Kisah Dulu-Dulu.
"Doh waner tak mboh hok mok pilih, doh nok hok waner lagi(Kenapa tidak nak yang mak pilih, sudah tu nak yang macam mana lagi)", "bebel" arwah mak suatu masa dulu-dulu apabila saya pernah menolak secara beradab pelawaannya untuk melamar gadis-gadis pilihan hatinya untuk dijadikan isteri saya.
"Suasana" ketika itu saya masih ingat benar lagi. Masih tergambar dalam ingatan, tetapi terlalu banyak untuk dituliskan dalam bentuk perkataan.
Cumanya, saya sudah melupai kata-kata yang telah saya gunakan semasa menolak permintaan "maha berat" itu.
Bukan sekali tetapi acapkali juga.
Bukan sahaja mak tetapi juga cik(bapa).
Bukan seorang tetapi ramai juga dalam masa dan ketika yang berbeza.
Dan saya sebolehnya tidak akan membantah atau menolak serta membangkang kata-kata arwah Mak walaupun saya merasakan bahawa saya berada di pihak yang betul. Dalam apa keadaan sekalipun. Dan tazkirah ringkasnya adalah suatu kewajipan yang mesti didengar dengan penuh sabar oleh anak-anaknya termasuk saya. Sejak zaman-zaman persekolahan, zaman "mengaji" di universiti. Malahan sehingga saya bekerja, dewasa dan sudah mempunyai rumahtangga sendiri. Sehingga ke akhir hayatnya pun.
Yang itu saya pegang betul-betul.
Saya lebih senang untuk mendiamkan diri jika tidak bersetuju dengan sesuatu dan arwah Mak cukup memahami karenah anak keduanya ini.
Dan akhirnya saya berkahwin dengan pilihan sendiri dengan restu keluarga tentunya.
Kenapa Menolak Ketika Itu ?
1. Tidak sekufu pada pandangan saya.
Dan tidak sekufu itu pula bercabang menjadi beberapa ranting.
Pertama ; Tidak sekufu dari segi paras rupa.
Kedua ; Tidak sekufu dari segi status sosial dan latar belakang keluarga.
Maka "hanyutlah" saya dengan perpatah "Enggang dan pipit mana boleh berkawan". Kononnyalah. Saya kononnya umpama pipit di sawah, sedangkan dia enggang dikayangan. Dan konon-konon itu saya yang ciptakannya sendiri. Rendah diri yang mungkin tidak bertempat barangkali.
Sekampung.
Selang sekampung
Selang dua kampung
Atau selang tiga kampung.
Selagi boleh, saya cuba elakkan. Selama ini Allah s.w.t. telah merestuinya atas sebab-sebab "pilihan-pilihan" tersebut memang bukan jodoh saya. Kerana pada saya banyak risiko keburukan daripada manfaat kebaikan yang akan saya perolehi.
Jika Terpaksa!!!
Menerima atau menolak.
Itu pilihan empunya badan.
Tetapi perkongsian pengalaman hasil pembacaan dan pengalaman rakan-rakan mungkin boleh dijadikan suatu bahan renungan.
Jika ingin menolak. Putuskan. Dan tiada lagi huraian.
Tetapi jika ingin menerima, saya ada perkongsian cadangan ringkas untuk sesiapa sahaja.
1. Pastikan "si dia itu" benar-benar tidak mempunyai kekasih hati dan boleh menerima kita seadanya. Dengan sebenar-benarnya dan sesungguh-sungguhnya. Bukan main-main atau sebab-sebab yang terselindung disebalik "kerelaan" itu.
2. Dan pastikan "si dia itu" juga tidak mempunyai kekasih dan buah hati yang terpaksa diputuskan kerana taatnya kepada kehendak keluarga. Supaya dapat berkahwin dengan kita. Sedangkan teman lelaki atau wanita yang "ditinggalkan" itu masih setia menanti dan dia sendiri pun sungguh-sungguh tidak merestui hubungan yang sudah sedia terjalin sekian lama dengan segala macam janji kesetiaan itu diputuskan semudah itu.
Risikonya
Dalam banyak hal dan keadaan, menerima sesuatu tanpa sepenuh hati dan rela hati, mungkin mengundang banyak negatif dari positifnya.
Fizikal mungkin boleh bersama, sedangkan jiwa dan raganya bersama orang lain. Zuriat-zuriat mungkin lahir silih berganti tetapi rindu dan cintanya berterbangan mencari persinggahan yang entah di mana itu.
Saya tidak bercadang untuk menyenaraikan contohnya satu persatu. Tetapi cukuplah saya katakan bahawa telinga ini sudah banyak mendengar kisah serupa ini secara "real" dan mulut ini sudah acap kali juga memberikan kata-kata nasihat yang tidak seberapa itu pula kepada sesiapa yang pernah "meminta " pandangan . Secara "real" juga.
Mereka adalah sahabat-sahabat, kawan-kawan, rakan taulan dan "anak-anak" saya di luar sana.
Tidak termasuk yang dipaparkan di media-media. Yang terang dan tersembunyi di sebalik pelbagai cerita hidup yang bertimbun-timbun itu.
Atas dasar itu.
Saya "terasa ingin" memberikan pandangan walaupun hanyalah sekecil ini. Dan saya telah memberikannya.
Razak Nordin berpesan ; Masa lalu dan hari ini sudah banyak berbeza. Tetapi ada juga yang tidak pernah berbeza dulu, kini dan selamanya.
No comments:
Post a Comment