Wednesday, June 16, 2010

Dan Kerana Suaminya Umar Al Khattab






Musim cuti sekolah sudah masuk pertengahan minggu kedua.

Dan seperti biasa, setiap kali musim cuti sekolah, banyaklah majlis akad nikah berlangsung dan meratalah majlis kenduri-kenduri kahwin.
Sini kenduri.
Sana kenduri.
Dekat kenduri.
Jauh pun kenduri.

Di kampung saya, musim cuti sekolah cukup sinonim dengan istilah musim "berlaga pusat". Entahlah dari mana munculnya istilah itu. Tetapi istilah penuh simbolik itu sudah difahami benar maksudnya.

Tanam pinang rapat-rapat,
Agar puyuh tak dapat lari,
Masuk meminang sudahlah dapat,
Sampai masanya majlis akad, pengikat dua hati.

Maka.
Berkompanglah.
Belaraklah.
Berkendurilah.
Berpelaminlah.
Berkonvoilah.

Dan.
Menjadi korbanlah.
Lembu.
Kerbau.
Kambing.
Ayam.
Ikan.

Ahli keluarga, sahabat handai, rakan taulan pula datang bertandang.
Yang dekat
Dan yang jauh juga.

Sini riuh.
Sana pun riuh.
Sana gelak.
Sini pun gelak.
Sini seronok.
Sana pun seronok.
Kegembiraan terpancar di mana-mana.

Pelbagai ucapan mendoakan kebahagiaan dan baik-baik sahaja untuk pasangan pengantin baru.

"Semoga bahagia hingga ke akhir hayat"
"Semoga bahagia selalu"
Dan macam-macam ucapan lagi. Motifnya hanya satu. Mendoakan hanya yang terbaik untuk pasangan pengantin baru.

Dan statistik di bawah akan bertambah secara mendadak setiap kali musim cuti sekolah. Rasa sayalah.
Semuanya mengharapkan panas sampai ke petang. Rupanya ada yang "hujan panas, ribut petir dan halilintar" tiba-tiba muncul di tengahari. Pelamin angannya musnah sebelum sempat "kendaranya" selesai.

Yang masih bertahan. Semoga terus bahagia dengan segala limpah perkenan Ilahi jua. Nelayan yang mahir dengan ombak dan gelora laut tidak lahir dalam sehari dua. Jatuh, rebah dan bangun semula. Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. Sehari satu pengalaman, semuanya itu diharap dapat mematangkan dalam menjalani bahtera kehidupan.

Statistik di bawah cukup membimbangkan dalam dunia yang semakin moden dan canggih ini. Semoga pasangan yang masih dalam ikatan perkahwinan tidak termasuk dalam statistik di bawah.

Semenjak tahun 2002 hingga 2008, statistik perceraian negeri-negeri di Malaysia tidak pernah menurun, malahan sentiasa meningkat. Cumanya dalam statistik ini tidak dijelaskan secara ditil punca-punca sebenar bertambahnya statistik di bawah saban tahun.

Entahlah puncanya.
Tetapi ia menuntut rasa peduli semua kita.
Orang-orang yang masih ada rasa kepedulian terhadap masalah ummah sejagat. Kerana bukankah kita umpama satu jasad yang turut marasai demam dan berjaga malam apabila satu anggota lain demam dan sakit?

Kerana.
Mereka mungkin.
Sahabat handai kita.
Rakan taulan kita.
Kenalan dekat dan jauh kita.
Bekas anak-anak didik kita.
Jiran-jiran kita.
Saudara mara kita.
Adik beradik kita.
Saudara seagama kita.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
 
Kisah Umar Al Khattab
Diceritakan bahawa ada seseorang datang ke rumah Khalifah Umar Al Khattab untuk mengadukan perangai buruk isterinya. Apabila orang itu tiba di pintu rumah khalifah, tiba-tiba dia terdengar isteri khalifah sedang mengangkat suara mengata nista khalifah sedangkan khalifah hanya berdiam diri saja, tidak menjawab sepatah pun.

Maka orang itu pun tidak jadi hendak mengadu, malah tergesa-gesa hendak kembali meninggalkan rumah khalifah, maka dengan tidak semena-mena dia dipanggil oleh khalifah seraya bertanya kepadanya

"Apa hajatmu datang ke mari?"
Jawabnya : " Tidak ada apa-apa wahai Amirul Mukminin!"
Tanya Khalifah : "Mengapa datang, kalau tidak ada apa-apa?"
Kata orang itu lagi : "Sebenarnya saya datang sini untuk mengadukan kelakuan buruk isteri saya, wahai Amirul Mukminin. Tetapi tiba-tiba saya mendapati tuan hamba juga mengalami masib yang sama seperti saya."

Berkata Khalifah Umar :
"Wahai saudara ku! Aku terpaksa menanggung semua itu kerana aku terhutang budi kepadanya. Dia telah memasak makananku, membuat roti untukku, membasuh pakaian dan menyusukan anakku, padahal semua itu tidak wajib atasnya. Dan dia juga menjadi tempat kemesraanku, di mana hatiku berasa tenang dan kerana itu juga aku terlindung daripada melakukan yang haram. Bagaimana dapat aku menentangnya, jadi aku hanya bersabar dan memekakkan telinga sahaja,"

Kata orang itu pula : " Saya juga menanggung nasib yang sama seperti tuan hamba juga wahai Amirul Mukminin!"

Maka berkata Amirul Mukminin lagi :

"Wahai saudaraku! Bersabarlah atas kelakuan isterimu itu".

Mungkinkah kisah Umar Al Khattab ini memberikan kita semua salah satu jalan untuk menurunkan statistik di atas?

Paling tidaklah.
Mudah-mudahan.

Kerana semua orang seronok hidup bahagia dan harmoni.

Razak Nordin berpesan ; Muhasabah untuk diri sendiri, suami-suami dan juga bakal-bakal suami. Ameen.

No comments: