Mengikut sifir matematiknya, saya akan berumur 38 tahun pada 4 Julai 2010.
Sepatutnya masih muda, bertenaga dan sihat walafiat.
Tetapi saya mesti menerima hakikat bahawa tenaga dan kudrat saya tidaklah "semuda" usia saya lagi. Kalau pun masih ada yang "berjiwa muda" mungkin "semangat perjuangan harmoni" yang terselindung di sebalik tenaga dan kudrat yang semakin menurun ini. Terselindung disebalik banyak impian yang belum tercapai.
Rupanya.
Ketuaan upaya itu datang tanpa saya sedari.
Ia datang bersama meningkatnya umur dari hari ke hari. Bukan sekaligus, tetapi sedikit demi sedikit.
Tanpa saya sedar bila titik mulanya. Tetapi fizikal saya sudah agak lama merasai dan menanggungnya.
Peringatan Itu.
Badan selalu lenguh-lenguh yang tidak diketahui "asal usulnya".
Pinggang pula selalu sakit-sakit dan lenguh-lenguh.
Kepala pula selalu pening-pening dan sakit-sakit.
"Batang tengkok" pula selalu tegang menegang.
Tidur malamnya pula selalu sangat diganggu mimpi-mimpi yang memenatkan.
Larian pula tidaklah sepantas dulu-dulu lagi.
Hayunan kaki sudah mula longlai dan terus longlai.
Berdiri pun tidaklah setegap dulu-dulu lagi.
Melangkahnya sedikit, mengahnya pula berlebih-lebih.
Suara dulu-dulu "garangnya" bak halilintar mula bertukar menjadi semacam beduk dihujung kampung.
Cuma rambutnya masih belum beruban.
Semuanya datang seakan tiada penawar dan jalan "pulang" lagi.
Pelbagai cara dicuba dan diusahakan. Tetapi yang tua tetap tua. Yang lama tetap lama. Rupa luaran mungkin nampak gah, tetapi upaya tenaga tidaklah segah dulu-dulu lagi.
Kepada yang masih mula dan bertenaga.
Tidak perlulah anda bayangkan bagaimana rasanya.
Tunggulah.
Suatu hari nanti, semua itu akan hadir juga dalam hidup anda. Cepat atau lambat, ia sesuatu yang pasti. Ketika itu barulah anda dapat memahami sambil merasai apa yang saya maksudkan di atas.
Sehebat mana pun kita suatu ketika dahulu, ingatlah bahawa kita tidak akan perkasa selamanya.
Walau apa pun rintangannya sepanjang perjalanan hidup ini :-
Razak Nordin berpesan ; Peringatan Allah s.w.t. untuk manusia yang masih mahu berfikir.
No comments:
Post a Comment