"Kalau syaitan sudah dirantai, kenapa masih ada lagi orang buat perkara yang tidak baik di bulan Ramadan ni", kata si A. Keliru. "Penggoda" sudah dirantai tetapi masih ada lagi manusia semacam terkena bisikannya.
"Depa tu kot yang bertukar menjadi syaitan", kata si B menambah "perasa". Agak keras lagi "syadid".
"Aku rasa macam nilah", kata si C cuba meredakan kekeliruan yang baru terjadi.
"Macam mana", tanya si A semacam tidak sabar.
"Bukankah syaitan tersebut hanya dirantai, bukan dibunuh", kata si C.
"Jadi, apa kaitannya", si B semakin tidak sabar.
"Anjing garang juga dirantai tetapi pernah juga menggigit orang".
"Lembu garang juga dirantai(ditambat) tetapi pernah juga menyondol orang".
"Kerbau garang juga dirantai(ditambat) bahkan dikandangkan tetapi pernah juga menanduk orang"
Dan menambah.
"Aku rasalah, walaupun anjing itu dirantai tetapi yang dirantai itu adalah jasadnya bukan sifat garang dan bengisnya. Sama juga lembu dan kerbau tersebut".
"Ketiga-tiga binatang tersebut memang tidak bebas ke mana-mana untuk menggigit, menyondol atau menanduk sesiapa".
"Tetapi aku rasa, ketiga-tiganya akan bertindak kepada sesiapa yang lalu berhampiran mereka yang sedang dirantai tersebut atau masih cuba-cuba lalu-lalang di sekitarnya atau cuba-cuba mengacau-ngacaunya".
"Bila dirantai tu, mungkin lebih garanglah kerana boleh jadi lebih tertekan agaknya", kata si C cuba menambah perasa juga.
"Memang kerbau tersebut telah ditambat dan dikandangkan, tetapi aku rasa sesiapa yang memasuki kandang tersebut sengaja mencari nahaslah".
"Aku rasa begitulah juga dengan syaitan tadi. Syaitan tetap syaitan. Sebagaimana permohonan dan janjinya dengan Allah SWT. Syaitan akan tetap akan menggoda, membisik serta mengganggu sesiapa sahaja yang cuba "menghampiri kawasan" di mana ia dirantai".
"Tetapi sekiranya manusia itu telah mencuba sedapat mungkin untuk "menjauhi kawasan" syaitan-syaitan tersebut dirantai, tidaklah dapat syaitan-syaitan tersebut menggoda mereka lalu mereka terselamatlah, Insyaallah".
"Masalahnya di mana syaitan-syaitan tersebut dirantaikan", tanya si A belum berpuashati.
"Itu hanya analogi, bahawa yang dirantai tidak semestinya tidak boleh mengggigit, menyondol atau menanduk mangsa-mangsanya yang sengaja mencari nahas".
"Kalau salah, aku mintak ampun banyak-banyak dengan Allah SWT". Kata si C menamatkan tazkirah ringkas pagi itu. Meninggalkan si A dan si B separuh kebingungan.
Sekurang-kurangnya, pagi ini si A dan si B adalah "bahan" untuk difikirkan sementara mereka akan bertemu lagi zohor nanti.
Razak Nordin berpesan ; Allah yang Maha Mengetahui atas segala sesuatu.
No comments:
Post a Comment