaman masa lampau banyak "memaklumkan" kepada saya tentang apa yang saya maksudkan di atas. Dan saya pernah merasai "derita" itu. Tersiksa jiwa dan raga sebagai imam muda surau kecil dan tua itu dengan karenah "pengunjung" yang pelbagai. Surau ini selalu dihati dan jiwa saya selagi saya melata di bumi Tuhan ini.

Kesempatan berkunjung dikala bercuti di kampung halaman baru-baru ini menyentuh rasa yang bukan sedikit.

Seronoknya hati melihat orang-orang lama yang masih "memerah kudrat" memakmurkan surau tua itu walaupun jumlahnya tidaklah ramai mana. Cik, Abang Mad, Pok Adam, Pok We, Pok Loh, Pok Soh, Mat Robi dan lain-lain. Mereka setia dulu, kini dan mungkin selagi hayat dikandung badan. Mudah-mudahan begitulah.

Melihat anak-anak remaja penyambung warisan yang begitu ramai juga bersolat jemaah dan juga mengaji al Quran melebihi jumlah orang-orang tua yang ada, membuatkan hati saya benar-benar tersentuh, terharu gembira dan rasa "ingin" yang amat sangat. Ramai antara mereka saya tidak kenal namanya pun. Mungkin kerana saya ditakdirkan tidak membesar di kampung halaman sendiri semenjak di tingkatan satu lagi. Atau masa terlalu cepat "membawa" mereka menjadi remaja. Terasa rindu benar untuk kembali berbakti di surau kecil dan tua itu. Setidak-tidaknya boleh juga menjadi pembimbing kepada remaja-remaja tersebut yang tentunya perlukan bimbingan itu. Seterusnya untuk "merasai" kembali masa-masa indah silam yang pernah ditinggalkan itu. Bersama orang-orang kampung adakalanya lebih mudah berbanding bersama cendiakawan-cendiakawan yang hebat-hebat. Mereka adakalanya lebih mudah dibawa berbincang, lebih mudah menerima pandangan serta lebih mudah dalam banyak hal walaupun karenah manusia akan tetap ada di mana-mana. Bezanya mungkin sedikit dan banyak. Senang dan payahnya sahaja.

Terlalu banyak nostalgia.
Di Surau inilah saya belajar dan mengerti banyak perkara tentang hidup ini.

Di sini ;
Di sinilah saya belajar mengenal Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w.
Di sinilah saya belajar mengenal agama.
Di sinilah saya belajar mengenal al Quran.
Di sinilah saya belajar hidup bermasyarakat.
Di sinilah saya belajar menjadi pemimpin kecil kepada masyarakat besar. 
Di sinilah saya belajar menjadi bilal dan imam muda.
Di sinilah saya belajar solat berjemaah.
Di sinilah saya belajar erti saling menghargai.
Di sinilah saya belajar bersetuju untuk tidak bersetuju.
Di sinilah saya belajar tentang payahnya memimpin manusia yang pelbagai karenah dan pandangan hidup.
Dan sinilah saya belajar banyak perkara sama ada tersurat dan tersirat. Yang boleh dikongsi dan yang tidak boleh dikongsikan.

Saya "mengambil alih" menghidupkan surau ini selepas tamat pengajian di UKM sekitar tahun 1996 hingga bulan Julai tahun 1999 apabila mula berkhidmat secara rasmi dengan kerajaan Malaysia. Sebelum itu bapa saya yang menjadi imam di situ dan dia ditakdirkan sakit panjang selama lebih 10 tahun lamanya. Lama surau ini mengalami masa suramnya. Sekali terang, sesekali suram dan sesekali pula gelap gulita.

Bukan mudah rupanya menghidupkannya kembali walaupun ianya hanyalah sebuah surau kecil. Anak muda yang masih mentah dengan pengalaman dan ilmu, belum berkahwin dan tentunya belum mempunyai sebarang pekerjaan tetap. Saya pernah katakan pada mereka yang masih setia. Biarlah kita bangun dan jatuh bersama. Kalau rebah, kita rebah bersama. Namun untuk kita tinggalkan surau ini saya tidak akan "membenarkannya" sama sekali. Surau ini adalah maruah kita. Surau ini adalah harga diri kita. Kita bina bersama dengan betapa banyaknya keringat dan airmata yang pernah mengalir untuk ia menjadi seperti hari ini. Kita pejuang bermaruah. Demi agama bukan yang lain. Titik.

Biarlah saya pendamkan segala pengalaman pahit maung dan saya hanya sudi berkongsi pengalaman yang manis-manis sahaja. Saya tidak bercadang untuk meluahkan segalanya di sini.

Ketika itu.
Sayalah Imamnya.
Walaupun arwah emak amat tidak bersetuju saya menjadi Imam ketika itu kerana bimbang tentang salah betulnya bacaan al Quran saya. Tapi saya katakan pada emak baik-baik. Kalau bukan saya siapakah lagi yang akan memimpin jemaah ini. Betul. Saya bukan gading tetapi hanya tanduk muda. Tetapi tanduk berguna juga ketika gading bertuah tiada bersama. Saya bukan rotan, cuma akar muda tetapi akar berguna juga jika tiada rotan dalam simpanan.  Ingin mencari semuanya seperti Muhammad s.a.w. dan sahabat-sahabat nabi, mereka semua telah tiada. Dalam keberatan itu, arwah ibu menerima juga alasan saya. Dan dengan kudrat yang ada saya berusaha memimpin jemaah itu sebaiknya. Dan sejak itu hati saya sentiasa resah. Antara kebimbangan arwah ibu dan tuntutan fadhu kifayah mesti saya laksanakan. Dan sehingga ibu pergi menemui Ilahi kira-kira 6 bulan yang lalu. Kerelaan dan kebenaran itu tidak pernah diberikan dan saya pula tidak sempat meminta keizinan baru.

Dan sayalah bilalnya dalam kebanyakan masa yang ada.
Saya azan dan kemudian sayalah menjadi imam solatnya. Dengan penuh keberatan tetapi penuh azam saya memimpin jemaah yang ada secara merangkak, bertatih, berjalan dan jarang-jarang sekali mampu berlari. Saya tidak rela surau kecil ini yang dibina dengan segala kepayahan dan kesusahan orang-orang terdahulu dibiarkan usang tidak berpenghuni. Saya akan pastikan solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha di tunaikan di sini semasa saya berada di kampung. Biarlah yang berkereta, yang mempunyai motor dan kenderaan sendiri mencari masjid yang lebih selesa, nyaman dan mendamaikan.

Dan biarlah kami, yang capet dan datang berpimpin, yang buta dan datang bertongkat, yang uzur dan datang merangkak, ibu-ibu bersama anak-anak, nenek-nenek bersama cucu-cucu serta anak-anak terus setia di surau ini. Biar pun adakalanya hati kecil ini sering juga terluka tetapi cepat-cepat dihiburkan dengan muka-muka ceria yang masih sudi dan setia di surau ini.

Kerana.
Surau ini adalah surau kita.
Maruah kita.
Harga diri kita.
Maruah agama kita.
Dan semua orang pun mahu ke syurga juga. Bukan kita seorang sahaja.

Razak Nordin berpesan ; Sesungguhnya pada segala kejadian terdapat tanda-tanda untuk orang-orang yang berakal.

Monday, March 22, 2010

Jabatan Pengajian Am; Relevenkah Wujud Di Politeknik.

"Payah rupanya mengajar subjek yang orang tak suka ni, baru tau, selama ini ingatkan macam mana", begitulah lebih kurang cakap ajuk yang pernah diucapkan oleh seorang pensyarah yang bukan dari Jabatan Pengajian Am apabila beliau mencuba untuk mengajar subjek Bahasa Inggeris.

Hampir 11 tahun lamanya.
Itulah antara "perasaan dan pilu" yang saya alami selama menjadi pensyarah Jabatan Pengajian Am di politeknik.
Bukan setakat pahit, saya telan segala kepahitan bersekali dengan hempedu-hempedunya juga.  Betapa pahitnya.

Bukan mudah.
Memulakan kerjaya di Politeknik Kota Kinabalu Sabah pada Julai 1999, sehinggalah sekarang ini sudah mencecah tahun 2010. Bermula Disember 2003 sehingga kini masih setia meneruskan khidmat bakti di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis. 

Jabatan sokongan, nama jolokan yang cukup sinonim. Entahlah apa yang disokongnya saya pun tidak pasti. 

Mengajar subjek Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Tamadun Islam. Subjek yang "kurang" nilai "komersial".
Ibarat susahnya memberi makan anak-anak kecil antibiotik yang berbau busuk tetapi ia perlu dan wajib dihabiskan.
Ibarat susahnya memaksa kuda untuk minum air, tidaklah sepayah untuk membawanya ke air.  
Ibarat menyediakan hidangan yang tidak disukai oleh jemputan pada majlis keraian. Makanan tidaklah habis, sisanya pula dibiarkan bertimbun di dalam pinggan dan mangkuk.
Ibarat perkahwinan secara paksaan tanpa kerelaan empunya badan, bahagianya tiada, yang banyaknya hanyalah resah dan gelisah. Setiap tahun mengandung  dan melahirkan anaknya juga. Tetapi cinta dan sayangnya pula berkala-berkala.

Payahnya bukan pada mendapatkan antibiotik, tetapi payahnya pada memberikan anak-anak kecil makan antibiotik yang "berbau busuk" itu.
Payahnya bukan pada membawa kuda ke air, tetapi payahnya adalah untuk "menyuruh" kuda itu minum air. 
Payahnya bukan pada menyediakan makanan, tetapi payahnya pada menyediakan makanan yang memenuhi selera semua orang.  
Payahnya bukan pada melangsungkan perkahwinan, tetapi payahnya pada memaksa dua hati yang tiada "rasa" untuk saling cinta menyintai serta saling sayang menyanyangi.
"Payah"nya bukan pada subjek yang diajar, tetapi payahnya pada "memaksa orang untuk menyintai pilihan keluarga sedangkan dia sudah mempunyai pilihan hati yang sudah bertahun lamanya menyulam cinta dan rindu".
Payahnya untuk belajar sesuatu yang tidak berapa disukai dan diminati. Adat manusia memang begitu. Kita dan mungkin orang lain juga.

Sepanjang hampir 11 tahun itu.
Saya melaksanakan amanah itu dengan "sesungguhnya". Cuba memberikan yang terbaik dicelah-celah kehampaan yang acapkali juga bertandang. Saya pendamkan segala keresahan dan kegelisahan yang selalu bertandang. Berbakti di dunia demi kesinambungan di akhirat kelak. Melebarkan senyum selagi mampu, menutup segala gundah yang selalu mendatang.

Kadang itu saya terfikir juga.
Berbaloikah "mengusung" laptop dan LCD sampai ke tingkat 4.

Kepuasan?

Pada saya semuanya terletak kepada kepuasaan. Saya puas apabila maklumat dapat disampaikan dengan cara yang paling baik, sistemetik dan berkesan. Sementara kepuasaan pula memerlukan reaksi dua hala. Kepuasaan pada memberi dan juga kepuasaan pada menerimanya juga. "Hukum" memang begitu. Suami puas, isteri pun perlu puas juga (bacaan 18 tahun ke atas sahaja). Pengajar "puas", pelajar pun "puas" juga.

Baru berbaloikan?
Seronoknya mengusik anak-anak kecil ialah apabila adanya tindakan balas yang diberikan. Lagi "kecoh" tindakbalasnya, maka lagi seronoklah usik-mengusiknya. Puasnya apabila ada tindakbalas itu. Sebab itu saya tidak pernah menemui orang-orang usik-mengusik dengan batang kayu atau benda-benda bukan hidup yang lain. Kerana batang kayu atau benda-benda bukan hidup yang lain tiada naluri untuk bertindakbalas yang "kecoh-kecoh".

"Tindakbalas" yang baik selalunya merangsang tindakbalas yang baik juga tentunya. Dalam ilmu pendidikan yang saya pernah belajar dahulu dinyatakan bahawa peneguhan itu ada dua jenis ; peneguhan positif dan peneguhan negatif. Dan selalunya peneguhan positif banyak merangsang ke arah pencapaian yang lebih baik berbanding peneguhan negatif yang adakalanya bersifat membunuh.

Selalu saya katakan.
Terbaik pada saya tidak semestinya terbaik pada penerimaan orang lain. Tetapi setiap kali saya berbuat sesuatu saya pastikan ia adalah yang terbaik dari saya. Saya tidak suka main-main dalam memberi.

Dalam kelamaan masa itu.
Adakalanya puas juga. Terima kasihlah pada yang pernah, sedang dan akan menghargai.

Sehingga ini.
Relevenkah Jabatan Pengajian Am di Politeknik?

Razak Nordin berpesan ; Cukuplah. Antaranya sahaja. Tergantung dan perlukan kesudahan.

Thursday, March 18, 2010

Anda Mungkin Tidak Percaya, Tetapi Ia Tetap Benar.

Dalam perjalanan pulang dari Kuala Berang tengahari tadi, kami sekeluarga singgah sebentar di Pekan Ajil untuk makan tengahari.

Sesekali mengubah selera kata orang.

Menunya ;
1. Tiga pinggan nasi putih kosong.
2. Daging singgang kurang lebih 10 ketul beserta sedikit kuahnya.
3. Dua ekor ikan keli goreng sederhana besar 
4. Segelas sirap ais .
5. Dua gelas air suam sederhana besar.
6. Sepiring budu.
7. Sedikit kuah gulai tanpa isi.

Selesai makan.

"Waper  semer, kak(Berapa semuanya, kak)", tanya saya dengan loghrat Terengganu pekat.

"Kue makang dok( kuih makan tak)", soalan dibalas dengan soalan juga.

"Dok(tak)", jawab saya ringkas.

"18.40 semer", katanya penuh  yakin.

Terkejut saya dibuatnya. Tetapi mengawal rasa terkejut itu "semacho" mungkin serta mengeluarkan duit untuk membayarnya.

Bila masuk ke kereta.

Ungkapan pertama yang keluar dari mulut isteri saya " Terkejut umi, mahalnya", katanya penuh bernada.

Dan saya buat-buat sedikit terkejut walaupun sebenarnya saya amat-amat terkejut. Lama juga masa yang kami ambil untuk bersembang bagi memuaskan hati tentang kejadian itu. Panjang dan berjela-jela sudahnya. Tetapi saya tidak ingat semuanya untuk saya tuliskan di sini.

Oh, Terengganu negeri tumpah darahku.

Sebagai anak jati Terengganu yang sudah lama mengembara mencari kehidupan di luar, saya ada pesanan untuk sesiapa yang bercadang mengunjungi negeri tumpah darahku ini. Berhati-hati bila singgah untuk makan-makan serta menjamu selera.

Saya asal di sini, setiap kali pulang ke sini. "Malangnya" setiap kali itulah juga saya ada terkena. Bukan tidak mampu dibayar tetapi membayar juga sewajarnya atas kemunasabahannya.

Anda orang luar? Berhati-hatilah.

Maaf!!! Buat orang-orang Terengganu. Bukan maksud saya untuk mengaibkan tetapi untuk menjaga nama baik negeri kita juga. Tempat jatuh dikenang, inikan pula tempat kelahiran. Nanti dijaja ke mana jua. Kalau meletak harga tu, padan patutlah. "Ke guaner gamok geng kiter".

Jangan sampai masuk mana-mana media lagi. Malulah juga, sikit-sikit pun. Macam dulu-dulu tu!!!

Razak Nordin berpesan ; Luka baru berdarah lagi ketika luka lama hampir sembuh. Peteh Ganung Peteh. Bia sapa reboh.

Wednesday, March 17, 2010

Apabila Saya Menerima Amanah Itu.

Gambar ihsan(Blog Pusat Islam)
Lama saya mengambil masa untuk menulis tentang perkara ini.

Sungguh.
Saya menerima amanah sebagai Pengerusi Pusat Islam Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dengan perasaan yang berbaur. Rasa kekerdilan diri untuk menerima amanah seberat ini. Tercapaikah piawanan Allah s.w.t untuk saya. Bukan bermaksud mencari kesempurnaan yang mutlak. Mencari kesempurnaan pada manusia tentunya sesuatu yang mustahil. Tetapi sebetulnya empunya diri tentunya lebih memahami siapa dirinya berbanding orang-orang lain.

Terasa terlalu "besar, berat dan bukan main-main". Amanah bersifat keagamaan. Tentunya banyak perbezaannya.
Dan saya melihatnya seratus peratus dari kacamata agama dan ia merupakan amanah yang besar dari Allah S.W.T. untuk saya pikul dan tunaikan.

Menyedari kekurangan diri yang amat banyak untuk memikul amanah yang amat besar dan berat ini. Saya selalu memandang memegang amanah bagi perkara-perkara yang bersangkutan dengan keagamaan tidak sama dengan memegang atau memimpin organisasi biasa.

Lebih menggerunkan hati apabila teringat kisah yang pernah berlaku kepada Abu Dzar Al Ghifari seperti yang diceritakan dalam dialog di bawah ;

Diriwayatkan dari Abu Dzar Al Ghifari radliallahu 'anhu. Ia berkata: "Wahai Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, tidakkah engkau menjadikanku sebagai pemimpin?" Mendengar permintaanku tersebut, baginda menepuk belakangku sambil bersabda:

(( يَا أَبَا ذَرٍّ إِنَّكَ ضَعِيْفٌ , وَ إِنَّهَا أَمَانَةٌ , وَ إِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَ نَدَامَةٌ, إلاَّ مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا , وَ أَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيْهَا ))
"Wahai Abu Dzar, engkau seorang yang lemah sementara kepemimpinan itu adalah amanah. Dan nanti pada hari kiamat, ia akan menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali orang yang mengambil dengan haknya dan menunaikan apa yang seharusnya ia tunaikan dalam kepemimpinan tersebut." (HR. Muslim )

Dalam riwayat lain, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

((يَا أَبَا ذَرٍّ, إِنِّي أَرَاكَ ضَعِيْفًا, وَ إِنِّي أُحِبُّ لَكَ مَا أُحِبُّ لِنَفْسِي, لا تَأَمَّرَنَّ اثنَينِ و لا تَوَلَّيْنَ مَالَ يَتِيْمٍ ))
"Wahai Abu Dzar, aku memandangmu seorang yang lemah, dan aku menyukai untukmu apa yang kusukai untuk diriku. Janganlah sekali-kali engkau memimpin dua orang dan jangan sekali-kali engkau menguasai pengurusan harta anak yatim." (HR. Muslim)

Setelah amanah ini saya pegang. Saya kuatkan semangat dengan kata-kata hebat yang pernah diucapkan oleh Saidina Ali r.a.(K.W)  "Yang terbaik ialah apa yang telah ditakdirkan untuk kita".

Sebenarnya. Saya betul-betul yakin.
Allah telah mentakdirkan untuk saya memikul amanah ini dengan sebab dan musabbab yang pelbagai bentuk. Tersimpan di sisi Allah S.W.T serta tersindung di sebalik kemampuann akal manusia untuk memikirkannya. Moga Allah s.w.t memberikan saya segala-galanya yang diperlukan untuk memimpin organisasi ini demi mencapai redha Allah semata-mata.

Bukan pemenang yang kita cari, tetapi kejayaan mutlak dari sisi Allah s.w.t , insyaallah dikecapi bersama. Bersama manfaatkan kelebihan, saling melengkapi atas kekurangan.

Besarlah harapan saya mudah-mudahan semua AJK yang dipilih oleh Allah s.w.t diberikan kekuatan yang berkekalan untuk memimpin organisasi ini bersama-sama dengan saya. Tentunya dengan taufik dan hidayah daripada Allah s.w.t. jua.

Ameen.

Razak Nordin berpesan ; Amanah Allah, tanggungjawab bersama. Sama ada meniarap, merangkak, bertatih, berjalan dan berlari, akan kita pikul amanah ini bersama, Insyaallah. Meniarap sama-sama memakan pasir, terlentang sama-sama menadah embun.

Tuesday, March 16, 2010

Mengantuk ; Anda Ada Jawapannya?

Sebetulnya.
Saya belum memahami secara pasti apakah sebenarnya fenomena mengantuk. Tetapi saya "faham benar" bahawa apabila ia datang, melawannya bukanlah sesuatu yang mudah. Setakat ini ubat paling mujarab untuk mengantuk adalah tidur. Sama ada dengan cara berbaring atau duduk sambil menundukkan kepala. Bahkan ada yang tersandar di kerusi dengan mulut ternganga, malahan lebih teruk ada yang "terlengkup" di birai meja sehingga mengeluarkan bunyi dengkur dan air liur basi.

Lazimnya.
Saya akan "membiarkan" mana-mana pelajar yang mengantuk dan tertidur di dalam kelas meneruskan "istirehat' mereka "semahunya".

Saya tidak rasmi, cara itu saya warisi daripada salah seorang bekas pensyarah saya semasa belajar dulu-dulu. Hujahnya yang masih saya ingat, orang mengantuk jangan dipaksa untuk segar. Kalau jaga pun, tiada apa yang mampu difikir dan dilakukan. Biarkan si mengantuk itu tidur adakalanya lebih baik daripada dia mengganggu sesi kelas yang sedang berjalan. 

Pergi ke tandas, basuh muka. Masuk kelas mengantuk semula. Bangun lalu buat regangan otot, bila duduk mengantuk juga. Kena marah, ditarik telinga, jentik telinga, sudahnya terlena juga.

Dan saya menerimanya dan mewarisi ilmu itu sedikit-sedikit.  Kerana adakalanya saya juga begitu.
Sumber : Koleksi peribadi

Tidur ialah keadaan rehat badan semula jadi yang dialami seluruh dunia fauna. Tidur diamalkan oleh semua mamalia dan burung, dan turut diperhati pada kebanyakan reptilia, amfibia dan ikan. Bagi manusia, mamalia-mamalia lain, dan kebanyakan besar haiwan-haiwan lain yang pernah dikaji — seperti ikan, burung, semut, dan bari-bari — tidur secara kerap adalah penting untuk kemandirian. Namun, tujuan tidur tidak jelas sepenuhnya, sebaliknya masih menjadi titik tengah kaji selidik yang berterusan.[Sumber]

Dikutip dari pengalaman sendiri dan juga kawan-kawan, selalunya fenomena mengantuk mudah menjelma dalam tiga keadaan.

Pertama ; Ketika mendengar ceramah atau kuliah. Tidak kiralah sama ada dalam kelas, semasa berkursus, berseminar, berforum, berdiskusi, mendengar khutbah di masjid dan aktiviti-aktiviti seumpamanya selagi kita menjadi pendengarnya. Dan tidak mustahil penceramah itu juga turut tertidur apabila ditakdirkan dia pula menjadi pesertanya pada masa yang lain. Yang ini, bahaya tahap dua barangkalinya. Ketika kita bersemangat bercakap, berpidato, bersyarah, berfalsafah, kita merasa hairan dan "marah-marah"  kerana masih ada yang tersenggut-senggut kerana mengantuk bahkan ada yang tanpa segan silu tertidur terus. Dan apabila kita menjadi pendengar, kita pula menjadi seperti mereka. Dua kali lima. Lima kali dua juga. Jawapannya adalah sepuluh. Persoalannya. Kenapa jadi begitu? Saya belum menjumpai jawapannya. Jika anda ada, kongsilah dengan saya.

Kedua ; Mengantuk akan datang tiba-tiba apabila baru sahaja memulakan pemanduan. Pejam celik, pejam celik, terkebil-kebil. Pasang radio kuat-kuat. Harapnya kebisingan menghilangkan rasa mengantuk. Sudahnya, terkebil-kebil lagi. Mengantuk yang bukan dibuat-buat. Makan makanan yang masam-masam, mengantuk tidak juga hilang. Silap-silap haribulan, macam-macam yang boleh berlaku. Sudahnya. Berhenti seketika untuk melepaskan mengantuk yang tidak dapat ditahan-tahan lagi itu. Yang ini pula bahaya tahap satu rasanya. Silap-silap nyawa jadi taruhan.

Ketiga ; Kebiasaannya, seseorang itu amat mudah untuk mengantuk dan terus terlena apabila kenderaan yang dinaikinya mula bergerak. Tidak kiralah sama ada bas atau kenderaan-kenderaan awam yang lain mahupun kenderaan-kenderaan milik sendiri. Yang ini pula mungkin rahmat kepada penumpang-penumpang bas ekspress, kenderaan-kenderaan persendirian tetapi "buang karan" bagi pemandu-pemandu kereta jika teman bicara mula di lamun mimpi. Akhirnya si pemandu pula mula mengantuk. Daripada tiada apa-apa, akhirnya bertukar menjadi bahaya tahap satu.

Jika anda ada jawapannya atau mungkin cara penyelesaiannya. Kongsilah dengan saya. Harap-harap ada kebaikan darinya.
Razak Nordin berpesan ; Bila mengantuk disorongkan bantal. Bila lena diganggu mimpi-mimpi yang menyiksakan jiwa dan fizikal. Fenomena apakah itu? Tapi hati-hati, jangan bercakap jika mengantuk, anda akan mula merapu-merapan!!!!

Hanya Di Syurga

Hanya di syurga.
Yang kekal, pasti, abadi dan selamanya.

Tiada lagi barangkali-barangkali dan kemungkinan-kemungkinan lagi.

Hanya satu.
Tiada lawan-lawan.
Tiada lagi dua yang berbeza kecuali hanya lelaki dan perempuan.

Hanya bahagia, tiada lagi derita.
Hanya gelak ketawa, tiada lagi tangisan dan air mata.
Hanya suara, tiada lagi kebisuan.
Hanya melihat, tiada lagi kebutaan.
Hanya ketenangan, tiada lagi gundah gulana dan kerisauan.
Hanya dara, tiada lagi janda-janda.
Hanya indah-indah, tiada lagi cerita duka dan luka.
Hanya kesenangan, tiada lagi kesusahan.
Hanya kasih sayang, tiada lagi adu domba dan kebencian.
Hanya nikmat, tiada lagi laknat.
Hanya kesedapan, tiada lagi pahit, maung dan kelat.
Hanya kemanisan, tiada lagi kepahitan.
Hanya sihat, tiada lagi sakit-sakit.
Hanya yang lazat-lazat, tiada lagi kelat-kelat.
Hanya muda-muda, tiada lagi tua-tua.
Hanya kekal-kekal, tiada lagi silih berganti.
Hanya kepastian, tiada lagi janji kosong.
Hanya kelurusan, tiada lagi jalan berliku.
Hanya keadilan, tiada lagi kezaliman.
Hanya untuk yang layak, tiada lagi kroni-kroni.
Hanya kebenaran, tiada lagi tipu-tipuan.
Hanya.....

Tentunya dunia dan syurga cukup berbeza.
Di dunianya semuanya ada lawan-lawan. Ada silih dan berganti.
Di syurga hanya satu, tiada lagi dua sifat yang berbeza, kecuali lelaki dan perempuan sahaja.

Razak Nordin berpesan ; Tenanglah wahai jiwa.

Monday, March 15, 2010

Telegram Untuk Pengguna Tandas Awam

Daripada : Ibnnordin

Kepada   : Semua pengguna tandas awam seluruh Malaysia.

Perkara   : Sama-Samalah Menjaga Kebersihan Tandas Awam.

Tuan/puan yang dikasihi dan dihormati sekalian.

Apabila saya menghantar telegram ini kepada tuan-tuan dan puan-puan, saya tidak bermaksud untuk mencari salah sesiapa dalam perkara yang berkait dengan kebersihan tandas awam kita.

Tidak sama sekali.
Besarlah harapan saya semoga kita sama-sama dapat menjaga kebersihan tandas awam. Tandas awam kita, tanggungjawab kita.

Cumanya.
Sebagai salah seorang pengguna tandas-tandas awam yang agak kerap juga, saya merasa cukup terkilan dengan tahap kebersihan yang pada pengamatan saya kurang memuaskan.

Antaranya ;
1. Tandas-tandas yang tidak dipam setelah digunakan. Tidak mampu saya gambarkan dalam bentuk tulisan di sini. Saya rasa tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum akan kesannya jika ianya berlaku dalam tempoh masa yang panjang. Kuning, berlumut dan meremangkan bulu-bulu roma yang ada.

2. Paip-paip getah tidak digantungkan semula ke tempat asalnya setelah digunakan. Dibiarkan melingkarkan di atas lantai tandas yang basah untuk digunakan oleh pengguna seterusnya termasuk saya juga. Padahal rasa saya, kerja tersebut tidaklah berat sangat pun. Tergamakkah tuan-tuan dan puan-puan memegang dan menggunakan paip-paip getah yang dibiarkan melingkar dalam tandas tersebut? Entahlah. Kalau tidak sanggup, orang lain pun tidak sanggup juga. Kalau tuan-tuan dan puan-puan sanggup, tentunya ada orang-orang lain yang tidak sanggup. Percayalah!!!

3. Puntung-puntung rokok juga dibuang ke dalam tandas bahkan dalam mangkuk tandas pun ada. Lebih teruk lagi jadinya apabila ianya tidak "pergi" bersama air yang dipam. Sudahlah tidak indah pada pandangan mata bahkan tidak pula wangi pada hidung yang terpaksa menciumnya.

4. Kebanyakkan pintu tandas yang saya pernah saya jumpa rosak dan tidak boleh digunakan lagi. Kalau setakat kencing mungkin boleh dipertimbangkan lagi. Bolehlah kencing dengan "aman" dengan pelbagai gaya yang ada. Kalau buang air besar, kemungkinannya tidak banyak gaya yang boleh dipelbagaikan.

Oleh itu saya menyeru diri saya dan semua pengguna tandas-tandas awam supaya marilah sama-sama kita menjaga kebersihan tandas awam yang kita gunakan. Janganlah sampai air kecil dan besar yang sudah berada di "muka kuala" undur semula ke "hulu" setiap kali kita memasuki tandas. Berpeluh dahi sudahnya.

Lalu kita salahkan orang lain atas "dosa-dosa" yang pernah kita lakukan.

Mungkin mudah kita katakan ;
Pekerja kebersihan kan ada!!
Pekerja kebersihan buat apa?
Ah, ini bukan rumah kita!!
Biarkan!!, lepas ni ada orang akan bersihkan.
Dan mungkin pelbagai perkataan yang akan terucap.

Itu saya tidak akan komen.

Maaflah jika telegram ini agak panjang. Selalunya telegram dalam bentuk yang ringkas, tepat dan padat kerana bayarannya agak mahal juga.

Tetapi untuk kali ini biarlah saya berhabis duit untuk telegram ini. Dengan harapan adalah seorang dua yang mengambil iktibar dari telegram sepanjang ini.

Razak Nordin berpesan ; Yang ikhlas dari kejauhan. Ibnnordin.

Sunday, March 14, 2010

Kampungku ; Nostalgia Di Sebalik Banyak Yang Sudah Berubah

Sesekali pulang ke kampung halaman.

Petang tadi.

Saya bersama isteri dan anak-anak mengambil kesempatan "pusing-pusing" sekitar tempat-tempat di mana saya membesar, yang dahulunya sawah padi dan sungai yang airnya mengalir agak deras. Tempat saya mengenal hidup ber"teman"kan lumpur, tanah liat, selut, lintah, pacat, unggas dan pelbagai macam lagi.

Hati bagaikan hiba tersentuh kenangan lalu. Dan ternyata semuanya sudah banyak yang berubah.

 Menyelusuri, mengembalikan nostalgia lama anak kampung. Memang saya asal dari kampung.
Saya merenung masa lampau bersama kenangan-kenangan yang tidak mungkin kembali lagi.

Sawah padi yang berubah wajah bergantikan kelapa sawit.
Di sinilah, saya membesar bersama hanyirnya selut.
Di sini juga betapa banyak darah saya tertumpah di "baham" lintah dan pacat. 
Di sini, saya belajar "cedong"(menanam padi) bersama arwah ibu.
Di sini, juga saya pernah "mukul padi" (membanting padi) demi kelangsungan hidup, demi sesuap nasi dan seteguk air.
Di sini, saya belajar erti kemiskinan, susah senang menjalani hidup sebagai anak tani yang serba kekurangan.
Di sini, saya belajar erti ketabahan arwah ibu di sebalik tubuh kecilnya.
Di sini, saya belajar memahami karenah hidup sebagai anak kampung yang adakalanya penuh perit dan jerih. 

Bersyukurlah.
Masih ada yang sudi berbudi pada tanah ketika orang-orang lain berlumba-lumba membina pencakar langit. Secara tidak sengaja saya berjumpa Mat Zali yang mengusahakan tanaman tembikai. Salah seorang anak muda yang masih sudi berbudi pada tanah. Terharu juga berjumpa anak muda ini. Kawan lama yang dipisahkan oleh haluan hidup yang berbeza. Jarak umur tidak pernah membataskan "lepak-lepak" di zaman muda-muda dahulu.
Daun nyiur yang masih sudi melambai-melambai bagaikan memanggil segala kenangan lama agar datang kembali. Tempat kami bermain layang-layang buatan sendiri. Berpanas, berpeluh tapi kami seronok dengan dunia kanak-kanak kami.
Jambatan batu yang sudah hilang ditelan zaman. Tempat kami menahan "tuo"(sejenis perangkap udang atau ikan)
 Semuanya sudah tohor dan mengalir lesu. Tempat kami menangkap udang dan ikan pada musim kemarau.
Pokok nyiur manisnya. Semuanya manis pada sebiji kepala. Satu-satunya yang ada dulu dan kini sudah mula mempunyai generasi kedua.
Pokok manggis yang entah berapa usianya. Tempat kami menjadi "monyet". Memanjat melalui dahan-dahan yang berjuntai.
Pokok duku yang banyak berjasa. Terus hidup untuk menabur budi. Salah satu sumber kewangan keluarga kami.
Sungai tempat kami mandi-manda. Tidak seperti dulu lagi. Tiada lagi pokok jambu air tempat kami mencari  makan apabila lapar. 
Saya pulang sore itu dengan pelbagai rasa yang tidak mampu dituliskan dalam bentuk perkataan dan diungkapkan melalui kata-kata. Kedamaian lama yang masih membekas di hati.

Razak Nordin berpesan ; Memang asal saya dari kampung. Kampung Bukit Kulim 21600 Marang, Terengganu. 

Kampung Bukit Kulim, Marang, Terengganu : Satu Nostalgia

Saya sengaja meletakkan nama Kampung Bukit Kulim, Marang,Terengganu sebagai tajuk coretan kali ini. Kata orang, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat yang penuh nostalgia hidup yang pernah saya lalui dengan segala macam yang ada.

Sekurang-kurangnya saya berusaha juga untuk "promosikan" kampung halaman sendiri ke seantero dunia. 

To ;
Mr Barack Obama.
This is my village.

Untuk orang-orang Arab.
Haazihi Qaryati. 

And also to others people"s in this world.
This is my village.

Alhamdulillah.
Semalam.
Mengambil kesempatan dari cuti semester pelajar-pelajar politeknik dan kebetulan pula dengan musim cuti sekolah, kami sekeluarga menjejaki lagi "kaki-kaki" kami ke "mahligai desa" di mana tempat saya pernah dibesarkan.

Perjalanan semalam dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin ke Kampung Bukit Kulim, Marang Terengganu diiringi doa semoga semuanya selamat bersama bermacam rasa yang berbaur antara sedih, kepiluan, gembira dan segala macam lagi. Kerana di sini ada "segala-galanya". Hilang hanya di mata tetapi sentiasa kekal dalam ingatan dan kenangan. Bahkan kelamaan masa tidak mungkin menghakis semuanya. Masih ada sisa-sisa yang berbaki. Untuk dikenang serta menjadi pedoman hidup.

Alhamdulillah. Segalanya dipermudahkan oleh Allah S.W.T.
"Mahligai" Tempat Kami Banyak Belajar Erti Hidup

Secara "berdaftar" saya tidak dilahirkan di sini kerana saya sebenarnya dilahirkan di Hospital Besar Kuala Terengganu secara pembedahan.
Tetapi secara "rohnya" saya dilahirkan, dibesarkan, mengenal hidup di sini.

Semua ada di sini.

Suka.
Duka.
Pahit.
Dan yang maungnya juga.

Biarlah isteri dan anak-anak sama-sama mengetahui bahawa asal usul suami dan Abinya  adalah di sini. Sama-sama "menyelami" gelak riang serta gundah rasa jika masih ada.

Biarlah saya "melihat" dengan "rasa" dan segala bayangan dan kenangan yang masih kekal dalam ingatan. Sekurang-kurangnya mereka melihat juga walaupun hanya dari "cerita-cerita".

Jika dari bandar Marang, jaraknya hanyalah 15 kilometer. Sementara dari bandar Kuala Terengganu lebih kurang 36 kilometer.

Kepada sesiapa yang pernah sampai ke Pulau Kapas. Jeti untuk ke Pulau Kapas jaraknya lebih kurang 16 kilometer dari kampung halaman saya. Tetapi saya sebetulnya tidak pernah sampai pun ke pulau pelancongan tersohor di Marang tersebut.

Dari bandar Marang, menuju ke Wakaf Tapai, anda hanya perlu mengecam Sekolah Kebangsaan Bukit Jejulong di sebelah kiri jalan utama. Simpang ke kiri di hadapan sekolah tersebut satu-satunya jalan paling dekat dari arah Marang untuk sampai ke kampung Bukit Kulim, Marang, Terengganu.

Jika dari Kuala Berang, anda boleh memilih tiga jalan alternatif. Tetapi saya mencadangkan jalan yang paling mudah adalah melalui pekan Wakaf Tapai. Dari simpang pekan Wakaf Tapai menuju ke bandar Marang, anda hanya perlu mengecam Sekolah Kebangsaan Bukit Jejulong yang berada di sebelah kanan jalan. Kebarangkalian untuk anda tersesat jika mengikut "arahan" yang diberikan adalah 0.01%. Insyaallah.

Sebaik anda menjumpai sekolah tersebut, anda akan nampak satu-satunya simpang yang ada di situ. Di sebelah kanan. Lebih kurang 1 kilometer dari simpang tersebut, anda akan menjumpai kampung Bukit Kulim yang saya maksudkan.

Sejarah saya bermula di situ.

Kg. Bukit Kulim
21600 Marang Terengganu.
4.13 petang.
14 Mac 2010.

Razak Nordin berpesan ; Sesekali melihat dari mana asalnya diri. Dari nutfah menjadi alaqah. Dari alaqah bertukar mudghah. Dari mudghah beralih tulang dan daging. Akhir sekali organ dan roh.