Kalaulah saya "seorang ultraman", mungkin ketika ini lampu amaran di dada saya sudah mula mengeluarkan tanda amaran yang bertalu-talu sedangkan raksasa masih gagah untuk dilawan. "Power" mesti ditambah segera kalau tidak ingin melihat "Hiroshima dan Nagasaki" musnah diamuk raksasa yang ganas itu.
Entahlah apa puncanya.
Saya merasainya sendiri bahawa "Semangat perjuangan harmoni" saya selama ini bukan sahaja setakat pudar warnanya tetapi mungkin sampai ke peringkat "hidup" tanpa warna.
Hijau pun bukan.
Kuning pun bukan.
Merah pun bukan.
Putih pun bukan.
Ungu pun bukan.
Hitam pun bukan.
Kelabu pun bukan.
Oren pun bukan.
Biru lagi bukan.
Tanpa warna yang tiada berwarna.
Sesi Pengajian Januari 2010.
Kalau mengikut takwim akademiknya, minggu kuliahnya hanya tinggal kurang lebih empat minggu sahaja lagi. Pejam celik, pejam celik habislah kata orang. "Sepantas" itu ia akan berakhir.
Tapi empat minggu yang pejam celik, pejam celik yang "akan habis itu" terasa lambat benar ia akan bernoktah.
Kata orang, terasa benar cepatnya masa berlalu apabila kita sedang meniti bahagia. Bila ada rasa "selamat dan senang" mula menyapa dan singgah di jiwa. Belum puas menikmat bahagia, waktu berpisah sudah pun tiba. Anak-anak muda dan juga "anak-anak tua" yang tengah hangat bercinta mungkin lebih memahami maksud ayat-ayat di atas, kerana mungkin mereka selalu mengalaminya. Bertemu seakan tidak mahu berpisah. Bersembang di telefon sampai "panas-panas" cuping telinganya. Yang dekat, dilambat-lambat sampainya. Yang jauh terasa cepat benar sampainya pula. Bertemu, bersama dan tidak mahu berpisah lagi. Abadi dan selamanya. Hanya takdir mampu memisahkan.
Itu kalau meniti bahagia. Bagaimana pula jiwa ada rasa "sengsara dan derita".
Terasa lambatnya masa berlalu. Lalu lahirlah kata-kata pujangga "Penantian itu satu penyeksaan", "Sepi itu indah" dan entah apa-apa madah pujangga lagi. Yang sekejap terasa lambat benar akan berakhir. Yang "panjang" masanya sungguh menyesakkan dada, menegang urat di leher serta menyakit dan memeningkan kepala juga. Semuanya terasa hambar dan lawak jenaka yang tidak lagi melahirkan gelak tawa.
Barangkali inilah resamnya manusia.
Antara "tinggi dan rendah" yang adakalanya silih berganti. Suka bersilih duka. Duka bersilih gembira. Ceria bersilih hiba. Semangat bersilih lemah. Dan bermacam-macam silih lagi. Ia datang dan pergi dan sentiasa bertukar ganti.
Alhamdulillah.
Saya mungkin masih bernasib baik daripada "terus hancur" ditelan "kehampaan" yang tidak pernah diundang itu. Masih ada sekelumit Iman yang "memberitahu" nurani saya tentang pahala dan dosa. Tentang syurga dan neraka. Tentang halal dan haram rezeki untuk diri sendiri, isteri, anak-anak mahupun kaum famili. Tentang amanah, tanggungjawab dan pertanggungjawaban di akhirat nanti. Tentang tiada halalnya sekawah gulai daging lembu walaupun hanya dicampurkan dengan sekilo daging babi semasa memasaknya.
Dan dengan sedikit kekuatan yang masih ada itulah insyaallah akan saya gunakan bagi menghabiskan sisa-sisa "pejam-celik, pejam celik" yang masih berbaki itu. Mudah-mudahan tiada yang rugi dan rosak kerananya. Diri sendiri. Agama yang saya anuti. Dan pelajar-pelajar yang di bawah kelolaan saya. Dan biarlah "kehilangan dan tiada warna" ini hanyalah sementara sahaja. Insyaallah. Ameen
Razak Nordin berpesan ; Hilangkah semangat perjuangan harmoni itu?
No comments:
Post a Comment