Sunday, January 31, 2010

Wad D4. Empat Cerita. Satu Keinsafan

Lokasi
Wad D4, Hospital Taiping Perak.

Tarikh
21 Januari 2010 @ 5.00 hingga 7.00 petang.

Katil 1
"Riuh rendah" dengan kunjungan dan ziarahan isteri, anak-anak, cucu-cucu, sahabat handai, rakan taulan dan dua orang menantu. Seorang menantu lelaki dan seorang perempuan. Dan satu-satunya menantu lelaki itu adalah saya. Semuanya nampak ceria setelah masing-masing "terkejut bukan sedikit" apabila bapa mertuaku dimasukkan ke wad Hospital Taiping pada tengahari 21 Januari lalu "secara mengejut" kerana tiba-tiba bacaan kadar gula dalam darahnya mencapai angka 23. Syukurlah semuanya selamat dengan rahmat Ilahi.

Katil 2
Dari celah langsir yang sedikit terbuka, saya melihat seorang bapa yang sudah terlalu tua berseorangan dengan wayar dimasukkan ke hidung. Mungkin antara sedar atau tidak, matanya hanya mampu melihat ke atas. Entah apa yang direnungnya. Mungkin syiling, mungkin kipas yang sedang ligat berpusing atau mungkin hanya pandangan kosong. Di atas meja sebelahnya saya "terpandang" lampin untuk orang dewasa yang mungkin disediakan untuk kegunaannya jika diperlukan.

Katil 3
Seorang isteri tua setia menemani sang suami yang terlantar dipembaringan. Sudah berapa lama saya pun tidak pasti. Sesekali pandangan sayunya beralih ke arah kami. Tanpa sebarang kata. Sesekali juga terdengar batuk-batuk dari si suami yang sedang terlantar itu. Dan ibu tua itu cepat-cepat mengurut-ngurut dada si suami dengan penuh rasa kasih dan sayang. Bila sampai masa makan, disuapkan si suami dengan penuh sabar. Dikutipnya nasi-nasi yang berterabur di birai bibir dan yang tertumpah di sisinya.

Katil 4
Seorang anak remaja baru sahaja mengambil alih tugasan ibu untuk menjaga bapa yang sakit. Tanpa suara. Tiada perbualan. Hanya kesunyian. Si bapa terbaring di katil dan si anak termanggu di birai katil. Mungkin mendoakan supaya si ayah akan cepat sembuh. Sesekali matanya memandang ke arah kami tanpa kata-kata juga.

Hakikatnya.

Saya tidak mampu untuk "membaca" apa yang sedang berlegar dalam ke semua watak yang saya tuliskan dalam cerita atas.

Tetapi.

Dari "kedekatan" itu, saya memandang penuh kesayuan melalui mata-mata mereka dengan perasaan yang bercampur baur. Bercampur antara rasa terharu, sedih, pilu dan pelbagai macam rasa yang tidak mampu saya coretkan dalam bentuk tulisan dan kata-kata. Tapi ia membenam jauh di lubuk hati ini. Segalanya.

Yang mungkin saya coretkan hanyalah berat pada pandangan mata, bukan berat pada bahu yang memikulnya.

Tentang ujian Allah s.w.t untuk sesiapa sahaja dengan umur tua dan sakit yang sungguh menguji keimanan, ketakwaan dan tentunya kesabaran juga.

Tentang besarnya pengorbanan seorang isteri terhadap suami tercinta pada masa senang dan susah.

Tentang pengorbanan seorang anak remaja perempuan dalam menjaga ayah yang sedang sakit ketika rakan-rakan sebaya berseronok dengan dunia remaja masing-masing.

Tentang "sakitnya" menanggung sakit sedang dahulunya kitalah manusia perkasa yang melatar di bumi ini.

Tentang.... Segalanya.

Mampukah suatu hari nanti kita menghadapinya jika ia ditakdir untuk kita di suatu ketika yang entah bila itu?

Razak Nordin berpesan ; Masih adakah sebuah keinsafan buat manusia dengan sakit yang silih berganti antara manusia. Dan sesekali itu jugalah saya teramat rindukan arwah ibu. Saya benar-benar rindukan cinta dan kasih sayangnya.  Selama-lamanya.

Saturday, January 30, 2010

Sebelum Dan Selepas

Sejak "berkecimpung" secara "paksa rela" dalam Amalan 5S, antara perkataan popular yang selalu didengari ialah sebelum dan selepas. Cuma yang ingin saya "tunjukkan" di sini adalah sebelum dan selepas yang tiada kaitan dengan Amalan 5S pun.
Sebelum

Selepas

Razak Nordin berpesan ; Berubah tidak semestinya menjadi lebih baik. Mungkin seperti ini.

Wednesday, January 27, 2010

Lamunan Terhenti

"Sebahagian kecil nikmat hidup saya sebagai manusia telah ditarik oleh Allah s.w.t. setelah Dia  memberikannya kepada saya agak lama juga", kalau bolehlah saya menulisnya begitu.

Hikmahnya. Allah saja yang tahu.

Banyak kemungkinan. Dari persepsi saya sebagai manusia biasa. Melihat kelemahan diri.

Mungkin balasan atas dosa-dosa yang pernah saya lakukan sama ada secara sengaja atau tidak.
Mungkin atas kealpaan dan kelalaian saya dalam mensyukuri nikmat rezeki yang dikurniakan oleh Allah s.w.t.
Mungkin atas kealpaan saya sebagai hamba Allah s.w.t dalam mensyukuri pelbagai lagi nikmat Allah s.w.t yang semestinya tidak mampu untuk diperhitungkan walaupun air laut dijadikan tinta untuk menulisnya.

Dan kemungkinan-kemungkinan lain.

Tersimpan di sisi Allah Yang Maha Mengetahui.

Nikmat makan.

Rela atau terpaksa.

Saya terpaksa juga "meninggalkan" banyak makanan kegemaran saya untuk hidup yang lebih sihat dan "hidup lebih lama" di dunia ini. Bukan kemestian tetapi usaha dan tawakal adalah sesuatu yang diajar oleh agama untuk manusia termasuk saya.



Soalnya ;

Apabila wang yang dimiliki tidak lagi boleh digunakan untuk "membeli" sesuatu yang kita suka.

Apabila kekayaan yang dimiliki tidak lagi boleh "membeli" kesihatan, kebahagiaan dan kesejahteraan.

Apabila tilam yang empuk tidak lagi boleh memberikan tidur yang nyenyak.

Apabila harta benda, pangkat, kedudukan dan kemewahan yang dimiliki tidak lagi mampu untuk menyembuhkan penyakit yang dihadapi.

Apakah lagi yang "mesti terjadi"  untuk memberikan sebuah keinsafan kepada semua insan yang bergelar manusia. Tentunya saya juga.

Razak Nordin berpesan ; Tersedar dari lamunan setelah agak lama tenggelam di dalamnya.

Saturday, January 23, 2010

Berikan Makanan Yang Masin ; Saya Cuba

"Saya seronok dengan apa yang kamu semua tunjukkan hari ini, kamu masuk ke kelas sebelum saya masuk".

"Saya harap kamu semua bahagia bersama dengan saya dan saya pun turut bahagia juga bersama kamu sepanjang satu semester ini".

"Saya akan cuba buat yang terbaik tetapi belum tentu yang terbaik pada saya, terbaik juga pada anda semua".

"Saya juga mungkin tidak dapat "membahagiakan" semua kamu dalam kelas ini tetapi saya akan cuba membuatkan terbaik untuk "membahagiakan" kamu semua".

Itu antara ungkapan yang saya lontarkan semasa pertama kali memasuki kelas DSK 4, DTK 3 dan SKM 4A sesi Januari 2010 ini pada minggu lepas.

Dan tahniah untuk semua pelajar berkenaan kerana memberikan saya pandangan pertama yang agak baik dan "membahagiakan". Semoga imej baik itu akan berterusan hingga akhir semester ini.

Dan rutin seperti ini berlaku bagi setiap kelas pada setiap semester apabila saya memasuki mana-mana kelas yang saya kendalikan.

Kemestian.

Men"jelas"kan  siapa saya.

Apa yang saya suka dan apa yang saya tidak suka.

Peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi sepanjang satu semester bersama dengan saya.

Dan macam-macam lagi.

Kerana saya mengganggapnya ia seperti suatu perjalanan yang jauh dan banyak kesukaran yang mungkin timbul sepanjang perjalanan itu. Oleh itu bekalan perlu  disemak, dipersiapkan secukupnya supaya perjalanan yang jauh dan banyak kesukaran yang mungkin berlaku itu dapat berjalan dengan lancar hingga ke destinasi akhirnya.

Sesungguhnya perjalanan ini baru bermula. Masih ada 14 minggu atau 28 jam untuk dihabiskan. Tentunya ianya bukan suatu perjalanan yang senang dan mudah. Tentu ada onak dan duri juga walaupun persiapan secukupnya telah dibuat.

Dan saya mengakui bahawa bukan senang untuk menyuruh seseorang menyukai sesuatu yang tidak disukai.

Tetapi saya ada satu ungkapan untuk diri sendiri.

"Jika tidak mampu memaksa seseorang untuk minum air, berikan makanan yang masin untuknya. Lepas seketika dia memakan makanan yang masin itu, dia akan meminum air tanpa disuruh untuk kali kedua".

"Makanan yang masin"

Barangkalinya :

1. Kaedah dan teknik menyeronokkan dalam proses pembelajaran.
2. Mewujudkan suasana saling hormat menghormati.
3. Komunikasi dua hala yang kondusif.
4. Menyediakan Alat Bantu Mengajar(ABM) yang menarik.

Dan lain-lain "makanan yang masin".

Harapnya mereka semua akan "meminum air" tanpa saya suruh pun.

Untuk siapa?

Untuk "kesihatan" mereka juga.

Razak Nordin berpesan ; Jika tidak mampu memaksa seseorang untuk minum air, berikan makanan yang masin untuknya. Lepas seketika dia memakan makanan yang masin itu, dia akan meminum air tanpa disuruh untuk kali kedua.

Kerna Engkau Wanita

Suatu ketika, ada seorang anak lelaki yang bertanya kepada ibunya.

"Ibu, mengapa ibu menangis ?".

Ibunya menjawab, "Sebab aku wanita."

Saya tidak mengerti," kata si anak lagi.

 Ibunya hanya tersenyum dan memeluknya erat. "Nak, kamu memang tidak akan mengerti......"

Kemudian, anak itu bertanya kepada ayahnya. "Ayah,mengapa ibu menangis ?"

Sang ayah menjawab, "Semua wanita memang menangis tanpa ada alasan."

Hanya itu jawapan yang dapat diberikan oleh ayahnya. Lama kemudian, si anak itu menjadi remaja dan tetap bertanya-tanya, mengapa wanita menangis. Pada suatu malam, ia bermimpi dan mendapat petunjuk daripada Allah mengapa wanita mudah sekali menangis. Saat Allah menciptakan wanita, Dia membuat menjadi sangat penting. Allah ciptakan bahunya,agar mampu menahan seluruh beban dunia dan isinya. Walaupun, bahu itu cukup nyaman dan lembut untuk menahan kepala bayi yang sedang tidur.

Allah berikan wanita kekuatan untuk melahirkan zuriat dari rahimnya. Dan sering kali pula menerima cerca daripada anaknya sendiri. Allah berikan ketabahan yang membuatnya tetap bertahan, pantang menyerah di saat semua orang berputus asa.

Wanita, Allah berikan kesabaran, untuk merawat keluarganya walau letih, sakit, lelah dan tanpa berkeluh-kesah. Allah berikan wanita, perasaan peka dan kasih sayang untuk mencintai semua anaknya, dalam situasi apa pun. Biarpun anak-anaknya kerap melukai perasaan dan hatinya.

Perasaan ini memberikan kehangatan kepada anak-anaknya yang ingin tidur. Sentuhan lembutnya memberi keselesaan dan ketenangan. Dia berikan wanita kekuatan untuk membimbing suaminya, melalui masa kegentiran dan menjadi pelindung baginya. Bukankah tulang rusuk suami yang melindungi setiap hati dan jantung wanita ?

Allah kurniakan kepadanya kebijaksanaan untuk membolehkan wanita menilai tentang peranan kepada suaminya. Seringkali pula kebijaksanaan itu menguji kesetiaan yang diberikan kepada suami agar tetap saling melengkapi dan menyayangi.

Dan akhirnya, Allah berikannya airmata agar dapat mencurahkan perasaannya...

Inilah yang khusus Allah berikan kepada wanita, agar dapat digunakan di mana ia inginkan.

Hanya inilah kelemahan yang dimiliki wanita, walaupun sebenarnya,

airmata!

" Ini airmata kehidupan."

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Empat (macam manusia) tidak Allah s.w.t. masukkan mereka ke syurga dan tidak akan merasai kenikmatannya, peminum arak, pemakan riba, menzalimi (memakan) harta anak-anak yatim dengan tiada hak dan derhaka pada ibu bapanya"

Razak Nordin berpesan ; Dikutip dari simpanan peribadi tetapi lupa dipetik sumber asalnya. Mohon izin dari sumber asal dan pohon maaf atas kelupaan itu. Sedikit pengajaran jika ada untuk sedikit keinsafan juga hendaknya. Untuk aku, engkau dan dia.

Friday, January 22, 2010

Terus Terang Supaya Terang

"Assalamualaikum, Ustaz Rizki ke tu", suara pertama yang terdengar di hujung talian sebaik sahaja ustaz Rizki menekan butang hijau di telefon bimbitnya.

"Ya, saya, ya, saya", jawab ustaz Rizki tersekat-tersekat antara terkejut dan teruja apabila mendengar suara perempuan malam-malam begini.

Dalam hati " Mana dia dapat nombor telefon aku ni".

"Maaf ganggu ustaz malam-malam begini. Tapi saya dah tak boleh tahan dengan suami saya ni ustaz, kahwin dah lama tapi tak faham-faham atau sengaja tak nak faham. Malam ni juga saya nak cerita pada ustaz. Kalau tak, tak boleh tidur saya jadinya", dengan penuh semangat wanita itu bercerita tanpa dipinta oleh ustaz Rizki pun.

Dan apabila dia berhenti sebentar, cepat-cepat ustaz Rizki mencelah.

"Puan, kalau perkara yang berkait dengan rahsia hubungan suami isteri lebih baik puan rujuklah pihak yang  berwajib, maksud saya mahkamah syariah ke atau jabatan-jabatan yang berkaitanlah, takut-takut puan tercerita perkara-perkara yang tidak sepatutnya saya tahu", nasihat ustaz Rizki penuh berhemah.

Mana tahu. Dalam kemarahan dan keghairahan kadang-kala manusia akan hilang maruah dan harga diri. Menceritakan semua perkara walaupun ia mengaibkan asalkan hatinya puas.

"Bukan yang sulit-sulit ustaz, cuma yang biasa sahaja, boleh kan ustaz", sambung wanita itu seperti tidak sabar untuk bercerita lanjut.

Belum pun sempat ustaz Rizki menjawab pertanyaan tersebut, wanita itu terus menyambung ceritanya.

"Ustaz, kami ni pasangan suami isteri yang sama-sama bekerja. Selalunya bila makan malam saya masakkan untuk suami dan anak-anak. Tetapi sebagai manusia ada kalanya saya pun tak larat juga nak masak tiap-tiap malam", wanita tersebut memulakan cerita.

"Jadi apa masalahnya puan", ustaz Rizki semacam tidak sabar untuk mengetahui punca masalah,memberikan nasihat dan menyudahkan perbualan pada malam itu.

Panggilan dari seorang wanita yang tidak dikenali pada waktu malam walaupun berniat baik tetap menimbulkan syak dan wasangka. Sedaya upaya mengelakkan fitnah dan pada masa yang sama tidak melukakan hati sesiapa.

" Acapkali dah ustaz, bila balik dari kerja, saya cakaplah saya penat, tak larat nak masak. Mudah je dia jawab. Takperlah, abang minum kopi radix dengan roti dahlah, anak-anak biar abang buatkan Mee Segera untuk mereka".

" Oooo, jadi what is the problem", ustaz Rizki mula "memperkosa" bahasa dengan merojakkannya.

"Dont make me speaks English", ungkapan yang agak popular sedikit masa lalu. Hanya monolog dalaman.

"Baguslah tu,  suami puan tolong masakkan untuk anak-anak dan makan apa yang ada untuk diri sendiri", ustaz Rizki cuba membuat kesimpulan ringkas.

"Bukan begitu ustaz, sebenarnya bila saya kata saya penat dan tak larat nak masak, saya mengharapkan suami saya mempelawa dan membawa anak-anak makan kat luar. Ubah angin sekali sekala. Tapi suami saya tak faham ustaz, dah acapkali sangat ustaz. ", wanita itu cuba membetulkan maksud disebalik cerita tersebut.

"Kenapa puan tak cakap direct je, tak payah kias-kias dah. Lagi pun perkara ni dah berlaku acapkali dan suami puan tak faham-faham pun. Dan puan tak boleh mengharapkan semua orang akan faham dengan bahasa kiasan puan. Mana yang payah nak faham tu cakap direct je, mudah-mudahan suami puan fahamlah tu", tegas ustaz Rizki dan mengharapkan jawapan itu akan menepati persoalan yang telah ditimbulkan.

"Puan dah pernah ajak suami makan kat luar bersama dengan anak-anak ke. Dan sudah berapa kali ajakan puan itu ditolak oleh suami", sambung ustaz Rizki.

"Tak pernah bagitau dan ajak pun ustaz. Yang saya tahu hanya merajuk je ustaz dan suami saya pun tak pernah tahu pun kenapa saya merajuk", kata puan itu sejujurnya.

"Inilah salah perkara  yang banyak berlaku dalam rumahtangga dalam kes-kes yang selalu saya jumpa,  kegagalan dalam komunikasi langsung dan terlalu banyak berkias-kias",

"Mulai hari ini, saya cadangkan puan mula mempraktikkan komunikasi langsung. Mudah-mudahan puan berjaya dengan pertolongan Allah, Insyaallah. Jika ada sebarang kemusyhkilan lepas ni dan puan perlu berbicara lagi dengan saya, bolehlah puan panjangkan ke email saya ajaknordin@yahoo.com atau jumpa di facebook. Addlah nama saya.

"Lupa nak tanya, siapa nama puan sebenarnya",

"Saya puan Z dari Kodiang, Kedah", jawabnya ringkas.

"Ooo tak jauhlah dari Pauh Ulu, Assalamulaikum", ustaz Rizki menyudahkan perbualan malam itu

"Waalaikumussalam", sayu suara dihujung talian.

Razak Nordin berpesan ;  Mudah-mudahan puan Z berjaya. Sama-sama kita doakan.

Wednesday, January 20, 2010

"Dari" Manusia Untuk Manusia.


Artikel yang dijumpai secara tidak sengaja.
Mukaddimah.

Untuk memulakan perubahan memang mengambil masa. Lazimnya otak memerlukan kira-kira 14 hingga 21 hari untuk tindak tanduk ulangan supaya ia betul-betul meresap dalam diri sebagai amalan harian.

Lima amalan harian yang dicadangkan untuk panjangkan usia. Ikhtiar manusia. Ketentuan tetap ditangan Ilahi.

Rujuk nombor-nombor yang telah saya bulatkan.

1. Pastikan anda makan lima sajian bersaiz kecil setiap hari.
2. Menukar tabiat menaiki lif dengan menaiki tangga.
3. Ketawa dan bergembiralah.
4. Pastikan minum lapan gelas air setiap hari.
5. Menambah amal ibadah bagi umat Islam dan bermeditasi bagi yang bukan Islam.

Mungkin dengan mengamalkan lima amalan ini akan mengubah diri anda menjadi seorang yang lebih berkualiti di muka bumi ini. Cubalah dan jangan bertangguh untuk setiap yang baik. Untuk saya dan sesiapa yang sudi menerimanya.
Rujukan lanjut ; MEGA MODE Utusan Malaysia. Selasa 19 Januari 2010. halaman 6.

Razak Nordin berpesan ; "Dari" manusia untuk manusia. Tentunya tidak sempurna dan "pasti jadi".

Pasir Dan Batu

Dialog 1-Hari Pertama

"Dah tau orang  ada kerja, balik lambat juga, saja ", bebel Tijah pada suaminya yang baru balik dari kerja petang itu.

Si Suami diam seribu bahasa. Teorinya mudah. Adakalanya diam itu lebih baik dari berkata-kata. Semuanya tanpa kata-kata sampai pagi. Malam yang dingin menjadi separa hangat. Tiada pelukan, tiada ciuman dan "tiada yang selepas daripada itu". Malam separa hangat yang menjadi sia-sia tanpa ubat tidur semulajadinya. Dan setakat ini, teori itu masih boleh dipakai demi sebuah kerukunan rumahtangga.

Dialog 2-Hari Kedua.

"Ha, boleh pulok balik awal, saja je semalam balik lambat" sekali lagi Tijah membebel apabila suami balik awal dari semalam.

 "Ish, balik lambat pun marah, balik awal pun kena marah, dah tu mana satu yang betul ni", si suami bermonolog dalam diri.

Suaminya masih membisu. Kali ini beribu-ribu bahasa. Menguruskan diri apa yang patut. Selesaikan mana yang perlu.

Dan sebelum tidur malam itu, si suami mengumpulkan anak-anak yang tengah membesar seramai 4 orang itu untuk sama-sama menghayati sebuah persembahan powerpoint yang telah dia sediakan semasa rehat pejabat tengahari tadi. Dengan nada yang agak lembut dan perlahan si bapa menuturkan. "Sama-sama kita saksikan dan hayati anak-anak", sambil tangannya membuka laptop yang telah sedia dihidupkan itu.


 Slide Pertama

Tiba-tiba laptop "hang" dan persembahan powerpoint tidak dapat diteruskan.

Dan si bapa pula menjadi panglipurlara menggantikan laptop yang "hang" itu.

Sekali lagi diulangnya.

Dengarkan anak-anak kesayangan abah!!!

Tentang sebuah kisah

PASIR DAN BATU

Kisah ini menceritakan tentang dua sahabat yang berjalan melintasi gurun pasir. Ketika dalam perjalanan itu mereka mula bertengkar dan yang satu menampar pipi sahabatnya. Yang ditampar pipinya hatinya terluka, tapi tanpa berkata sepatah kata pun dia kemudian menulis di pasir :

HARI INI SAHABAT BAIKKU



MENAMPAR WAJAHKU"

Mereka meneruskan perjalanan sampai berjumpa sebuah oasis, di mana mereka memutuskan untuk berehat dan mandi.

Tetapi orang yang wajahnya ditampar, terjatuh di pasir jerlus dan mula tenggelam, tetapi sahabatnya berjaya menyelamatkannya. Setelah pulih keadaannya, dia mengukir kalimat di sebuah batu :

"HARI INI



SAHABAT BAIKKU



TELAH MENYELAMATKAN



HIDUPKU"

Orang yang telah menampar sahabatnya dan kemudian menolongnya, lalu bertanya :

Setelah aku menampar pipimu, kamu menulis di pasir dan sekarang kamu menulis di batu, kenapa begitu?"

Sahabat yang ditanya menjawab “Ketika seseorang menyakiti, kita harus menuliskannya di pasir supaya angin dapat memaafkan kita dengan meniupnya lenyap tanpa meninggalkan kesan”

"Tapi saat orang melakukan kebaikan untuk kita, kita harus mengukirnya di batu supaya tidak ada satu angin pun yang sanggup menghapuskan ingatan indah itu"

BELAJARLAH UNTUK MENULISKAN



KEPEDIHANMU DI PASIR



DAN MENGUKIR



PENGALAMAN BAIKMU DI BATU CADAS

Orang bijak berkata, kita memerlukan waktu satu minit untuk dapat menemukan seseorang yang istimewa, satu jam untuk kita menghargainya, satu hari untuk kita menyukai dan mengasihi.Tetapi memerlukan waktu seumur hidup untuk melupakannya.

Kirimkan pesan ini untuk orang yang tidak dapat engkau lupakan dan juga kepada orang yang telah mengirimnya padamu.

Ini adalah pesanan singkat untuk mengatakan bahawa kamu tidak akan pernah melupakan mereka.

Ciptakan waktu untuk kehidupan !

"Itu sahaja yang abah ingin sampaikan pada malam ini", kata si bapa setelah selesai berkongsi cerita.

Tiba-tiba salah seorang dari anak-anak tersebut bersuara ;

"Abah, kenapa abah ceritakan kisah ini pada kami semua", soalnya bersahaja. Inginkan kepastian.

Dengan tenang si bapa menjawab "Bekalan masa dewasamu dan adik-beradik yang lain juga. Nanti bila engkau dewasa, engkau akan mengerti. Jika ada kesempatan, ceritakan juga kisah ini pada ibumu juga".

Jika ibu bertanya kenapa? Khabarkan padanya baik-baik.

Khabarkan padanya bahawa sesekali abah juga teringat pesan Razak bin Nordin dalam blog pokok-kayu.blogspot.com. "Kalau kau menjadi aku, aku yakin kau akan mengerti".

"Dan jika engkau belum mengerti bila dewasa nanti, tanyakan semula pada abah. Bolehlah abah ceritakan simbolik di sebalik kisah ini. Dan jika anak-anak sudah mengerti, selamilah sedaya mungkin. Moga hidup anak-anak abah akan bahagia hendaknya".

Khabarkan juga pada ibu sekali lagi, antara pesan Razak bin Nordin ;

Razak Nordin berpesan ; Kalau kau menjadi aku, aku yakin kau akan mengerti.

Tuesday, January 19, 2010

Dari Email Ke Blog Pokok-Kayu

EMAIL SATU

Kebanyakan manusia meninggal dunia antara usia 60 tahun-70 tahun (majoriti). Puratanya manusia meninggal  65 th

“Baligh: Start untuk seseorang di perhitungkan amal baik atau buruknya selama hidup di dunia”

Laki-laki Baligh  15 tahun

Wanita Baligh  12 tahun

Usia Yang ada untuk kita beribadah kepada-Nya, puratanya:

Mati – Baligh = Baki Usia, :~ 65 - 15 = 50 tahun

12 jam siang hari

12 jam malam hari

24 jam satu hari satu malam

Gambaran kasarnya:

Mari kita muhasabah bersama………!

Waktu kita tidur  8 jam/hari ;

Dalam 50 tahun waktu yang habis dipakai tidur 18250 hari x 8 jam= 146000 jam= 16 tahun 7 bulan; dibulatkan jadi 17 tahun

Logiknya: Alangkah sayangnya waktu 17 tahun habis di gunakan untuk tidur, padahal kita akan tertidur dari dunia untuk selamanya……

Waktu aktiviti kita di siang hari  12 jam

Dalam 50 tahun waktu yang habis dipakai untuk aktiviti:

18250 hari x 12 jam= 219000 jam = 25 tahun

Aktiviti disiang hari: Ada yang bekerja, atau bercinta, ada yang belajar atau mengajar, ada yang sekolah atau kuliah, ada yang makan sambil jalan-jalan, dan banyak lagi.

Waktu rehat  4 jam

Dalam 50 tahun waktu yang dipakai untuk rehat 18250 hari x 4 jam= 73000 jam = 8 tahun

Rehat: menonton tv, atau mungkin dihabiskan termenung di buai khayalan……

17 tahun + 25 tahun + 8 tahun = 50 tahun

Lalu Bila Nak Beribadah???

Padahal Allah ada berfirman yang bermaksud; “Tidak KUciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKU”.

Maut datang menjemput tak pernah bersahut,

Malaikat datang menuntut untuk merenggut,

Manusia tak kuasa untuk berkata-kata,

Allah Maha Kuasa atas syurga dan Neraka,

Terimalah habuanmu seadanya..

Memang benar!!! Menuntut ilmu itu ibadah, kalau niatnya untuk ibadah, tetapi kebanyakannya belajar agar mudah mencari pekerjaan. Sekiranya belajar itu tidak membantu menambah pendapatan kita, kita tidak akan belajar…

Memang benar!!! Bekerja cari nafkah itu ibadah, tapi bekerja yang bagaimana? Ramai orang bekerja untuk hidup bermewah-mewahan dan amat kurang sedekahnya.

“ Jarang ada yang menolak untuk dipuji dan dipuja tatkala berjaya “

Lalu Bila Nak Beribadah???

Oh! mungkin solat 5 waktu itu dianggap sudah mencukupi…!

Karena kita fikir; solat wajib besar pahalanya, solat amalan pertama yang dihisab, solat jalan untuk membuka pintu syurga…

Benarkah solat kita itu mencukupi dan diterima !!?

Berapa banyak solat kita dalam 50 tahun???

1 solat =  10 minit ….. 5x solat =  1 jam

Dalam waktu 50 tahun waktu yang terpakai untuk solat = 18250 hari x I jam =18250 jam= 2 tahun

Kesimpulan: waktu yang kita manfaatkan dalam 50 tahun di dunia cuma 2 tahun untuk solat ( ini kalau yg solat 10minit! Kalau solat macam ayam patuk tanah..amacam? ) 2 tahun dari 50 tahun kesempatan kita….itupun belum tentu solat kita bermakna berpahala dan di terima.

Dan sekiranya pahala solat kita selama 2 tahun tidak sebanding dengan perbuatan dosa-dosa kita selama 50 tahun; dalam percakapan kita yang selalu dusta, baik yang sengaja ataupun tidak, dalam pertuturan kita yang sering mengguris orangtua kita, dalam harta kekayaan kita yang selalu kedekut terhadap orang faqir, dalam setiap perbuatan kita yang selalu bergelumang dosa…

Logiknya:

Bukan satu yang mustahil kita umat akhir zaman akan berhamburan di neraka untuk mendapatkan balasan kelalaian…………

Terlalu banyak masa yang terbuang percuma selama manusia hidup di dunia dan semuanya itu akan menjadi bencana…………

Penyelesaian:

Tiada kata terlambat walaupun waktu berlalu cepat, isilah ia dengan sesuatu yang bermanfaat!!!!!!!

Ingatlah negeri kita…Akhirat


EMAIL DUA

Orang kata aku lahir dari perut mak..

(bukan org kata...memang betul)

Bila dahaga, yang susukan aku.... mak

Bila lapar, yang suapkan aku.... mak

Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. .. mak

Kata mak, perkataan pertama yang aku sebut.... Mak

Bila bangun tidur, aku cari.... mak

Bila nangis, orang pertama yang datang .... mak

Bila nak bermanja, aku dekati.... mak

Bila nak bergesel, aku duduk sebelah.... mak

Bila sedih, yang boleh memujukku hanya.... mak

Bila nakal, yang memarahi aku.... mak

Bila merajuk, yang memujukku cuma.... mak

Bila melakukan kesalahan, yang paling cepat marah.... mak

Bila takut, yang tenangkan aku.... mak

Bila nak peluk, yang aku suka peluk.... mak

Aku selalu teringatkan .... mak

Bila sedih, aku mesti talipon.... mak

Bila seronok, orang pertama aku nak beritahu..... mak

Bila bengang.. aku suka luah pada.. mak

Bila takut, aku selalu panggil... "mmaaakkkk! "

Bila sakit, orang paling risau adalah.... mak

Bila nak exam, orang paling sibuk juga.... mak

Bila buat hal, yang marah aku dulu.... mak

Bila ada masalah, yang paling risau.... mak

Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. mak

Yang selalu masak makanan kegemaranku.... mak

Kalau balik ke kampung, yang selalu bekalkan ulam & lauk pauk..... mak

Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku.... mak

Yang selalu berleter kat aku... mak

Yang selalu puji aku.... mak

Yang selalu nasihat aku.... mak

Bila nak kahwin..Orang pertama aku tunjuk dan rujuk..... mak

Aku ada pasangan hidup sendiri....

Bila seronok, aku cari....pasanganku

Bila sedih, aku cari.... mak

Bila berjaya, aku ceritakan pada....pasanganku

Bila gagal, aku ceritakan pada.... mak

Bila bahagia, aku peluk erat....pasanganku

Bila berduka, aku peluk erat.... emakku

Bila nak bercuti, aku bawa....pasanganku

Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah.... mak

Bila sambut valentine.. Aku bagi hadiah pada pasanganku

Bila sambut hari ibu...aku cuma dapat ucapkan “Selamat Hari Ibu”

Selalu.. aku ingat pasanganku

Selalu.. mak ingat kat aku

Bila-bila... aku akan talipon pasanganku

Entah bila... aku nak talipon mak

Selalu...aku belikan hadiah untuk pasanganku

Entah bila... aku nak belikan hadiah untuk emak

Renungkan:

"Kalau kau sudah habis belajar dan berkerja... bolehkah kau kirim wang untuk mak?

Mak bukan nak banyak... lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah".

Berderai air mata jika kita mendengarnya........

Tapi kalau mak sudah tiada..... .....

MAKKKKK...RINDU MAK.... RINDU SANGAT....

Berapa ramai yang sanggup menyuapkan ibunya....

Berapa ramai yang sanggup mencuci muntah ibunya.....

Berapa ramai yang sanggup mengantikan lampin ibunya.....

Berapa ramai yang sanggup membersihkan najis ibunya.......

Berapa ramai yang sanggup membuang ulat dan membersihkan luka kudis ibunya....

Berapa ramai yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibunya.....

Dan akhir sekali berapa ramai yang sembahyang JENAZAH ibunya......

Seorang anak mendapatkan ibunya yang sedang sibuk menyediakan makan malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu. Si ibu segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas yang dihulurkan oleh si anak lalu membacanya.Kos upah membantu ibu:

1) Tolong pergi kedai : RM4.00

2) Tolong jaga adik : RM4..00

3) Tolong buang sampah : RM1.00

4) Tolong kemas bilik : RM2.00

5) Tolong siram bunga : RM3.00

6) Tolong sapu sampah : RM3.00

Jumlah : RM17.00

Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berlegar-legar si mindanya. Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis sesuatu di belakang kertas yang sama.

1) Kos mengandungkanmu selama 9 bulan - PERCUMA

2) Kos berjaga malam kerana menjagamu - PERCUMA

3) Kos air mata yang menitis keranamu - PERCUMA

4) Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu - PERCUMA

5) Kos menyediakan makan minum, pakaian, dan keperluanmu -PERCUMA

Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku - PERCUMA

Air mata si anak berlinang setelah membaca apa yang dituliskan oleh siibu. Si anak menatap wajah ibu,memeluknya dan berkata,

"Saya Sayangkan Ibu". Kemudian si anak mengambil pen dan menulis "Telah Dibayar" pada mukasurat yang sama ditulisnya.

Razak Nordin berpesan ; Sekadar perkongsian. Untuk sesiapa yang belum pernah menerima email ini. Sekadar ingatan kembali. Untuk sesiapa yang pernah menerima dan membaca email ini.

Saturday, January 16, 2010

Diam Tanda Setuju, Setuju Kerana Beberapa Sebab



"Ada ke dalam kelas ni yang bercinta sesama rakan sekelas", saya cuba mengusik pelajar-pelajar salah satu kelas yang pernah saya mengajar Semester Julai 2009 yang lepas. Dengan harapan meredakan sedikit ketegangan pembelajaran yang mungkin ada.

"Ada", jawab mereka seakan hampir serentak, sambil menyebut nama si "pakwenya" dan diikuti gelak tawa. Seronok ingin "mengenakan" kawan-kawan barangkali. "Pakwenya" pula hanya tersipu-sipu.

"Siapa wanita bertuah itu", saya terus "mengusik" dengan gaya benar-benar teruja ingin tahu.

"Hahahaha",mereka hanya ketawa tanpa menyebut siapa orangnya. Tetapi saya perasan ada mata-mata yang menjeling kepada seseorang.

Saya perasan.

Hampir semua pelajar perempuan ketawa kecuali seorang. Dan "seorang" itu pula "kebetulan" tertunduk diam dengan sedikit senyuman semacam malu-malu pada ketika semua kawan-kawan lain ketawa tanda seronok "mengenakan" rakan sekelas.

"Tahu dah, tahu dah", saya cuba meredakan usikan itu.

"Hahaha", mereka ketawa lagi.

"Kamu ni kalau bab-bab pekena orang bukan main seronok",  saya menambah.

Dan seperti biasa mereka ketawa lagi.

"Ok,ok, kita teruskan topik kita", saya menyudahkan usikan itu.

Betul atau silap telahan saya ketika itu entahlah. Saya hanya simpannya dalam diri tanpa memberitahu sesiapa pun ketika itu.

Teori saya ketika itu ; Diam tanda setuju.

Tunduk-tunduk dengan sedikit senyuman semacam malu-malu ketika rakan-rakan lain semuanya teruja ketawa adalah "ukuran" saya masa itu. Dan selepas itu saya telah buktikan bahawa teori saya adalah benar. Betullah dialah wanita bertuah itu. Bagaimana saya mencari jawapan bagi "membenarkan teori" tersebut rasanya tidak perlu dinyatakan di sini.

Begitulah dalam meniti kehidupan.

Diam tanda setuju boleh diterima umum dalam banyak perkara dan keadaan rasanya. Barangkali yang berbeza adalah :

Diam tanda setuju tersebut mungkin kerana sebab-sebab yang berbeza ;

Mungkin kerana ;

Akur arahan ketua.
Tidak suka "kecoh-kecoh".
Malu pada "seseorang".
Kerana tiada pilihan lain.
Untuk kebaikan masyarakat.
Untuk kebaikan institusi.
Untuk kebaikan agama.
Untuk kebaikan bangsa.
Untuk kebaikan negara.
Untuk mencari pengalaman baru.
Menjaga nama baik diri sendiri.
Untuk mengelakkan "kontroversi".
Jika tiada rotan, akar pun berguna juga.
Jika tiada gading bertuah, tanduk pun berguna juga.
Kerana "sakit hati" dan "geram" pada seseorang.
Tiada orang lain sudi untuk memegang orang amanah tersebut.
"Terpaksa atau dipaksa" menerima walaupun merasakan diri bukan yang terbaik.
Kerana memang kita "menghendakinya" cuma "malu-malu" ingin dinyatakan.

Razak Nordin berpesan Tidak kiralah alasan apapun. Jika terpaksa, tentunya dinding itu terpaksa juga diboloskan. Bersedia atau tidak, bolos saja dinding itu.

Friday, January 15, 2010

Bersedia Atau Tidak, Bolos Saja Dinding Itu.

Hidup adakalanya memang begitu.

Bersedia atau tidak. Suka atau terpaksa. Sesuatu yang "terjadi" tetap akan terjadi juga.

Bersedia atau tidak ; hingga ke hari ini :

Siang akan muncul jua sesudah malam walaupun ayam jantan berhenti berkokok "memanggil" matahari.
Malam akan muncul jua selepas siang walaupun anak-anak kecil masih belum pun puas bermain di laman rumah.
Maghrib akan menyusul jua selepas asar  walaupun sesetengah kita masih "ligat" di padang bola.
Tua akan tiba jua selepas dewasa walaupun sesetengah kita masih belum puas menjadi dewasa.
Kematian akan tiba jua tanpa diundang walaupun sesetengah kita masih seronok membilang hari yang menyeronokkan di dunia ini.

Dan. Bersedia atau tidak.

Kelas-kelas untuk semester baru sesi Januari 2010 akan bermula Isnin depan walaupun antara kita mungkin ada yang belum bersedia sepenuhnya. Kerana hakikat hidup memang begitu. Bersedia atau tidak. Yang terjadi tetap terjadi. Adakalanya kita tiada pilihan pun. Kerana itu adalah "dunia kita" buat masa ini.

Razak Nordin berpesan ; Dedikasi buat sahabat-sahabat perjuangan di Jabatan Pengajian Am PTSS. Lelaki dan wanitanya juga. Tuan. Puan. Dan Cik-Ciknya juga. Bersedia atau tidak. Bolos saja dinding itu. Selamat berjuang buat sahabat-sahabat yang amat berdedikasi.

Saturday, January 9, 2010

Skim DH ; Surat Untuk Sahabatku ; Razak Nordin

Salam..

Saudara Razak

Saudara apa khabar? Di kejauhan ini saya doakan saudara sihat sejahtera hendaknya disamping orang-orang yang saudara sayangi dan kasihi. Saya juga doakan mudah-mudahan rahmat Ilahi sentiasa mengiringi perjalanan hidup saudara. Moga Allah s.w.t. panjangkan umur, murahkan rezeki, ditetapkan Iman di atas akidah yang betul serta dipermudahkan segala urusan dunia menuju akhirat yang kekal abadi. Semoga dunia ini menjadi jambatan yang baik untuk menuju akhirat yang pasti.

Maafkan saya jika warkah yang tidak diundang ini sedikit sebanyak mengganggu ketenteraman saudara. Tetapi sebagai kawan lama rasanya wajar juga untuk saya berkongsi pandangan dengan saudara tentang Skim DH untuk pensyarah politeknik yang sama-sama kita telah pilih itu. Ada orang mengatakan "terpaksa memilih". Terpulanglah. Rela atau terpaksa. Hakikatnya kita sama-sama telah berada di dalamnya. Barangkali tiada lagi jalan pulang dan tiada lagi peluang untuk kembali ke pangkalan jalan.

Saudara Razak,

Saya berpandangan jika tiada jalan kembali, apa gunanya kita menangis sampai keluar air mata darah sekalipun. Tentunya sia-sia sahaja rasanya. Pada saya lebih baik kiranya kita gunakan masa yang ada untuk belajar menerima hakikat serta menyusun strategi untuk mengharungi perjalanan masa hadapan. Saya juga bersetuju dengan ungkapan bahawa langkah seribu bermula dengan langkah yang pertama. Marilah sama-sama kita mulakan langkah pertama bersama-sama. Senang atau susah adalah asam garam yang telah lama merencah dalam hidup manusia.

Saudara Razak,

Dalam kesempatan yang ringkas ini, izinkan saya membawakan dua contoh bagi menjelaskan maksud surat saya ini. Jika contoh perbandingan yang cuba saya bawakan ini tidak sesuai untuk saudara, abaikan sahaja. Namanya pun pandangan peribadi. 

Pertamanya ; 

Realiti hidup manusia di dunia ini tentunya berbeza-beza. Ada yang kaya, ada yang miskin, ada yang sederhana hidupnya, ada yang bahagia, ada yang derita, ada yang sengsara dan segala macam lagi. Manis, pahit, maung, masin, kelat adalah antara istilah yang selalu digunakan orang bagi menggambarkan liku-liku perjalanan hidup ini. Halangan berada di mana-mana. Bukan selalunya bahagia, senang dan mudah. Dan bukan juga selalu derita, sengsara dan diiringi airmata. Adakalanya ia bersilih ganti. Lumrah alam untuk manusia barangkali. 

Persoalannya? Adakah dengan segala halangan serta segala-segala yang tidak "menggembirakan" dalam hidup kita di dunia ini, kita boleh kembali masuk ke dalam perut ibu kerana menyesal dilahirkan lantaran terpaksa menghadapi bermacam "benda yang kita tidak ingini"  dalam hidup ini. Meminta mati tentunya perkara pasti yang amat dilarang oleh agama. Jadi, apa pilihan yang kita ada? Barangkalinya menyusun strategi dan membuat yang terbaik dalam meneruskan perjuangan hidup ini. Dalam kata lain, hidup mesti diteruskan kerana kita telah berada di dunia dan di hadapan kita hanya ada akhirat. Tiada pilihan lain.

Saudara Razak,  

Keduanya ;

Kalau boleh saya buat andaian. Katalah,  kita kini dalam ekspidisi pendakian gunung Kinabalu setelah melalui kesusahan penerbangan dan segala kesusahan lain untuk sampai ke bumi Sabah apatah lagi untuk sampai ke puncak Gunung Kinabalu tentunya. Dan ketika kita sudah semakin hampir sampai ke puncak Gunung Kinabalu, tentunya semua pendaki merasa penat, letih dan sebagainya. Adakah patut ketika itu kita saling menyalahkan, menyatakan penyesalan atau hanya duduk di situ sambil menunggu-nunggu keajaiban akan berlaku tanpa membuat apa-apa kecuali merungut-rungut sahaja? Pada saya ia sesuatu yang tidak wajar dan tidak patut. Ketika itu pada saya, kita hanya ada tiga pilihan, meneruskan pendakian sampai ke puncaknya atau turun balik sebelum sampai ke puncak dan semuanya menjadi sia-sia sahaja. Harus ditanya juga. Berbaloikah kita turun ketika kita sudah hampir sampai ke kemuncaknya.  Atau kita boleh terjun ke bawah "melepaskan" kekesalan, kebencian dan kemarahan kita, lalu kita hilang dan berkubur tanpa nisan entah di mana. Saya berpandangan begini. Mahu tidak mahu, ketika saat-saat yang genting seperti itu, ada baiknya kita bertenang seketika, mengumpulkan tenaga, menyusun strategi terbaik, bekerjasama antara kita dan meneruskan pendakian sampai ke puncak gunung Kinabalu dengan jayanya.  

Saudara Razak,

Begitulah dua contoh yang boleh saya bawakan untuk kita kongsikan bersama. Bandingannya. Hakikatnya, kita telah dan sudah pun memilih atau terpaksa memilih Skim DH. Seperti yang saya katakan di atas tadi. Memilih atau terpaksa memilih, kita telah pun berada di dalamnya. Pada saya, kita tiada banyak pilihan. Yang terbaik ketika ini pada saya adalah "buatlah apa yang patut daripada tidak buat langsung apa-apa yang patut". 

Saudara Razak,

Sebagai kawan lama,  pesan di bawah mungkin ada manfaatnya untuk kita bersama.
"Jika kita menunggu kesempurnaan, tunggulah sampai bila-bila". 

Saudara Razak,

Untuk kali ini, rasanya setakat ini sahaja coretan saya untuk saudara. Jika ada kelapangan masa bolehlah kita berlepak cara moden di facebook atau berbalas email. Jika segan bercakap di telefon. 

Sebelum mengundur diri, izinkan saya memohon maaf jika bahasa yang saya gunakan ada kesilapan di mana-mana, mengguris hati dan juga perasaan saudara. Saya menyerahkan bulat-bulat kepada saudara sama ada ingin menerima atau menolak pandangan saya itu. Pilihan tetap di tangan saudara. Tiada paksaan. Tentunya dari sahabat untuk sahabatnya jua. Sehingga ketemu lagi.

Sahabat lamamu.
Pokok bin Kayu
Politeknik Tepi Tasik
Pauh Ulu
60020
Uara
Lisper.

p.s ; bila nak tambah sorang lagi? Untuk kita-kita aje...huhuhu.... Apa-apa hal emaillah ke alamat email di atas atau jumpa di facebook, kita lepak gaya moden.

Adat Hidup Berkampung ; Tradisi Yang Masih Hidup

Selepas isyak malam tadi, saya bersama En. Hamdan Zakaria (Mede) dan En. Nadzri Che Kamis(Cikkar) sempat juga menghadirkan diri ke tempat penyembelihan lembu di kampung Padang Siding.

Tujuannya.  Bersama-sama untuk menyiang daging lembu untuk kenduri anak lelaki Tuan Pengarah PTSS pada hari ini.
Atas dasar ;
Kata orang "Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing"
Dalam memberi pula "Sedikit tanda ingat, banyak tandanya ada".

Ramai juga staf PTSS yang hadir memberikan khidmat mereka. Tidak ketinggalan juga orang-orang kampung sekitar yang ramai juga bilangannya. Semuanya nampaknya semacam tidak sabar untuk menyiang daging-daging tersebut. Apa tidaknya. Belum pun selesai lembu tersebut dilapah, tukang-tukang siang sudah bersedia di posisi masing-masing.

Dalam "kegelisahan" hidup moden ini. Hati kecil saya tersentuh bukan sedikit. Saya menjumpai sesuatu di sini ; indahnya kebersamaan. Menjurangkan perbezaan, meraikan persamaan. Insyaallah, barangkali hidup ini akan lebih mendamaikan. Buktikan bahawa adat hidup berkampung ; Tradisi yang masih hidup dan akan terus hidup hendaknya kerana antara manusia memang saling memerlukan.


Sempatlah juga saya "tangkap" beberapa keping gambar untuk dimasukkan ke dalam blog ini. Bukan sekadar hiasan. Tapi yang tersirat juga. Iktibar dan muhasabah diri. Demi kesinambungan warisan berzaman.


Kerja-kerja melapah sedang berjalan dengan lancar.


Semuanya tidak sabar menunggu "ketibaan" daging-daging. Terutamanya dua orang yang berbaju kuning.


Masih menunggu "ketibaan".


Antara tukang lapah yang power malam tadi.


Semuanya tekun melapah-lapah...saya pula pisaunya tak lut..tapi dapatlah juga sedikit...frustlah wei...


Antara orang-orang kampung turut sama menyiang daging.(Maaf! Gambar kurang jelas)




Razak Nordin berpesanSesekali teringat juga kepada Pak Pandir dan Mak Andehnya. Hari ini hari orang. Esok hari kita pula. Tak gitu Mak Andehnya. Manusia saling memerlukan.

Friday, January 8, 2010

Jika Gatal, Garulah Sambil Berjalan



"Saya tidak pernah membaca surat-surat cercaan yang ditujukan kepada saya, tidak pernah membuka sampulnya, apatah lagi membalasnya; sebab jika saya menyibukkan diri untuk membaca cercaan tersebut, saya akan kehabisan waktu untk berbuat sesuatu bagi rakyatku," Abraham Lincoln.

Hanya kata-kata manusia biasa.

Bukan dari Quran.
Juga bukan dari hadis Nabi Muhammad s.a.w.
Juga bukan kata-kata sahabat-sahabat Nabi.

Tetapi pengajarannya tetap ada.

Hidup ini ;

19:51Razak
hidup adakalanya begitu

19:52Has
seringkali begittu..

19:52Razak
dan sesekali itulah....
menyebabkan ada antara hati2 yang derita dan sengsara

19:53Has
krn mnjga hati2 insan lain

19:56Razak
aku makin mengerti

Dalam menyelusuri perjalanan hidup seringkali juga kita mengalaminya ;

Merasa malas
Bosan
Kecewa
Menyampah
Hilang arah
Sakit hati
Jemu
Meluat
Gembira
Suka
Tangis
Tawa
Dikritik
Dimaki hamun
Dibenci
Disayangi
Dicerca
Rasa tersinggung
Dimalukan
Diaibkan
Hilang punca
Ditertawakan
Diperlekehkan
Tidak dihargai.

Dan segala macam lagi.

Tapi...ingatlah..

Razak Nordin berpesan ; Itulah barangkali kemuncup-kemuncup yang "menggatalkan kulit"  dalam kehidupan. Anda tidak perlu berhenti. Jika gatal, garulah sambil berjalan. Perjalanan masih jauh jika ditakdirkan.

Gambar ; Yang Tersurat Dan Tersirat

Hanya gambar tanpa cerita tetapi di dalamnya ada "cerita-cerita" ; Yang tersurat dan tersirat juga.

Sekitar Jamuan Kesyukuran dan Hari Jadi Along


Jemputan dari Kg. Kelubi, Pasir Puteh, Kelantan dan Permatang Pauh, Pulau Pinang.




Ummi Niza dan ahli keluarganya




Terima kasih buat semua.


Dan syukur pada Ilahi. Satu tanda barangkalinya nilai ukhwah sesama kita masih utuh. Moga terus utuh. Terima kasih kepada semua yang sudi hadir tanda "ukhwah" masih hidup di sini.

Rombongan Dari Terengganu Menjamu Selera Malam Sebelum Kenduri Sebenar.


Pekena Satay "Solo" Jawa dan macam-macam lagi.






Semoga ikatan kekeluargaan ini akan terus harmoni dan damai selamanya. Untuk kita juga.

Mandi Manda Di Kolam Renang Pauh Inn, PTSS






Semoga semuanya akan bertambah erat.

Razak Nordin berpesan ; Adakalanya tidak perlu bersuara pun. Cukuplah dengan apa yang kita lakukan. Bukti kita sebenarnya saling harga menghargai sesama insan.