Monday, October 26, 2009

Ya Allah, Aku Tidak Pernah Mengajarnya Begitu

"Tak nak naik keta(kereta) Umi, keta Umi kecik. Nak naik keta Abi, keta Abi besor". Along cuba melahirkan  "protes" terbukanya bersama tangisan "separa kuat" tanda pemberontakan kecilnya terhadap kami.

"Kat sana payah nak "parkinglah". Nanti lain kali kita naik keta Abi ye." balas Umi cuba meredakan ketegangan dan menyakinkan Along pagi tadi. Dan seperti biasa bukan mudah untuk menyakinkan anak kecil dari sudut pandangan orang dewasa.

Aku pun tidak pasti sama ada Along memahami atau tidak alasan isteriku. Tapi pemberontakan kecil itu masih berterusan sehinggalah terpaksa di umpan dengan "mainan" yang akan dibeli jika berhenti "memberontak". Seketika selepas umpanan itu, semuanya kembali normal. Mengena juga umpan "mainan" rupanya. Aku pun tidak pasti sama ada kaedah itu betul atau tidak. Bukan berniat menipu pun. Kami betul-betul ingin membelinya sebagai tanda "penghargaan" atas kerjasama baiknya.

Peristiwa di atas berlaku pagi tadi ketika kami bercadang berkunjung ke Mini MAHA di Pekan Changlun.



Keta Umi


Abi dan Keta "Besor"nya

Sebenarnya itu bukan kali pertama Along membuat perbandingan seperti itu. Sebelum ini aku tidak kisah sangat dengan perbandingan seperti itu. Budak-budak katakan. Aku selalu bermonolog begitu sendirian. Sehinggalah apa yang berlaku pagi tadi sedikit menganggu jiwa "keAbian" aku.

Bimbang juga kalau-kalau pemikiran anak kecilku yang baru hendak menjangkau 4 tahun pada 8 Disember 2009 ini telah "terkeliru" walaupun sedikit. Sama ada ia kebetulan atau hanya sekadar mainan minda kecilnya, sebagai bapa kebimbangan tetap ada. Dan ia wajib diperbetulkan "segera".

Aku mula risau jika minda mentahnya itu mula menilai "kemulian", "kehebatan" dan "keagongan" sesuatu itu berdasarkan faktor luaran semata. Kecil dan besar untuk melihat ke"gah"annya. Cantik dan hodoh sesedap pandangan mata. Sudah tentunya tidak seratus peratus akan betulnya. Mungkin ada "sedikit" betulnya perpatah orang putih yang aku terjemahkan begini " Jangan menilai buku dari kulitnya". Tapi pada aku perpatah di atas "tidaklah betul sangat" dalam semua keadaan. Mana ada orang ingin membeli timbikai susu  yang "koyak rabak" kulit mulusnya. Sudah tentu akan memilih yang licin-licin sahaja.

Aku juga percaya dalam memilih pasangan hidup pun begitu. Pandangan pertama selalunya pada "keindahan" luaran terlebih dahulu walaupun agama mengatakan pilihlah yang beragama nescaya selamatlah "tangan" engkau. Sekadar beberapa contoh. Pandangan peribadi cuma.

Berbalik kepada cerita Along tadi. Sebagai Abi aku benar-benar berharap bahawa Along sebenarnya "tidak sengaja" membuat perbandingan tersebut. Harap-harap minda kecilnya bukan tercemar dengan keduniaan yang menyilaukan. Sekadar lahir dari "perasaan keinginan" anak kecil yang masih tulus dan suci. Menghargai "keta" besor Abi "anugerah" milik Allah Yang Maha Esa.

Setidak-tidaknya peristiwa kecil itu mengajar aku supaya lebih waspada dalam mendidik anak-anak dalam dunia yang semakin mencabar. Kita orang kecil sayang. Hidup hanya dengan rahmat Tuhan yang masih berpanjangan.

Malam tadi sebelum tidur aku menguji Along dengan dialog di bawah ;

"Along sayang Abi ke Umi" tanyaku sekadar ingin menduga.

" Sayang Abi, sayang Umi, sayang adik Rajin(Razin)" setulusnya jawab Along.

Hatiku cukup lega. Rupa-rupanya minda kecil Along masih belum tercemar sebenarnya. Dia tidak pernah pun  membezakan kasih sayang kami walaupun keta Umi kecik dan keta Abi besor. Syukurlah.

Mudah-mudahan suatu hari Along mengerti bahawa tiada beza "keta kecik" atau "keta besor". Hidup dalam kasih sayang dan rahmat Tuhan adalah segalanya.


Razak Nordin berpesan ; Semoga diri ini semakin mengerti erti menjadi seorang "Abi" dalam membesar dan mendidik anak-anak yang penuh cabaran ini

No comments: