Wednesday, January 27, 2010

Lamunan Terhenti

"Sebahagian kecil nikmat hidup saya sebagai manusia telah ditarik oleh Allah s.w.t. setelah Dia  memberikannya kepada saya agak lama juga", kalau bolehlah saya menulisnya begitu.

Hikmahnya. Allah saja yang tahu.

Banyak kemungkinan. Dari persepsi saya sebagai manusia biasa. Melihat kelemahan diri.

Mungkin balasan atas dosa-dosa yang pernah saya lakukan sama ada secara sengaja atau tidak.
Mungkin atas kealpaan dan kelalaian saya dalam mensyukuri nikmat rezeki yang dikurniakan oleh Allah s.w.t.
Mungkin atas kealpaan saya sebagai hamba Allah s.w.t dalam mensyukuri pelbagai lagi nikmat Allah s.w.t yang semestinya tidak mampu untuk diperhitungkan walaupun air laut dijadikan tinta untuk menulisnya.

Dan kemungkinan-kemungkinan lain.

Tersimpan di sisi Allah Yang Maha Mengetahui.

Nikmat makan.

Rela atau terpaksa.

Saya terpaksa juga "meninggalkan" banyak makanan kegemaran saya untuk hidup yang lebih sihat dan "hidup lebih lama" di dunia ini. Bukan kemestian tetapi usaha dan tawakal adalah sesuatu yang diajar oleh agama untuk manusia termasuk saya.



Soalnya ;

Apabila wang yang dimiliki tidak lagi boleh digunakan untuk "membeli" sesuatu yang kita suka.

Apabila kekayaan yang dimiliki tidak lagi boleh "membeli" kesihatan, kebahagiaan dan kesejahteraan.

Apabila tilam yang empuk tidak lagi boleh memberikan tidur yang nyenyak.

Apabila harta benda, pangkat, kedudukan dan kemewahan yang dimiliki tidak lagi mampu untuk menyembuhkan penyakit yang dihadapi.

Apakah lagi yang "mesti terjadi"  untuk memberikan sebuah keinsafan kepada semua insan yang bergelar manusia. Tentunya saya juga.

Razak Nordin berpesan ; Tersedar dari lamunan setelah agak lama tenggelam di dalamnya.

No comments: