Alhamdulillah.
Setelah menukar "pain killer" terbaru, gigi geraham yang sakitnya "datang dan pergi" dalam tempoh seminggu ini "bertenang" seketika. Sebolehnya dan sedapat mungkin saya ingin mengelak dari menelan "pain killer". Merbahaya kata orang jika diamalkan selalu. Tetapi apakan daya. Sakitnya gigi bukan sakit yang sebarangan. Hanya jauhari yang mengenal manikamnya. Sakit yang payah hendak ditafsirkan dengan kata-kata. Sesiapa yang pernah merasai, tentu faham apa yang saya maksudkan.
Jadinya.
Kerana sebatang gigi yang sakit, banyak kerja terbengkalai dalam sehari dua ini. Dan hari ini sakitnya telah mencecah di tahap "gaban". "Pain Killer" berwarna biru nampaknya kurang berkesan setelah di cuba beberapa kali. Dan apabila kesabaran sudah mencapai tahap yang tidak dikawal lagi. Terpaksalah saya mencari ikhtiar baru iaitu mencari "pain killer" yang lebih "power" untuk meredakan kesakitan buat sementara waktu setidak-tidaknya, sebelum ia diberikan ubat yang paling mujarab untuk "membuang" kesakitan itu iaitu mencabutnya. Dan alhamdulillah dengan izin Allah s.w.t jua, kesakitan itu reda seketika. Harap-harap redanya berpanjangan dan gigi tersebut tidak perlu dicabut lagi.
Keegoaan.
Patutkah manusia miliki keegoan lagi seandainya kerana sakitnya sebatang gigi, derita sakitnya hanya Allah s.w.t. yang Maha Mengetahui. Mengganggu sebahagian besar kelancaran hidup seharian dan semalamannya juga.
Duduk tidak kena.
Berdiri pun tidak kena.
Baring pun tidak kena.
Berjalan pun tidak kena.
Semuanya serba tidak kena.
Senang cakap.
Bila sakitnya gigi, "kegembiraan" kehidupan dalam banyak perkara akan terhenti seketika. Segala senyuman hilang di wajah. Yang berganti hanya kerutan di wajah menahan denyutan yang menghubung sampai ke otak.
Kisah Raja Namrud Dan Seekor Nyamuk.
Sehebatnya mana pun kita hari ini.
Sebesar mana pun pangkat kita hari ini.
"Seberkuasa" mana pun kita hari ini.
Kebesaran dan kekebalan apa pun yang kita ada hari ini.
Dan segala macam lagi "ketinggian" di dunia ini hari ini kita "miliki".
Barangkali Raja Namrud lebih "tinggi" dari "kita-kita" semua jika perbandingan kehebatan dunia yang dimilikkan sementara oleh Allah s.w.t untuk menguji hamba-hambanya dijadikan sebagai ukurannya.
Sama ada semua itu menambah keimanan atau sebaliknya menambah perderhakaan dan kelaknatan kepada Allah s.w.t.
"Hebatnya" Raja Namrud sehinggakan namanya disebut di dalam Al Quran, Taurat, Injil dan kisah-kisah Islam. Sengaja Allah s.w.t "nukilkan" untuk manusia sebagai suatu pengajaran dan suri tauladan untuk sesiapa yang mempunyai akal dan mahu berfikir dengannya.
Dan sehebat-hebat Raja Namrud. "Kemusnahannya" hanyalah kerana seekor serangga sekecil nyamuk sahaja, tentunya dengan kehendak Allah s.w.t. jua. Dan semua itu tidaklah Allah s.w.t menjadikannya hanyalah sia-sia sahaja.
Ingatlah.
Bahawa pengajaran itu diambil dari lafaz yang umum bukannya dari sesuatu sebab yang khusus. Terjadi kepada Raja Namrud, tetapi pengajaran dan iktibarnya untuk semua manusia. Dulu, kini dan selamanya selagi ada manusia yang masih melata di permukaan bumi ini.
Sesungguhnya.
"Takutnya" melihat "keceluparan" yang makin membiak dalam masyarakat kita hari ini. Sama ada dalam bentuk percakapan dan tulisan juga. Seolah-olah hidup ini tiada pengakhiran dan tiada akhirat selepas berakhirnya dunia ini untuk "sebuah" pembalasan. Dan bertambah-tambah lagi takutnya apabila Allah s.w.t menegaskan bahawa apabila ditakdirkan datangnya bala Allah s.w.t kepada manusia, bala itu tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim di kalangan kamu. Bahkan akan menimpa seluruh penghuni qaryahnya tanpa terkecuali.
Minta dijauhkan Allah s.w.t. hendaknya.
Dan semuanya itu "tidak cukup" dengan sekadar berharap. Jangan sampai terantuk, baru tersentak oleh sakitnya itu.
Dan jangan pula sampai terlewat yang menyebabkan "kita" terus "ditinggalkan dan dilupakan".
Razak Nordin berpesan ; Allah s.w.t. Maha Mengetahui.
No comments:
Post a Comment