Thursday, September 2, 2010

Adakah Kita Sangsi Pada Agama?






Menuju penghujung Ramadan kali ini, ada sedikit sebanyak kesedihan dan kepedihan melihat bagaimana agama ini di"hargai" oleh manusia-manusia akhir zaman ini. 

Soal?
Perlukah manusia beragama? 

Mari melihat contoh-contoh "sedutan berpilih" dari buku MANUSIA DAN ISLAM JILID III, Panel Penulis Diketuai Oleh Dr. Haron Din. Halaman 228-230.

Dahulu kalau hendak kaya orang bermohon kepada Allah. Sekarang orang bermohon kepada sains ekonomi. Tadahkanlah tangan kepada Allah, tangan itu akan tetap kosong, tetapi mintalah kepada sains ekonomi, maka melalui pertanian, penggalian, kilang, perdagangan ia akan memberikan kekayaan itu.

Dahulu kalau sakit orang bermohon kepada Allah. Sekarang orang bermohon  kepada doktor. Bermohonlah kepada Allah, hanya memberikan orang kesabaran dan ketawakkalan menyongsong maut mendatang, tetapi dengan sains perubatan, si sakit dapat disembuhkan.

Kalau hujan turun terus menerus, orang dahulu bermohon kepada Allah, agar banjir jangan menenggelamkan mereka, menghanyutkan rumah dan merosakan harta benda. Namun banjir itu datang juga membawa kehancuran, tetapi mintalah kepada kejuruteraan, maka teknologi menggali terusan, membuat empangan, memindahkan penduduk dan harta bendanya, hingga banjir tidak timbul atau tidak mendatangkan kerosakan. Perbandingan perkara-perkara tersebut menimbulkan kesangsian dalam kalbu orang moden tentang keperluan agama.

Ada orang yang kuat beragama, tetapi kehidupannya susah, ekonominya miskin, dalam sosial diketepikan, dalam politik lemah. Ada orang yang mengabaikan agama tetapi kehidupannya makmur dan mendapat kedudukan. Bahkan ada pula orang tidak beragama, malahan menentang agama kehidupannya jaya. Untuk apa agama?

Ada orang yang rajin berdoa, tetapi apa yang dimohonkannya tidak terkabul. Ada pula orang yang tidak pernah berdoa, tetapi apa yang dikehendakinya terkabul. Mahu tidak mahu terulang pertanyaan di atas dalam hati orang yang memperhatikan perkara tersebut, untuk apa agama?

Seorang mahasiswa menghadapi peperiksaan. Ketika ia rajin bersembahyang dan berdoa agar dapat lulus, tetapi ia kurang menghafal. Hasilnya ia tidak lulus, sedangkan temannya yang tidak sembahyang dan tidak berdoa, tetapi rajin belajar, lulus dalam peperiksaan itu.

Ada seseorang yang taat menjalankan sembahyang. Suatu hari ia pergi ke suatu bandar, membawa banyak wang dalam begnya untuk berniaga. Sampai di bandar itu, masa zuhur akan habis. Dia mencari hotel, dalam terburu-buru ia masuk ke dalam bilik air untuk mengambil wudhuk. Setelah sembahyang, didapati begnya hilang. Rupanya kerana mengejar waktu, ia lupa mengunci pintu biliknya. Ketika berada di bilik air, ada orang yang masuk, mencuri begnya. Orang yang kehilangan ini termenung. Bukankah tindakannya yang buru-buru tadi adalah kerana taatnya ia menyembah Allah? Kenapa ia masih dirugikan Allah? Teman-temannya yang tidak bersembahyang tidak mendapat musibah seperti yang dialaminya. Kalaulah ia tidak taat sembahyang, kehilangan itu tidak terjadi. Untuk apa agama?

Ada lagi seseorang berpenyakit lelah, duduk di rumah kampung. Pada suatu malam timbul hasratnya sembahyang malam. Ketika itu hujan gerimis. Malam dan hujan gerimis merupakan pantang bagi penyakitnya, tetapi kerana keinginannya kuat untuk beribadat, ia keluar juga, pergi ke sumur mengambil wudhuk. Dengan penuh pengabdian dia sembahyang. Setelah sembahyang serangan lelah datang dengan dahsyatnya. Berbulan-bulan baru penyakitnya itu dapat diatasi. Dalam diri orang yang taat itu, timbul pula pertanyaan : untuk apa agama?

Orang yang mencari wang tanpa mengendahkan nilai-nilai moral yang diajarkan oleh agama, lebih banyak berjaya daripada orang yang mencari wang dengan mematuhi larangan-larangan yang diharamkan agama. Demikian pula orang yang tidak memantangkan apa-apa yang diharamkan agama lebih berhasil atau lebih banyak mencapai kepuasan hidup daripada orang yang mengawal dirinya dengan apa-apa yang dilarang agama.

Demikian sebahagian misal dalam kehidupan yang disebut kehidupan moden itu yang menimbulkan pertanyaan dalam hati orang-orang moden : untuk apa agama itu sebenarnya?

Apabila timbul pertanyaan itu dalam hati, bermakna orang itu sampai kepada peringkat menyangsikan agama. Apabila pertanyaan tersebut tidak mendapat jawapan yang memuaskan fikiran, maka agama telah diabaikan. Pengabaian agama berkembang dengan mengenepikan agama, seterusnya meninggalkannya. Dalam peringkat ini orang mengutamakan kehidupan dunia, kehidupan sekular yang menjadikan dia sekularisme. Peringkat ini terus berkembang kepada pengingkaran agama yang menjadikan dia seorang ateis.

Pertanyaan : Apakah manusia perlu atau tidak kepada agama?
Adalah merupakan suatu pertanyaan yang sulit sekiranya jawapan yang dikehendaki supaya termakan oleh fikiran yang rasional dan ilmiah. Akan tetapi bukan tidak mungkin menyusun jawapan demikian. Untuk itu kita perlu bertolak dari hakikat manusia.

Manusia lahir, kemudian manusia mati. Antara lahir dan mati, terentang masa yang diistilahkan sebagai dunia. Setelah mati, sampai waktu yang tidak terbatas terentang masa yang ghaib- kerana tidak dapat disentuh pancaindera-yang disebut akhirat.

Jadi dunia : Masa awal dan akhirat : masa akhir bagi manusia.

Sedikit-sedikit mungkin gambaran jawapannya makin terselak atau memang telah sedia terselak.

Buat masa ini, saya hanya mampu "memberikan kunci kentotnya" untuk sesiapa sahaja guna membuka pintu khazanah ilmu yang maha luas itu.  

Razak Nordin berpesan  ; Bukan memaksa, berkongsi mengajak manusia berakal untuk sama-sama berfikir sementara masih berpeluang.

No comments: