Lokasi
Wad D4, Hospital Taiping Perak.
Tarikh
21 Januari 2010 @ 5.00 hingga 7.00 petang.
Katil 1
"Riuh rendah" dengan kunjungan dan ziarahan isteri, anak-anak, cucu-cucu, sahabat handai, rakan taulan dan dua orang menantu. Seorang menantu lelaki dan seorang perempuan. Dan satu-satunya menantu lelaki itu adalah saya. Semuanya nampak ceria setelah masing-masing "terkejut bukan sedikit" apabila bapa mertuaku dimasukkan ke wad Hospital Taiping pada tengahari 21 Januari lalu "secara mengejut" kerana tiba-tiba bacaan kadar gula dalam darahnya mencapai angka 23. Syukurlah semuanya selamat dengan rahmat Ilahi.
Katil 2
Dari celah langsir yang sedikit terbuka, saya melihat seorang bapa yang sudah terlalu tua berseorangan dengan wayar dimasukkan ke hidung. Mungkin antara sedar atau tidak, matanya hanya mampu melihat ke atas. Entah apa yang direnungnya. Mungkin syiling, mungkin kipas yang sedang ligat berpusing atau mungkin hanya pandangan kosong. Di atas meja sebelahnya saya "terpandang" lampin untuk orang dewasa yang mungkin disediakan untuk kegunaannya jika diperlukan.
Katil 3
Seorang isteri tua setia menemani sang suami yang terlantar dipembaringan. Sudah berapa lama saya pun tidak pasti. Sesekali pandangan sayunya beralih ke arah kami. Tanpa sebarang kata. Sesekali juga terdengar batuk-batuk dari si suami yang sedang terlantar itu. Dan ibu tua itu cepat-cepat mengurut-ngurut dada si suami dengan penuh rasa kasih dan sayang. Bila sampai masa makan, disuapkan si suami dengan penuh sabar. Dikutipnya nasi-nasi yang berterabur di birai bibir dan yang tertumpah di sisinya.
Katil 4
Seorang anak remaja baru sahaja mengambil alih tugasan ibu untuk menjaga bapa yang sakit. Tanpa suara. Tiada perbualan. Hanya kesunyian. Si bapa terbaring di katil dan si anak termanggu di birai katil. Mungkin mendoakan supaya si ayah akan cepat sembuh. Sesekali matanya memandang ke arah kami tanpa kata-kata juga.
Hakikatnya.
Saya tidak mampu untuk "membaca" apa yang sedang berlegar dalam ke semua watak yang saya tuliskan dalam cerita atas.
Tetapi.
Dari "kedekatan" itu, saya memandang penuh kesayuan melalui mata-mata mereka dengan perasaan yang bercampur baur. Bercampur antara rasa terharu, sedih, pilu dan pelbagai macam rasa yang tidak mampu saya coretkan dalam bentuk tulisan dan kata-kata. Tapi ia membenam jauh di lubuk hati ini. Segalanya.
Yang mungkin saya coretkan hanyalah berat pada pandangan mata, bukan berat pada bahu yang memikulnya.
Tentang ujian Allah s.w.t untuk sesiapa sahaja dengan umur tua dan sakit yang sungguh menguji keimanan, ketakwaan dan tentunya kesabaran juga.
Tentang besarnya pengorbanan seorang isteri terhadap suami tercinta pada masa senang dan susah.
Tentang pengorbanan seorang anak remaja perempuan dalam menjaga ayah yang sedang sakit ketika rakan-rakan sebaya berseronok dengan dunia remaja masing-masing.
Tentang "sakitnya" menanggung sakit sedang dahulunya kitalah manusia perkasa yang melatar di bumi ini.
Tentang.... Segalanya.
Mampukah suatu hari nanti kita menghadapinya jika ia ditakdir untuk kita di suatu ketika yang entah bila itu?
Razak Nordin berpesan ; Masih adakah sebuah keinsafan buat manusia dengan sakit yang silih berganti antara manusia. Dan sesekali itu jugalah saya teramat rindukan arwah ibu. Saya benar-benar rindukan cinta dan kasih sayangnya. Selama-lamanya.
3 comments:
n3 ni tlah mmbasahkan keybord laptod dba!! kalau kau mnjd aku , aku yakin kau akan mengerti..
Di sini dan di sana...diharapkan airmata menjadi sedikit pengubat kalaupun tidak untuk semua perkara.
disebalik pengalaman sendiri, situasi ini mmg memberi keinsafan didalam diri....
sesungguhnya ALLAH memberi peluang untuk hamba2 nya bertaubat...
sihat sebelum sakit...
lapang sebelum sempit...
kaya sebelum miskin..
hidup sebelum mati...
myra bersyukur diberi kesembuhan dan peluang untuk beramal ibadat dan berbakti kepada kedua ibu bapa.. =D
Post a Comment