Warkah Untuk Ibu
Ibu,
Sudah acapkali.
Ya, acapkali.
Bahkan berulang kali.
Tidak terhitung lagi banyaknya.
Anakanda telah mendengar dan membaca kisah di bawah ini.
Cuma baru kali ini anakanda benar-benar terguris hati. Dan tanpa sedar airmata ini menitis di birai kelopak mata. Tiba-tiba diri ini dibawa ke masa silam yang penuh nostalgia bersama arwah ibu. Terbayang pelbagai kenangan-kenangan lampau bersamamu. Hakikatnya menahan kerinduan pada arwah ibu bukan sesuatu yang mudah. Namun, kenangan-kenangan indah itu biarlah ia berlalu dan "terlarut" bersama lamanya masa.
Lebih menakutkan dan merisaukan dari itu adalah takut-takut anakanda pernah sekali atau lebih dari sekali dalam hidup ini, anakanda melukakan hati ibu semasa hayat ibu di dunia ini.
Ibu,
Maafkan anakanda seandainya anakanda pernah melukakan hati ibu walau sekecil dan sehalus mana pun garis luka itu. Kerana anakanda tidak mahu menjadi seperti Alqamah.
"Tuan-tuan, kalaulah Alqamah tidak boleh mengucap dua kalimah syahadah hanya kerana pernah sekali sahaja hati ibunya terguris kerana isterinya tidak menghidangkan kuih yang telah dibawa oleh ibunya, macam mana dengan orang-orang zaman sekarang, ada yang sepak ibu, pukul bapa, buang ibu ayah dan sebagainya. Marilah sama-sama kita bermuhasabah dengan kisah ini. Sedangkan kalau ikutkan Alqamah "tidak bersalah" kerana dia tidak mengetahui perkara itu, lagi pun isterinya yang tidak menghidangkan kuih yang telah di bawa oleh ibunya itu. Ini adalah kerana lelaki itu pemimpin kepada perempuan. Kesalahan isteri turut ditanggung oleh suaminya ". Kurang lebih, ungkapan-ungkapan perlahan dan penuh kelembutan Ustaz semasa kuliah Maghrib dua hari lepas di sebuah surau, Taman Lela Satu, Kamunting yang sungguh-sungguh menusuk kalbu kecil saya.
Kisahnya.
‘Alqamah pula adalah anak yang baik. Setiap kali pergi ke masjid, dia akan menziarahi ibunya. Cuma pada suatu hari, ibunya memberitahu ingin pergi ke rumah ‘Alqamah. ‘Alqamah dan isterinya amat gembira mendengar berita tersebut. Mereka pun menyediakan pelbagai jenis masakan sebagai menyambut kedatangan ibu ‘Alqamah. Rupa-rupanya, ibu tadi membawa makanan yang telah dimasaknya untuk dinikmati di rumah ‘Alqamah. Bagaimanapun, isterinya menyimpan makanan tersebut dan menghidangkan apa yang dimasaknya. Disebabkan perkara itu, ibu ‘Al`qamah berkecil hati sehingga menyukarkan anaknya itu menyebut kalimah tauhid semasa sakaratul maut. Rasulullah pun diberitahu tentang hal tersebut dan baginda bertanya kepada ‘Alqamah bagaimana hubungannya dengan ibu. Lalu beliau menjawab, ada sedikit salah faham. Rasulullah kemudiannya memanggil ibu ‘Alqamah dan memintanya memaafkan anaknya supaya boleh mengucap syahadat. Bagaimanapun, ibunya enggan kerana hatinya sangat terguris akibat peristiwa tempoh hari. Oleh sebab itu, Rasulullah mengarahkan para sahabat mengumpul kayu untuk membakar ‘Alqamah. Sabda baginda, sebelum dibakar di akhirat aku ingin tunjukkan dia dibakar di dunia.Melihatkan keadaan itu, barulah ibunya memaafkan ‘Alqamah. Sejurus itu, barulah ‘Alqamah boleh mengucap dengan lancar.
Ibu,
Walaupun kisah ini dianggap dhaif oleh sesetengah riwayat tetapi anakanda tetap mendambakan kemaafan dari segala kesalahan dan kesilapan yang mungkin pernah mengguriskan hati kecilmu.
Razak Nordin berpesan ; Muhasabah untuk anak-anak di pinggir kosmos milik Tuhan ini.
Dan ingatlah juga ;
Kisah Juraij, seorang ahli ibadat yang menjadi mangsa fitnah perempuan zina sebagai suatu pengajaran dari Allah s.w.t untuknya dan orang-orang terkemudian. Salahnya "hanya", kerana beliau tidak menjawab salam ibunya kerana khusyuk meneruskan solat sunat. Ini menyebabkan ibunya berkecil hati dan berdoa supaya anaknya dipertemukan dengan wanita jahat. Akhirnya beliau difitnah oleh perempuan yang berzina dengan lelaki lain dan mendakwa bahawa bayi yang dikandung dan dilahirkan itu adalah anak hasil hubungannya dengan Juraij. Difitnah sebagai ahli ibadah yang bertopengkan agama. Berpura-pura baik tetapi melakukan zina sehingga perempuan itu mengandung dan melahirkan anak.
Akhirnya, Juraij meminta kebenaran untuk bertanya dengan bayi itu siapakah bapanya yang sebenar. Dengan kuasa Allah, bayi yang masih merah itu boleh berkata-kata dan menceritakan hal yang sebenarnya. Dalam keadaan yang amat genting itu, takdir Allah s.w.t. telah menyelamatkan Juraij. Barulah Juraij dilepaskan oleh penduduk kampung.
INGATLAH, REDHA ALLAH ATAS REDHA KEDUA IBUBAPA
TERLEPASKAH BEBANAN SEBERAT INI UNTUK ANAK-ANAK ZAMAN IPOD INI
Catatan
Kisah ‘Alqamah itu dinukilkan oleh al-Imam al-Dhahabi Rahimahullah, di dalam kitab al-Kabaair. Begitu juga Ibn Hajar al-Haitami di dalam al-Zawaajir. Riwayat itu dinisbahkan kepada al-Thabarani dan Ahmad, tanpa sebarang komentar ke atas sanadnya atau menyatakan apa-apa hukum ke atas riwayat itu. Akan tetapi al-Sheikh al-Albani di dalam komentarnya ke atas kitab al-Targheeb wa al-Tarheeb oleh al-Imam al-Hafeedz al-Mundhiri berpandangan bahawa kisah ‘Alqamah ini sangat dhaif. Riwayat ini pada kitab yang dinyatakan tersebut diangkakan sebagai 1487.
http://saifulislam.com/?p=3159
http://saifulislam.com/?p=3159
No comments:
Post a Comment