Wednesday, April 21, 2010

Renungan Buat Pengguna Kad Kredit.

Tulisan ini tanpa prajudis.

Semata-mata untuk dijadikan iktibar dan ingatan tambahan untuk semua pengguna kad kredit seperti diri saya juga.

Jika anda terpaksa juga menggunakan kad kredit atas apa sebab sekalipun.
Beringatlah.
Iktibar dan ingatan saya mudah dan ringkas sahaja.

Jangan sesekali terlewat membayar ansuran kad kredit walaupun hanya sehari. Usahakan sedapat mungkin supaya pembayarannya dapat diselesaikan sebelum tarikh sebenar berakhir. Ini adalah kerana, sekiranya anda terlewat walau hanya sehari sekalipun anda akan dikenakan Caj Ganti Rugi Kelewatan Pembayaran(Ta'widh). Saya perasan tentang perkara ini. Cuma sedikit kelalaian terlewat membayar selepas sehari melepasi tarikh akhirnya, menyebabkan saya dikenakan Ta'widh sebanyak RM 17.21.

Contoh Bil Sebenar. Bukan sekadar hiasan.

Rujukan nombor yang telah dibulatkan.
1. Tarikh akhir pembayaran sepatutnya pada 05 April 2010.
2. Pembayaran dibuat pada tengahari 06 April 2010.
3. Ta'widh dicatatkan  pada 07 April 2010.
4. Jumlah ta'widh yang dikenakan : RM 17.21

Ta'widh akan dikenakan sebanyak 1% ke atas jumlah baki semasa atau minima RM 5.00 yang mana lebih tinggi sekiranya tiada pembayaran dibuat selepas tarikh akhir pembayaran atau pembayaran yang dibuat kurang daripada 5% bayaran minima. Jumlah maksima Ta'widh adalah RM 50.00. (Sumber : Dari bahagian belakang bil yang dikepilkan)

Walaupun RM 17.21 "tidaklah banyak" tetapi banyaklah juga. Kiranya "lepaslah" empat kali makan  tengahari bagi seorang makan di kedai pokok getah di hadapan kampus utama Unimap di Ulu Pauh, Arau,Perlis.  Paling tidak pun, lepaslah juga untuk dua kali makan tengahari bagi seorang makan jika kedainya lebih "standard" lagi, yang harga makanan pun tentunya "standard"lah juga. Walaupun rasa makanannya belum tentu ada "standard"nya.

Itupun tidak termasuk "Profit Charge" yang mesti dibayar tiap-tiap bulan selagi ada baki hutangnya. Dan untuk bulan ini "Profit Charge" yang saya terpaksa bayar adalah sebanyak RM 20.36. Ertinya untuk bulanan ini sahaja, saya mesti membayar "saja-saja" atas penggunaan satu kad kredit  adalah sebanyak RM 37.57.

Lagi banyak baki terhutang, maka lagi banyaklah "profit charge" bulanannya. Saya penuh yakin bahawa semua pemegang kad kredit sudah mengetahui perkara ini walaupun saya tidak menulisnya di sini. Mungkin berguna sebagai "makluman" kepada sesiapa sahaja yang sedang bercadang-cadang untuk memiliki kad kredit. Dengan itu, maka lagi banyaklah bayaran yang "saja-saja" itu terpaksa kita lakukan selama bertahun-tahun lamanya itu.

Dan betapa banyaknya bayaran yang "saja-saja" telah kita langsaikan demi "memenuhi" tuntutan hidup di akhir zaman ini.

Akhirnya.
Antara keperluan dan kemahuan memiliki kad kredit. Pilihlah mana yang terbaik untuk kita semua. Kerana kesan "baik buruknya" kita juga yang akan tanggung semuanya.

Selamat membuat pilihan bijak untuk hidup yang lebih harmoni tanpa hutang yang "tidak disedari" itu.

Razak Nordin berpesan ; Tersedar selepas terantuk ada baiknya juga daripada tidak tersedar langsung walaupun sudah acapkali terantuk dan terseradung.

No comments: