Pagi tadi.
Si Razin terjatuh dari tangga kuarters kerana mengejar Abinya yang ingin ke pejabat. Sayalah tu. Entah macam mana pagi tadi Si Razin nangis-nangis ingin mengikut saya pergi "kerja dengan arahan" sempena persiapan majlis konvokesyen PTSS pada esok hari (untuk makluman pembaca selain dari warga PTSS).
Si Uminya yang kesian "barangkali terlepas" Si Razin menuruni tangga yang tidak berapa tinggi itu tergopoh-gapah takut-takut ditinggalkan oleh saya.
Tiba-tiba.
"Gedegung". Bunyinya macam kelapa selepas dikupas jatuh atas simen bunyinya. Serentak itu tangisan "kuat" memecah keheningan pagi tadi.
Spontan.
Saya berkejaran dengan kerisauan. Dan telah ditakdirkan kepala Si Bongsu keladi saya "sedikit pecah" dan mengeluarkan darah yang bukan sedikit jika dibandingkan dengan kepala kecilnya. Cukuplah untuk membasahkan sebahagian tuala sederhana besar dan sebahagian baju isteri saya.
"Kesibukan tugas" hanya mengizinkan saya membawanya ke klinik selepas waktu pejabat kurang lebih pukul 5.30 petang lebih sedikit.
Antara tugas dan kepala anak yang "sedikit pecah". Saya memilih untuk melangsaikan tugas terlebih dahulu.
Adakah saya betul dalam membuat keputusan? Entahlah. Malam ini barulah saya berfikir lebih panjang. Siang tadi tidak sepanjang malam ini fikirnya.
Maafkan Abi Si Bongsu keladi. Sekiranya Abi silap membuat keputusan.
Alhamdulillah.
Semuanya selamat dan baik-baik sahaja insyaallah. Hanya tampalan tanpa jahitan. Sudah tertutup "lubang" lukanya mungkin kerana minyak-minyak yang telah dilumurkan, kata doktor.
Kakak. Bila Fukuchan Mula Mendidiknya.
"Kakak nak lari dari rumah tidur rumah oranglah", begitulah kurang lebih kata-kata anak sulung saya yang baru berumur 5 tahun tengahari tadi. Entahlah sama ada dia faham atau tidak dengan kata-katanya itu.
"Kenapa kakak kata begitu, siapa yang ajar kakak ni" tanya isteri saya cuba membuat provokasi.
"Fukuchan yang ajar", jawabnya seringkas itu tanpa memberitahu pun sebab-sebab kenapa ia ingin lari dari rumah.
Dan saya cuba memprovokasinya lagi untuk mempastikan kesahannya setelah diceritakan oleh isteri tengahari tadi. Jawapannya hampir sama. Sahlah. Fukuchan mula "mendidiknya".
Sedikit-sedikit ia bermain di fikiran saya.
Salah siapa ye? Saya atau Fukuchan.
Kerana saya "membelikanya" dekoder astro serta membayar bilnya setiap bulan.
Cumanya.
Dari sudut positif. Saya sedang menantikan kartun-kartun yang "berjenama" Islam masuk ke siaran astro untuk mendidik anak-anak saya yang ada sekarang dan ramai lagi yang akan lahir selepas ini Insyaallah. Saya hanya mampu menanti kerana saya tiada kemampuan untuk menghasilkannya.
Mungkin team Upin dan Ipin ada jalan keluarnya. Itulah yang saya harapkan.
Razak Nordin berpesan ; Bingung juga adakalanya.
No comments:
Post a Comment