Tuesday, September 7, 2010

Duit Raya : Mengajar Anak-Anak Tentang Adab







"Alah, "singgit" je", rungut si anak kecil itu.

"Kedekutlah Pak Cik ni, abang tadi tu bagi lima ringgit", si kawan pula cuba menambah "perasa".

Walaupun tidak semuanya, barangkali kita pernah mendengar dialog-dialog seperti di atas atau seumpamanya setiap kali tiba musim perayaan.

Dialog "anak-anak rebung" kita.

Anak-anak yang belum banyak mengerti tentang adab dan tatasusila bahkan kehidupan itu sendiri.

Barangkali bukan salah "anak-anak rebung" kita itu seratus peratus.

Bukan juga ingin mencari salah sesiapa.

Cuma.

Barangkali menjadi tanggungjawab ibubapa, abang-abang, kakak-kakak serta guru-guru atau sesiapa sahaja yang merasa bertanggungjawab untuk mengajar ana-anak kita, adik-adik kita serta anak-anak didik kita tentang adab dan tatasusila hidup.

Beritahu dan didiklah "anak-anak rebung" kita tentang perpatah kita ; "Sedikit tanda ingat, manakala banyak pula tandanya ada".

Didik dan beritahulah mereka ;

1. Bahawa pemberian duit raya itu adalah berkonsepkan sedekah bukan pemberian wajib. Dan sedekah itu diberikan mengikut kemampuan orang yang memberi bukan mengikut kehendak orang yang menerimanya.

2. Hargailah setiap pemberian sedikit atau banyak kerana mungkin ada orang-orang lain yang tidak menerima apa-apa pun sempena hari raya ini.

3. Ucaplah terima kasih kepada sesiapa yang memberikan duit raya sama ada pemberian itu sedikit atau banyak.

4. Bahawa semua itu bukan diukur pada sedikit atau banyak duit rayanya tetapi diukur kepada keikhlasan pemberi dan penerimanya.

5. Terimalah pemberian itu dengan tangan kanan, supaya dilihat lebih beradab. Mengambil iktibar dari ajaran Rasullullah SAW kerana Rasullullah SAW pernah mengajarkan jika makan gunakanlah tangan kanan.

6. Jangan buka sampul-sampul raya tersebut sebelum sampai di rumah. Lebih-lebih lagi, jangan sesekali membuka sampul-sampul tersebut di hadapan orang yang memberikannya, kerana ia boleh menimbulkan aib kepada si pemberi dan menandakan tiadanya adab pada anak-anak.

Itu antaranya yang boleh saya masukkan dalam senarai.

Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian. Raya-raya yang lalu-lalu. 

Mudah-mudahan ia tidak berulang lagi kali ini.

Bukan anak-anak yang mendapat malu.

Tetapi kita yang mendapatnya.

Ibu, bapa, abang-abang serta kakak-kakaknya.

Yang mungkin terlupa untuk memberitahu.  

Sama-sama kita perhatikan anak-anak sendiri atau anak-anak buah sendiri.

Agar "kompeni" tidak malu-malu lagi.

Razak Nordin berpesan ; Mudah-mudahan ada perubahan raya kali ini.

No comments: