"Agak-agak anda, ada tak warga PTSS yang akan menangis kerana "pergi"nya Ramadan, macam yang disebutkan selalu bahawa orang-orang terdahulu akan menangis setiap kali "pergi"nya Ramadan", begitulah kurang lebih ayat "provokasi" saya kepada para pelajar DKE 3A sebelum memulakan kelas pagi semalam.
Ada yang gelak.
Ada yang tersenyum.
Dan ada yang buat "deq" sahaja.
"Ada..ada", ada juga yang cuba memberikan respon ringkas.
"Kalau ada alhamdulillahlah", saya pun menjawab ringkas tanpa mengulas lanjut, sebelum memulakan kelas dengan bacaan al fatihah.
Entahlah.
Mungkin ada, mungkin tiada.
Kalau ada, alhamdulillah.
Kalau tiada pun, apalah yang mampu untuk dikatakan.
Semuanya tersimpan di dalam diri. Cuma selalunya, yang zahir itu akan menunjukkan yang batinnya. Bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Kalau boleh saya menggunakan bidalan itu.
Lihatlah apa yang ada diseputar kehidupan harian kita dan bermuhasabahlah jika mahu. Bukan mencari keburukan tetapi memerhati untuk melahirkan sebuah keinsafan jika ada. Terutama untuk diri sendiri, isteri dan anak-anak. Paling tidak pun untuk kaum keluarga sendiri.
Mudah-mudahan adalah yang benar-benar menangis kerana perginya Ramadan kali ini. Walaupun sedikit tetapi sedikit itu adalah inti atau patinya. Yang sedikit itu adalah terasnya. Rasanya lebih baik dari banyak tetapi banyak itu hanya seumpama buih yang akan hilang walaupun hanya ditiup angin yang sepoi-sepoi bahasa sahaja.
Bukan mencari siapa yang akan menangis dan siapa yang tidak akan menangis dengan "perginya" Ramadan kali ini.
Cuma cuba membuat koreksi diri.
Golongan manakah kita ini.
Yang akan menangis dengan perginya Ramadan.
Atau.
Yang terlalu gembira dan seronok dengan berakhirnya Ramadan.
Tetapi jangan sampai kita semua menjadi golongan yang tidak mendapat apa-apa manfaat dengan datangnya Ramadan dan juga tidak mendapat apa-apa manfaat juga selepas berakhirnya Ramadan. Takut-takut neraka itu lebih aula untuk kita.
Razak Nordin berpesan ; Bersama-samalah kita bermuhasabah. Buat sesuatu kerana selain Allah SWT. pun syirik. Tinggalkan sesuatu kerana selain Allah SWT. pun syirik juga. Berhati-hatilah.
No comments:
Post a Comment