Tuesday, May 4, 2010

Tertunaikah Hak Anak-Anak

Kebiasaan Rutin Harian Saya ;
Seawal pukul 7 pagi saya akan menghantar kedua-dua anak ke "sekolah" mereka. Tidak jauh destinasinya. Sekadar 5 minit dalam kelajuan biasa.

Sekitar jam 7.15-25 pagi.
Kebiasaannya saya akan mengetip kad perakam waktu. Waktu untuk bekerja. Sehingga jam 5 petang. Dan selalunya kurang lebih pukul 5.20 hingga 5.30 baru saya sampai ke rumah semula.

Kesempatan masa yang ada itulah saya gunakan untuk bersama isteri dan anak-anak. Memberikan hak-hak mereka sebagai isteri dan anak-anak yang keperluannya adalah pelbagai itu.  Terkadang itu, sambil-sambil "disibukkan" dengan internet yang tiada kesudahan itu.  Perhatiannya berbelah bahagi. Antara "kesibukan yang disengajakan" itu dan hak isteri serta anak-anak yang mesti ditunaikan.

Itu tidak termasuk "masalah-masalah" lain yang tidak dirancang dan disengajakan. Yang adakalanya "merampas" masa selang yang terluang itu. 

Dan sesekali sempatlah juga membawa anak-anak pusing-pusing sekitar kampus untuk "mengambil angin" petang sambil meredakan ketegangan yang ada menjelang waktu maghrib.

Maghrib.
Jika ada kelapangan dan kesempatan, solat berjemaah maghrib di Pusat Islam. Selesai solat maghrib pulang ke rumah  sementara menunggu Isyak. Sempatlah sembang "sepatah dua" dengan isteri dan anak-anak. Melayan karenah mereka sedapat mungkin.

Pukul 9 lebih.
Selalunya mereka sudah mula bersedia untuk tidur. Hanya sesekali mereka terlewat tidur. Dengan sesekali itu, sempatlah berlama-lamaan bersama anak-anak.

Dan apabila esok datang lagi. Rutin sama berulang lebih kurang serupa.

Dan saya mula berfikir dan bermuhasabah diri......

Sebagai seorang Abi yang di atas bahu kanan dan kirinya tertanggung segala macam amanah. Dan semuanya adalah tanggungjawab yang mesti ditunaikan.

Tanggung dan jawab dengan pembalasan jua.

Tertanggungkah amanah seberat itu?

Ketika saya selesai menulis coretan ini, anak-anak sudah lena diulit mimpi. Tidurnya hanya sendiri, tanpa didodoi "pengkhayal" lenanya mata. Seorang di hujung riba Umi dan seorang di antara Abi dan Umi.

Razak Nordin berpesan ; Antara kualiti dan kuantiti masa yang diberikan, tertunaikah hak-hak anak-anak meniti perjalanan hidup ini. Atau begitukah nasib anak-anak zaman moden? 

No comments: