Pagi ini.
Dalam keadaan yang amat "putus angin", saya membelek-belek buku La Tahzan Jilid 1 oleh Dr. 'Aidh Bin Abdullah AL-Qarni Edisi Eksklusif yang telah diterjemahkan oleh Mohd. Sofwan Amrullah. Dan saya terjumpa satu topik dari banyak-banyak topik yang ada untuk dikongsikan dengan sesiapa sahaja yang belum pernah membaca buku ini. Saya memilihnya, kerana ia dapat mengembalikan sedikit "angin" saya yang telah terputus itu.
BAGAIMANA BERDEPAN DENGAN KRITIKAN
Allah Yang Maha Mencipta dan Pemberi Rezeki Yang Maha Mulia, sering mendapat cacian dan cercaan dari orang-orang bodoh yang tidak beraqal dan tidak tahu diri. Sebab itu, anda dan kita semua adalah manusia yang selalu terlanjur dan salah. Dalam hidup ini, terutama jika anda seseorang yang sentiasa memberi, mengelokkan, mempengaruhi dan berusaha membina maka anda biasanya menerima kritikan-kritikan yang pedas dan pahit. Mungkin pula, sesekali anda akan mendapat cemuhan dan hinaan dari orang lain.
Mereka tidak akan diam dari mengkritik anda sebelum anda masuk ke dalam tanah, menaiki tangga ke langit dan berpisah dengan mereka. Sekiranya anda masih berada di tengah-tengah mereka maka akan tetap ada perbuatan mereka yang membuat anda bersedih hati dan menitiskan air mata, atau membuat tidur seseorang gersang.
Ketahuilah bahawa orang yang duduk di atas tanah tidak akan jatuh dan manusia tidak akan menendang anjing yang sudah mati. Kalau mereka marah dan kesal kepada anda adalah kerana mungkin anda mengatasi mereka dalam hal kebaikan, keilmuan, tingkah-laku, atau harta. Pendek kata, anda pada pandangan mereka adalah orang berdosa yang tidak diampunkan hingga anda melepaskan semua anugerah dan nikmat Allah yang ada pada diri anda atau hingga anda meninggalkan semu sifat terpuji dan nilai-nilai mulia yang selama ini anda pegang teguh. Dan menjadi orang yang bodoh, dungu dan jahil adalah yang mereka inginkan dari diri anda.
Sebab itu, berwaspadalah terhadap apa yang mereka katakan; kuatkan jiwa untuk mendengar kritikan, cemuhan dan hinaan mereka. Bersikaplah bagai batu batan; tetap kukuh berdiri sekalipun diterpa ketulan-ketulan salji setiap saat dan ia bahkan bertambah kukuh kerananya. Dengan kata lain, jika ada terasa terusik dan terpengaruh dengan kritikan atau cemuhan mereka, bermakna anda sudah meluluskan keinginan mereka untuk mengotori dan mencemarkan hidup anda. Walhal, yang terbaik adalah menjawab dan membalas kritikan mereka dengan menunjukkan akhlak yang baik. Lupakan sahaja mereka dan jangan sekali-kali merasa tertekan dengan setiap usaha mereka untuk menjatuhkan anda, kerana kritikan mereka yang menyakitkan itu pada hakikatnya merupakan pujian dan ungkapan penghotmatan untuk anda. Bertambah tinggi darjat dan kedudukan yang anda duduki maka akan bertambah pedas pula kritikan yang datang.
"KETAHUILAH BAHAWA ORANG YANG DUDUK DI ATAS TANAH TIDAK AKAN JATUH DAN TIDAK ADA ORANG YANG AKAN MENENDANG ANJING YANG SUDAH MATI."
Bagaimanapun, anda akan sukar untuk mendiamkan mulut mereka dan menahan gerakan lidah mereka. Yang anda mampu adalah hanya mengubur dalam-dalam setiap kritikan mereka, mengetepikan tingkah laku mereka pada anda dan cukup membalas setiap perkataan mereka sebagaimana yang disuruh oleh Allah :
"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu'." (Surah Ali Imran : 119)
Bahkan anda juga dapat memasukkan cebisan-cebisan daging ke mulut mereka supaya diam seribu bahasa dengan cara membanyakkan keutamaan, mengelokkan akhlak dan memperbetulkan setiap kesalahan anda. Dan jika anda ingin diterima oleh semua pihak, disukai semua orang dan terhindar dari cela, bermakna anda sudah menyukai sesuatu yang mustahil berlaku dan mengharapkan sesuatu yang terlalu jauh untuk dicapai.
Dan jika anda mendapat limau nipis yang masam dan tidak tahu apa yang ingin "dibuat" dengannya. Saya cadangkan kepada anda ; BUATLAH MINUMAN YANG SEDAP DARI LIMAU NIPIS YANG MASAM itu
Razak Nordin berpesan ; Cukuplah untuk kali ini.
No comments:
Post a Comment