Wednesday, October 28, 2009

Berhati-hati Menabur Kacang-Kacang

Seseorang yang saya kenal pernah berkata begini lebih kurang dalam satu mesyuarat  ; terjemahannya lebih kurang begini (kerana dia berkata dalam bahasa Inggeris ketika itu)  " Jika anda terus menaburkan kacang-kacang kepada monyet, ia akan datang lagi dan datang lagi". Dan selepas saya mengulangi kata-kata hikmahnya itu, tanpa dipaksa dia menarik balik kata-kata itu. Entahlah pasal apa.

Biarlah.

Sefaham saya dia ingin merujuk kata-katanya itu dalam konteks kerja dan menguruskan manusia. Puncanya dia agak tidak puas hati terhadap sesetengah staf yang tidak buat kerja yang sepatutnya. Mengabaikan amanah dan tanggungjawab pekerja yang sepatutnya.  Dan yang menjadi mangsanya adalah kami-kami yang berada dalam mesyuarat tersebut.

Sebolehnya saya tidak lagi ingin menjadi golongan "radikal". Biarlah sejarah silam itu hanya tinggal kenangan. Menjadi golongan pendiam serta tunduk dan patuh barangkali seronok juga. Rupanya bukan mudah untuk mengubah sifat diri yang suka bercakap walaupun adakalanya berjaya juga. Tahniah untuk diri sendiri.

Tetapi saat itu, apabila saya merasakan peluru itu salah sasaran dan kami yang terpaksa menanggung derita peluru sesat yang menembusi jantung serta hati kami. Seperti biasa saya pun bersuara dengan "cara saya".
Titik.

Sebenarnya itulah yang banyak berlaku dalam konteks hidup kita. Saya cuba fokuskan dalam konteks organisasi yang menguruskan manusia-manusia yang pelbagai ragam dan karenah.

Kadangkala kita sebenarnya hilang fokus dan silap dalam mencari punca masalah. Lalu kita bazirkan banyak "peluru-peluru terabur" yang tidak mengena sasaran pun. Tersasar hilang ke mana. Dan yang menjadi mangsanya "insan-insan yang tidak berdosa" yang sedang mencari "tempua bersarang rendah di sebalik rendangnya semak".

ANALOGI
Saya membuat analoginya begini. Jika anda pergi ke klinik untuk berjumpa doktor, sudah tentu doktor yang beretika akan membuat dianognis terlebih dahulu sakit apa yang anda alami sebelum diberikan ubat yang sepatutnya. Mencari punca panyakit terlebih dahulu. Kemudian memilih ubat yang sesuai. Makan ubat dan harap-harap sembuhlah. Bukan setakat pergi klinik, dapatkan ubat, kemudian baca arahannya sahaja tanpa memakan ubatnya pun. Kemudian berharap untuk sembuh. Dalam hukum sebab musabab mana mungkin berlaku begitu. Mana boleh asal sakit beri sahaja ubat yang ada di klinik itu tanpa dianogsis dulu apakah penyakit sebenar yang dialami oleh seseorang pesakit itu. Pada saya itu tidak betul. Jawabnya orang-orang kampung saya selalu juga berdialog begini " Tauke khinzir pun jual kandang kalau macam itu". Bahasa "balaghah" namanya.

Begitulah banyak yang berlaku. Pada masa yang sama kita taburkan banyak kacang-kacang di merata-merata tempat dan mengharapkan monyet-monyet liar itu tidak datang untuk mengutipnya. Mana mungkin. Sebab itu jika anda perasan di mana-mana zoo yang pernah anda jejaki pasti ada ditulis " Tolong jangan bagi makanan kepada haiwan-haiwan di zoo ini" . Lebih kurang begitulah bunyinya. Atas banyak sebab yang tidak perlu saya huraikan di sini barangkali.

Sementalah dalam konteks organisasi yang menguruskan manusia. Jika "kacang-kacang ditaburkan di merata-rata tempat tentu sekali ia akan menarik perhatian monyet-monyet liar paling tidaknya". Bahasa kiasan yang mungkin payah difahami. Ok, saya pindahlah dalam bahasa mudah difahami insyaallah.

Dalam konteks organinasi punca utama masalah mesti dicari. Kemudian barulah disusuli dengan tindakan-tindakan yang selanjutnya. Bila sudah mengenal pasti masalah, barulah mencari punca masalah tersebut kemudian mencari jalan penyelesaian sebaik mungkin. Hukuman "mesti" ada untuk setiap "kealpaan". Jika tidak, rasa saya payah juga untuk mengubah manusia. Membebellah kita sehingga pekak telinga mendengarnya. Ia masih seperti dulu. Wajah berbeza komitmen tetap sama. Buang masa dan buang "karen" dan buang "tui" juga. Harus diingat bahawa nilai adalah bahagian paling "dalam" kalau kita ibaratkan pada sebiji bawang. Dan sudah tentu agak payah untuk mengubahnya. Buktinya lihatlah di sekeliling hidup kita. Dan selalunya juga manusia akan lebih menghargai apabila dia akan kehilangan sesuatu yang menjadi miliknya. Apa perlu dia bekerja keras-keras kalau habuannya tetap sama. Entahlah minda kelas berapa. Tetapi saya rasa ada juga orang berfikir begitu dan menjadi begitu. Sesekali saya juga berfikir begitu tapi syukurlah saya tidak jadi seperti yang saya fikirkan. Ada bezanya tu, jangan silap faham pula. Pandangan peribadi saya dan saya bertanggungjawab sepenuhnya. Dan anda juga berhak menolak sepenuhnya tanpa sebarang alasan pun.

Dan penting juga ; "hukuman" setimpal yang sewajarnya. Kerana untuk mengubah nilai yang paling dalam itu perlu mengupas luaran terlebih dahulu. Dalam konteks ini ; "hukuman-hukuman" yang wajar barangkali sedikit sebanyak  dapat mengubah sesuatu walaupun dalam keterpaksaan dan mengambil masa. "Ada" juga daripada tiada langsung. Lebih baik rasanya.

Oleh itu ; Berhati-hatilah menabur kacang ;

Dalam keluarga ; Agar anak-anak membesar dengan nilai-nilai yang murni serta tulus. Tidak "memijak" kepala ibu dan ayah. Menjadi anak-anak yang tunduk dan patuh pada Allah, Rasul serta Ibubapanya. Semuanya yang baik-baik sahaja harapnya.

Dalam organisasi ; Agar semuanya menjadi pekerja-pekerja yang "baik-baik" semua. Supaya tidak ada yang menderita secara senyap. Takut-takut menjadi api dalam sekam. Kerana adanya gunting dalam lipatan yang mengguriskan.

Dalam mempercayai ; Agar anda tidak dikhianati dan ditikam dari belakang. Jika berani, tikamlah dari depan kerana kita anak jantan yang ada maruh dan harga diri.

Dan dalam semua aspek kehidupan. Berhati-hati menabur kacang-kacang. Kalau perlu berhenti, berhentilah. Ia tidak banyak membantu perkembangan hidup yang lebih positif.

Razak Nordin berpesan ; Hukuman adakalanya perlu juga untuk "mengubah" kalaupun tidak dalam semua keadaan. Sesekali perlu berubah juga cara dan pendekatannya.

No comments: