Sunday, May 30, 2010

Dunia Yang Semakin Tidak Pelik


Suatu pagi di Negeri Perlis.
Bukan Bandaraya Kuala Lumpur, Johor Baharu atau Bandaraya Georgetown.
Isinya Bihun Sup 3/4 bekas ini. Bersama 3-4 ketul daging tanpa "aksesori-aksesori" lain.
 Harganya :  RM 4.00.

Dua bekas yang hampir serupa.
Harganya : RM 8.00.
Razak Nordin berpesan ; Sesekali barang naik berbaloi juga.

Saturday, May 29, 2010

Sehiris Peria Secawan Madu


Razak Nordin berpesan ; Pahit dan manis....tidak mengapa seandainya kedua-duanya adalah penawar. Asalkan bukan pahit dan manis yang menjadi racun merosak diri.

Wednesday, May 26, 2010

Susah Juga Ye!

Dalam hidup ini.
Adakalanya susah juga ye!!!




Bila disapa dan ditegur, dikatakan menyibuk.
Bila tidak disapa dan ditegur, dikatakan sombong pula.
Bila ambil kisah, dikatakan jaga tepi kain orang.
Bila tidak peduli, dikatakan tidak pedulikan orang keliling dan pentingkan diri sendiri.
Bila lembut-lembut, ada yang ambil kesempatan.
Bila tegas pula, dikatakan keras sangat dan kejam macam Firaun.
Bila buat-buat tidak tahu, dikatakan bodoh dan tidak prihatin.
Bila terlalu ambil tahu, nanti ramai pula yang kantoi dan jadi mangsanya.

Dan macam-macam umpat-umpatan yang muncul.

Dan lagi.
Pergi pun susah, tidak pergi pun susah.
Datang pun susah, tidak datang pun susah.
Keluar pun susah, tidak keluar pun susah.

Razak Nordin berpesan ; Masih relevenkah cerita Pak Pakdir dan Mak Andehnya.......macam-macam masih releven, cuma dalam versi yang sedikit berbeza.

Antara Banyak Cakap Dan Cakap Apabila Perlu


Maka berkatalah yang baik-baik atau diam sahaja.  Nabi pernah berpesan lebih kurang begitulah bunyinya.



Suatu Ketika Dulu.
Seingat saya, semenjak zaman persekolahan lagi saya sudah terlalu acapkali bercita-cita dan berazam untuk menjadi seorang manusia yang pendiam. Dan setiap kali itu jugalah, saya tidak pernah berjaya menunaikan cita-cita dan keazaman saya tersebut.  Kalau pun berjaya, hanyalah seketika sahaja.

Lepas seketika itu, saya akan kembali menjadi Razak Nordin seperti mana saya dilahirkan. Suka bercakap dan memberikan "pandangan" yang kadangkala pandangan tersebut tidak diminta pun. Dan setiap kali itu jugalah, saya sedar bahawa banyaknya hati-hati yang terluka hati dan perasaannya. Oleh kata-kata saya tersebut.

Kepada hati-hati yang pernah terluka oleh kata-kata saya. Pohon maaf saya minta. Sebetulnya, saya tidak pernah bercita-cita dan berazam untuk berbuat begitu.  

Pendiam Dan Tidak Suka Campur Luar "Kawanan"

Dari sudut lain pula, saya sering juga dilihat pendiam dan tidak banyak cakap. Terutama ketika saya dikelilingi oleh orang-orang yang saya tidak kenali. Ketika itu saya lebih selesa menjadi pendengar yang baik dan hanya membuat kesimpulan dalaman sahaja. Faktornya mungkin pelbagai.

Antaranya;
Saya sesekali tidak akan menyertai perbualan orang-orang yang saya tidak kenali walaupun saya "tahu sangat" dan berminat dengan topik yang diperkatakan itu.

Lagi-lagilah jika topik perbualan itu berkisar kepada isu-isu yang saya tiada nafsu dan selera untuk menjamahnya, tambahan pula jika ianya tidak memberikan faedah sangat kepada "kepentingan" saya.

Dan ketika saya masih tersedar akan mesej di bawah ini :-

Dan seperti biasalah, Razak Nordin berpesan lagi. Untuk dirinya dan orang lain juga.
Razak Nordin berpesan ; Dan hari ini buat kesekian kalinya saya bercita-cita dan berazam lagi untuk menjadi manusia pendiam dan bercakap hanya apabila perlu. Sekali lagi saya berazam.

Tuesday, May 25, 2010

Ibrah Dua Batang Paku


Dalam tempoh seminggu dua ini, sudah dua kali tayar Innova saya ditembusi paku yang hampir serupa.


Sabotaj atau takdir. Saja saya cuba membuat spekulasi rambang.

Pertama    : Kerana kedua-duanya berlaku pada tayar belakang.
Keduanya : Kerana pakunya pula hampir serupa. 
Tayar belakang sebelah kiri.
Kejadian 1
Disedari pada hari Isnin minggu lepas semasa kami sekeluarga bersiap-siap untuk pulang ke politeknik dari Taman Lela, Kamunting Perak.  Bilakah masa ia "mencucuk" entahlah. Entah lama, entah baru.

Tetapi syukur alhamdulillah, ianya disedari awal dan tindakan sewajarnya telah diambil sebelum meluncur di lebuhraya Utara-Selatan yang digunakan oleh pelbagai macam ragam pemandu. Banyak yang "menyesakkan" perut dari yang mendamaikan jiwa. Oleh itu tayar perlu dalam keadaan baik semasa memandu di lebuhraya.
Tayar belakang sebelah kanan.

Kejadian 2
Disedari lebih awal tetapi pedulinya agak kurang. Memandang tanpa "mata hati" selalunya jarang memberikan sesuatu yang luar biasa.

Alhamdulillah.
"Disedari dengan ambil pedulinya" pada petang semalam kerana didapati tayarnya agak kempis jika dibandingkan dengan tayar-tayar yang lain. Padahal saya telah mengepam semua tayar tersebut pada petang jumaat yang lepas. Logik akal tidak membenarkan saya menerimanya sebagai kejadian biasa. Tambahan pula tiga biji tayar lain dalam keadaan masih stabil.

Tengahari tadi, keluar dengan serampang dua mata.
Mata pertama :-ke HPA Guar Sanji untuk mendapatkan bekalan-bekalan yang sepatutnya.
Mata kedua :- sempatlah saya singgah sebentar di kedai tayar berhampiran sebelum sampai ke HPA Guar Sanji tersebut.

Rupanya.
Paku lagi.
Padan pun.

Ibrahnya
Beringat-ingat dan berwaspadalah selalu dalam menempuh hidup yang di hadapannya terbentang pelbagai kemungkinan dan "kebetulan" ini.

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Waspada dengan kelalaian yang memusnahkan.

Razak Nordin berpesan ; Hidup ini banyak kemungkinan dan kemungkinan berada di mana-mana.  Ibrah dua batang paku.

Dan ingatlah.

Pada setiap kejadian itu ada ibrah(pengajaran) untuk orang-orang yang berakal.

Monday, May 24, 2010

Apabila Fizikal Mula Memberi Isyarat


Mengikut sifir matematiknya, saya akan berumur 38 tahun pada 4 Julai 2010.


Sepatutnya masih muda, bertenaga dan sihat walafiat. 

Tetapi saya mesti menerima hakikat bahawa tenaga dan kudrat saya tidaklah "semuda" usia saya lagi. Kalau pun masih ada yang "berjiwa muda" mungkin "semangat perjuangan harmoni" yang terselindung di sebalik tenaga dan kudrat yang semakin menurun ini. Terselindung disebalik banyak impian yang belum tercapai.  

Rupanya.
Ketuaan upaya itu datang tanpa saya sedari.
Ia datang bersama meningkatnya umur dari hari ke hari. Bukan sekaligus, tetapi sedikit demi sedikit.

Tanpa saya sedar bila titik mulanya. Tetapi fizikal saya sudah agak lama merasai dan menanggungnya.

Peringatan Itu.

Badan selalu lenguh-lenguh yang tidak diketahui "asal usulnya".
Pinggang pula selalu sakit-sakit dan lenguh-lenguh.
Kepala pula selalu pening-pening dan sakit-sakit.
"Batang tengkok" pula selalu tegang menegang.
Tidur malamnya pula selalu sangat diganggu mimpi-mimpi yang memenatkan.
Larian pula tidaklah sepantas dulu-dulu lagi.
Hayunan kaki sudah mula longlai dan terus longlai.
Berdiri pun tidaklah setegap dulu-dulu lagi.
Melangkahnya sedikit, mengahnya pula berlebih-lebih.
Suara dulu-dulu "garangnya" bak halilintar mula bertukar menjadi semacam beduk dihujung kampung.

Cuma rambutnya masih belum beruban.

Semuanya datang seakan tiada penawar dan jalan "pulang" lagi.

Pelbagai cara dicuba dan diusahakan. Tetapi yang tua tetap tua. Yang lama tetap lama. Rupa luaran mungkin nampak gah, tetapi upaya tenaga tidaklah segah dulu-dulu lagi.  

Kepada yang masih mula dan bertenaga.
Tidak perlulah anda bayangkan bagaimana rasanya.

Tunggulah.
Suatu hari nanti, semua itu akan hadir juga dalam hidup anda. Cepat atau lambat, ia sesuatu yang pasti. Ketika itu barulah anda dapat memahami sambil merasai apa yang saya maksudkan di atas.

Sehebat mana pun kita suatu ketika dahulu, ingatlah bahawa kita tidak akan perkasa selamanya.
Walau apa pun rintangannya sepanjang perjalanan hidup ini :-
Razak Nordin berpesan ; Peringatan Allah s.w.t. untuk manusia yang masih mahu berfikir.

Sunday, May 23, 2010

Hanya Sebaris Ayat

"Berikan apa yang mereka perlu, bukan apa yang kita tahu"



Razak Nordin berpesan ; Manusia selalu meminta apa yang dimahukan, Allah s.w.t. memberikan apa yang manusia perlukan.

Saturday, May 22, 2010

Dilema Manusia "Bertamadun"

Salah satu koleksi di hadapan rumah saya. Koleksi lain sedia dimasukkan dalam "facebook" jika keadaan masih tidak berubah dalam masa terdekat. Saya tidak mempunyai kekuatan untuk menegurnya secara lisan. Biarlah "facebook" yang menegurnya bagi pihak saya.
Koleksi di tempat awam dalam "wilayah" yang sama. 

Saya tidak mempunyai bahasa yang indah-indah dan mulus-mulus untuk menjelaskan perlakuan "bertamadun" di atas.

Tetapi sebagai manusia biasa, saya kecewa dengan apa yang terjadi kerana ia berlaku di tempat awam dan umum. Kalau di dalam rumah sendiri, terpulanglah kepada "bidang kuasa" tuan rumah tersebut.  Jika di tempat umum, kepentingan bersama perlu dijaga secara kolektif juga. Hak masyarakat awam mestilah dijaga. Bukan sunat, harus dan makruh lagi. Malahan wajib. Apabila ia adalah hak, maksudnya ia adalah suatu kewajipan yang mesti ditunaikan. Dan berdosa jika diabaikan.

Susah Sangat Ke? Suatu Bandingan.
Susah sangat ke???

Untuk membuang air kecil atau membuang air besar dalam mangkuk tandas yang disediakan. Kenapa memilih untuk di"sembur" di dinding tandas atau di bawah tangga!!! Antara realiti yang ada berlaku dalam masyarakat "bertamadun" ini yang pernah saya jumpai. Di banyak tempat, masa yang berbeza.

Walaupun saya tahu bahawa kedua-dua air itu adalah air milik "peribadi". Saya tidak peduli jika ia berlaku di dalam rumah empunya air-air itu sendiri. Di dalam rumah sendiri, terpulanglah di mana sahaja yang disukai untuk dibuang air kecil dan besar itu. Tetapi jika di tempat awam kedua-dua air tersebut mestilah dibuang di dalam mangkuknya supaya ia tidak menganggu kebahagiaan dan kedamaian hidup orang lain.

Begitu Jugalah Dengan Sampah!!!
Dan susah sangat ke???

Untuk membuang sampah ke dalam tong sampah. Di rumah sendiri buanglah sampah di atas tilam di bilik tidur utama jika "kemaruk" sangat. Buanglah air kecil dan air besar milik peribadi itu, di mana sahaja yang dikehendaki. Tiada siapa yang ingin ambil peduli pun. Dan tidak ada manfaat pun kepada kepada orang lain untuk diambil tahu walaupun sekecil zarrah. Di dalam bilik tidur boleh, di dapur boleh, di ruang tamu boleh, dalam periuk boleh, atas meja makan pun boleh.

Pilih mana-mana tempat yang sesuai dengan selera masing-masing. "Selamat berbahagia" diucapkan.

"Ikut akulah"
Pada saya hanyalah "boleh digunakan" di dalam rumah sendiri. Bukan diluar rumah sendiri atau ditempat awam.

Cukuplah.

Razak Nordin berpesan ; Hayatilah hadis-hadis di bawah. Mudah-mudahan masih ada jalan pulang untuk kita yang pernah tersesat :-

1. Hadis Anas bin Malik r.a:

Nabi s.a.w telah bersabda: Tidak sempurna iman seseorang itu, sebelum dia mengasihi saudaranya atau baginda bersabda: Sebelum dia kasihkan jiran tetangganya, sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 64
(Sumber)


2. Hadis Abu Hurairah r.a katanya:

Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Begitu juga sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 67
(Sumber)

3. Hadis Abu Syuraih Al-Khuza'iy r.a:
Nabi s.a.w bersabda: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 69
(Sumber)

Friday, May 21, 2010

Jawapannya Sepuluh, Kitakah Itu







Cerita 1

Tulisan di dinding sebuah tandas awam

"Dilarang menconteng di sini"
"Sapa yang conteng ni"
"Tak faham-faham ke, orang kata jangan conteng di sini"
"Tulah, tak reti-reti ke"
"Bukan aku yang contenglah bro"
"Sapa pulok pakat conteng"
"Woi, takdak akal ke, conteng dinding tandas awam"
"Yang hang pakat conteng tu pasal pulok, akhirnya habis dinding sudah terconteng".


Cerita 2
Ketika sedang solat berjemaah.

Watak 1 " Lepas solat nanti kita singgah pasaraya jap ye" beritahu seorang sahabat kepada sahabat di sebelahnya.

Watak 2 "Woi, masa solat mana boleh bercakap"

Watak 3 "Kamu berdua sama sahaja, mana boleh bercakap masa solat, batal solatnya".

Razak Nordin berpesan ; !!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Thursday, May 20, 2010

Jom Pakat Baling Seorang Sebiji.

"Kita jangan merasa kecil dengan sumbangan-sumbangan yang diberikan kepada kerja-kerja Islam".


Bandingan.

"Jika hanya kita seorang sahaja yang melemparkan batu ke dalam kolam atau tasik tentunya gelombang dan geloranya hanya seketika. Mungkin(dibaca pasti) sebiji batu yang telah kita lontarkan itu akan lenyap ditelan keluasan dan kedalaman kolam tersebut. Tetapi bayangkan kalau ramai yang membalingnya. Akhirnya lambat laun kolam atau tasik yang luas dan dalam itu akan penuh dan mula terkesan dengan batu-batu yang dilemparkan itu".

Begitulah kurang lebih intipati lontaran pandangan yang diberikan oleh salah seorang sahabat dalam usrah bulanan staf politeknik malam tadi. Dengan sedikit pengubahsuaian atau olahan untuk bahasa penulisan tetapi tidak lari dari maksud asalnya.
 
Reaksi kepada muqaddimah kepada teks usrah "30 Cara Mengabdi Pada Agama".
Saya pun tidak pasti sama ada lontaran pandangan itu ada kaitan atau tidak dengan "luahan hati" saya sebelum itu dengan "tahap kepedulian" sebahagian manusia di sekeliling hidup kita semua terhadap banyak perkara yang berkaitan dengan agama dan kebajikannya. Respon awal saya dengan apa yang  dibincangkan dalam muqaddimah kepada teks usrah malam tadi. 

Maksud saya.

Nisbah yang kisah jika dibanding dengan nisbah yang tidak kisah pun. Sama ada sedikit atau banyak tidak kisahnya itu. Sekejap atau selamanya.

Jurang!!!
Pada saya jurangnya terlalu jauh.
Golongan "lantak le", ibarat kata orang Perak, masih terlalu ramai jika dibandingkan dengan manusia-manusia yang kisah dan mengambil tahu tentang agama yang dianutinya sendiri sama ada secara ikut-ikutan atau benar-benar mahu ikut. Dan insyaallah, pasal kepedulian itu saya akan cuba kongsikan dalam tulisan yang lain pula.  

Saya sokong!!!!

Dan saya menyokong dan bersetuju dengan pandangan tersebut. Dengan sesungguhnya. Dengan sepenuh dan rela hatinya.

Pilihlah.
Yang berkereta datang memandu.
Yang bermotor datang "berempit".
Yang kuat datang berlari.
Yang "kurang kuat" datang berjalan.
Yang pening datang berpapah.
Yang buta datang berpimpin.
Yang kecil datang berdukung.
Yang tua datang bergalas. 
Yang sakit lutut datang bertongkat.
Yang tidak mampu berjalan datang merangkak.
Yang tidak mampu merangkak datang berusung.
Yang patah sayapnya, bertongkatlah dengan paruh.

Apa yang penting.
Jomlah Pakat Baling Seorang Sebiji.

Lama-lama penuhlah kolam atau tasik itu, Insyaallah.

Razak Nordin berpesan ; Bersedia!!! Ke garisannnnnn..Pummmmmm.
Yang pantas meluru gagah ke garisan, yang perlahan sedaya mungkin "mengikut angin" yang pantas itu. Insyaallah, semuanya akan sampai ke garisan penamat dengan selamat dan sejahtera. Kerana kita bukan mencari pemenang nombor wahid.

Wednesday, May 19, 2010

Transformasi Politeknik : Bilik Kuliah Kondusif : Pra Syarat Kecil Tetapi Perlu


Maaf.
Mungkin perkara ini dianggap remeh dan kecil kepada sesetengah orang. Tetapi kepada saya ianya perkara kecil TAPI BESAR.

Ini merupakan kali kedua saya menulis tentang perkara yang hampir serupa.
Dan tulisan ini tanpa prejudis.

Kalau pun tidak banyak, harapnya adalah juga "perkaitannya" dengan transformasi politeknik.

Kali pertama  saya menulis di bawah tajuk Suasana Kondusif Penting Dalam Proses Pengajaran Dan Pembelajaran   iaitu pada 2 Mac 2010.

Tulisan kali ini lebih kepada respon ringkas saya terhadap cita-cita dan harapan politeknik untuk melakukan transformasi supaya lebih berdaya saing dalam era globalisasi pendidikan ini.

Majlis Pelancaran Transformasi Politeknik telah diadakan pada 25 Februari 2010 bertempat di Putrajaya International Convention Center (PICC) yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pelan Transformasi Politeknik ini adalah untuk meningkatkan prestasi institusi pengajian tinggi tempatan agar menjadi institusi bertaraf dunia. Usaha ini sememangnya memerlukan penekanan terhadap kualiti, daya saing, kreativiti dan inovasi.

Transformasi ini merupakan langkah awal strategik mempersiapkan iklim dan persekitaran sesuai untuk menyediakan apa sahaja ramuan dan syarat menjadikan Malaysia sebagai pengajian tinggi antarabangsa.

Diharap transformasi ini dapat menghasilkan institusi pengajian tinggi yang benar-benar mampu menggalas cita-cita negara dalam melahirkan modal insan yang unggul dan menguasai nilai dan kemahiran yang tinggi.
(Sumber)

Sebagai sebahagian warga politeknik, saya turut menghargai cita-cita dan harapan politeknik seluruh Malaysia untuk melakukan tranformasi ini dan mahu tidak mahu saya terlibat secara langsung sama ada secara suka rela atau paksa rela.

Tetapi saya orang kecil dan selalunya tidak mampu untuk menjenguk dan melihat apa yang sedang berlaku di atas. Dengan kerendahan itu sesekali dan acapkali saya  hanya mampu melihat di bawah.

Perlunya Bilik-Bilik Kelas Berhawa Dingin.

Oklah.
Beralih ke bahasa mudah. Terus kepada apa yang ingin dimaksudkan dengan tulisan ini.

Cuma satu perkara yang ramai tenaga pengajar yang pernah saya jumpa termasuk saya sendiri mengeluh iaitu tentang kepanasan suhu yang melampau di dalam bilik-bilik kelas. Dan itu merupakan antara cabaran terbesar buat masa ini. Jika dibandingkan dengan di dalam pejabat, kontranya amat jelas.

Tanpa perlu "bercakap banyak" dan "berjalan-jalan" banyak di dalam pejabat, penghawa dingin disediakan demi keselesaan bekerja. Tetapi sebaliknya di bilik-bilik kelas yang perlu "banyak bercakap" dan "berjalan-jalan banyak" itu hanya disediakan kipas untuk memutar-mutar udara yang sedia panas dan membahang itu. Sudahlah kipas di bahagian depannya pula tiada.

Peliknya seumpama sesetengah surau dan masjid yang pernah saya singgahi. Kipas hanya untuk makmun, sedangkan imam dibiarkan kepanasan tanpa kipas. Sedangkan yang sepatutya berkipas atau dan berhawa dingin Tuan Imamnya yang terpaksa membaca surah-surah ketika orang lain menadah telinga untuk mendengar bacaan tersebut.

Pada saya kepanasan dan prestasi proses Pengajaran Dan Pembelajaran sesuatu yang sinonim. Bukan sahaja kepada tenaga pengajar malahan kepada para pelajar juga. Barangkali kebanyakan orang faham tanpa perlu saya menjelaskannya secara lebih lanjut lagi.

Pengalaman Sebenar
Barangkali di sini saya boleh berkongsi dua pengalaman yang berbeza tetapi mempunyai maksud yang serupa.

Pertama.
Saya sendiri pernah mengalaminya sendiri. Betapa tidak selesanya mengajar dalam suasana dan keadaan seperti itu. Muka jadi berminyak-minyak dan peluh mengalir ke serata badan di mana sahaja ada "laluan" yang boleh dilalui.  Badan pula melekit-lekit dan berbau tengit. Kalau saya yang "free hair" pun merasa bahangnya, saya tidak tahulah bagaimana rasa bahang yang dirasai oleh wanita-wanita muslimah yang bertudung atas tuntutan agama itu.

Kedua.
Saya berkesempatan untuk melakukan pemantauan terhadap Proses Pengajaran dan Pembelajaran bagi pensyarah-pensyarah seperti yang telah diamanahkan kepada saya. Tahniah untuk mereka-mereka yang tabah dalam menyahut cabaran. Saya yang hanya duduk di belakang pun terasa betapa tidak selesanya, tidak tahulah empunya badan bagaimana pula rasanya. Dan saya tidak berani menilai bagi pihak mereka. Tetapi reaksi mereka bagaikan menunjukkan bahawa mereka juga tidak selesa. Tambahan pula apabila bercakap dan berjalan-jalan sepanjang kelas berlangsung.

Berikut adalah beberapa keping gambar yang sempat saya ambil untuk dimasukkan ke dalam tulisan pada kali ini. Bukti apa yang saya cuba maksudkan di atas.
Kondusif-kondusif lain bolehlah dibaca dipautan yang telah saya pautkan di atas tadi. Untuk kali ini, rasanya cukuplah setakat ini dulu.

Razak Nordin berpesan ; Ketika saya mula rasa bosan dengan kerjaya ini. Masih adakah jalan keluar yang lebih membahagiakan. Entahlah.

Tuesday, May 18, 2010

Sebuah Pesanan Ringkas Untuk Saya Dan Anda

Jangan hairan apabila anda menghadiahkan sebatang pen kepada orang bebal, lalu dia menggunakan pen itu untuk menulis cemuhan dan cacian serta makian kepada anda. 

Dan anda tidak perlu hairan juga, jika orang yang anda berikan tongkat untuknya bertahan dan melangkah, sebaliknya menggunakan tongkat itu untuk memukul kepala anda.

Itu semua tabiat semula jadi manusia yang selalu mengingkari dan tidak pernah bersyukur kepada Penciptanya sendiri Yang Maha Agung lagi Maha Mulia.

Razak Nordin berpesan ; Semakin popularkah perkataan "sudah hilang kepercayaan". Entahlah sama ada lahirnya bersama kepercayaan atau lahirnya bersama ketololan.

Monday, May 17, 2010

Mesin ATM Bank Islam Mula Beroperasi Di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin

Bermula Jumaat lepas bersamaan 14 Mei 2010, mesin ATM Bank Islam mula beroperasi dan boleh digunapakai oleh semua warga Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin(PTSS), Arau, Perlis serta penduduk sekitarnya.

Kewujudan mesin ATM Bank Islam ini amat besar ertinya terutama kepada para pelajar PTSS walaupun ianya mengambil masa yang agak lama juga untuk menzahirkannya. Dan kepada diri saya sendiri juga, beroperasinya mesin ATM ini tentunya mempunyai ertinya yang tersendiri dan penuh makna.

Sebabnya.

Selama beberapa tahun saya diamanahkan sebagai Penyelaras Maklum Balas Pelanggan Unit Kualiti PTSS, inilah antara isu yang paling banyak diadukan sama ada oleh para pelajar sendiri dan juga oleh ibubapa serta para penjaga para pelajar. Secara lisan dan juga melalui surat-surat rasmi yang dihantar kepada pihak pengurusan dan dipanjangkan ke Unit Kualiti khasnya untuk perhatian dan tindakan Penyelaras Maklum Balas Pelanggan. Dan isu ini tidak pernah terhenti sehingga dikatakan pernah "di bawa" sampai ke Putrajaya. Saya memahami "hasrat dan cita-cita" para pelajar, ibu bapa serta penjaga mereka. Dan perkara ini pernah dibawa ke Mesyuarat Pengurusan untuk mencari jalan penyelesaiannya.

Akan tetapi apabila sesuatu perkara itu melibatkan pihak ketiga, ianya bukan sesuatu mudah untuk disegerakan dan diselesaikan dalam masa yang singkat. Dalam lain perkataan, ianya di luar bidang kuasa pihak Pengurusan PTSS. Mungkin ianya terpaksa melalui banyak prosedur yang kita sendiri pun tidak tahu dan faham sangat mengenainya.

Alhamdulillah.
Hasil berkat usaha semua pihak atas komposisi masing-masing serta dengan keizinan Allah s.w.t. jua, akhirnya mesin ATM Bank Islam dapat diwujudkan di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis.

Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau pun secara tidak langsung sehingga wujudnya mesin ATM ini.

Dan saya menulis kali ini sebagai Mantan Pengurus Kualiti dan Mantan Penyelaras Maklum Balas Pelanggan PTSS yang pernah terlibat secara langsung dalam perkara ini. Isu mesin ATM adalah antara isu yang pernah "memenatkan dan memeningkan" kepala  juga suatu ketika dahulu.

Sekarang tidak lagi.
Begitulah harap-harapnya.

Razak Nordin berpesan ; Sekali lagi. Terima kasih kepada semua pihak yang berkenaan.

Sunday, May 16, 2010

Warung Kita

Selalunya.
Apabila kami sekeluarga pulang ke Jalan Limbat, Taman Lela Satu, Kamunting, Perak, pagi esoknya kami akan keluar untuk sarapan pagi di "warung" Nasi Lemak Warong Muhibbah.

Lokasinya di Jalan Tupai, Taiping Perak.
Jika dari Zoo Taiping, anda perlu membelok ke kiri apabila sampai ke bulatan kecil di hadapan Flamingo Hotel, melalui sedikit kawasan perkuburan Cina sehingga sampai di simpang tiga di penghujung jalan tersebut. Di sebelah kiri simpang tiga tersebutlah, anda akan berjumpa dengan warung tersebut.

Antara menu utama yang anda boleh mencubanya ;
1. Nasi lemak dengan pelbagai macam lauk tetapi untuk memakan nasi lemak, anda terpaksa melalui proses layan diri dengan beratur bagi mendapatkannya. Menu-menu lain akan diambil "order" macam kebiasaan.
2. Soto Jawa
3. Bihun Sup
4. Dan lain-lain menu yang saya pun tidak pernah ambil tahu pun sebenarnya.

Menu wajib saya setiap kali ke warung ini ialah sama ada Bihun Sup(Bihun Sup Soto Jawa) atau Soto Jawa. Setakat ini rasanya tidak pernah mengecewakan deria rasa saya. Mungkin ianya kena dengan selera saya.

Kepada sesiapa yang kebetulan bercuti di Taiping, tidak salah rasanya untuk mencuba. Kata orang, mengubah selera sekali sekala.  

Untuk memakan Nasi Lemak, anda perlu beratur terlebih dahulu. Ukuran "sedapnya" yang mungkin boleh diukur dari pandangan "sambutannya".
Maaf, saya tidak mencubanya. Kerana saya sebolehnya mahu "berpatah arang" lama dengan nasi lemak.
Masing-masing tidak sabar menunggu "ketibaan" Soto Jawa dan Bihun Sup.
Antara peminat Bihun Sup..
Dah sampai dah...Tambah sikit sambal kicapnya.  Bismillah. Jemput makan.
Dan jangan lupa "Mai Secawan" Kopi Radix yang "ori" punya. Palsu-palsu minta dijauhkan.

Razak Nordin berpesan ; Makan-makan juga, kesihatan jangan dilupa. Makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang. Itu yang diajarkan oleh Nabi junjungan.

Perasmian Pusat Islam Luqman Al Hakim, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin


Sebagai Pengerusi Pusat Islam Sesi Januari 2010, saya ingin mengucapkan ucapan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua AJK Pusat Islam yang membantu bagi menjayakan Majlis Perasmian Pusat Islam Luqman Al-Hakim Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau Perlis yang telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL pada 14 Mei 2010.

Terima kasih kepada Pengetua Kamsis yang banyak berkorban walaupun kurang sihatnya. Kesakitan fizikal yang banyak diselindungkan di sebalik amanah dan tanggungjawab. Hanya jauhari yang tahu manikamnya.

Terima kasih kepada semua yang dicatatkan namanya dan yang tidak sempat dicatatkan nama di pokok-kayu.blogspot.com. Yang sempat dirakamkan gambar-gambarnya serta yang tidak sempat dirakamkan gambar-gambarnya.

Yang sempat dirakam..lepas tu bateri "kong". Makanya banyaklah yang terlepas rakam.
Para pelajar yang membantu menyiangkan daging pada malam Jumaat. Terima kasih buat semuanya. Bertahan hingga jam 1 pagi. Pensyarahnya adalah seorang dua. Mungkin maklumat tidak sampai.......
Cabaran Pengimarahannya.
Rasmi pun sudah.
"Perabis" duit pun sudah.

Tugas berikutnya yang masih menanti tentunya lebih berat iaitu pengimarahannya. Tiada gunanya Pusat Islam yang tersergam indah itu dan banyaknya duit yang telah dilaburkan untuk memperindahkan fizikalnya sedangkan pengisian rohaninya kosong dan hambar.

Razak Nordin berpesan ; Cabaran untuk semua Muslim Mukmin yang masih ada Iman walau hanya sebesar zarrah cuma. Berganding bahu, bukannya meleraikan ikatan serta simpulan.

Untukmu Para Muallimin Wal Muallimat

Dikesempatan ini, saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada :

1. Semua guru yang pernah mengajar dan mendidik saya semasa bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Jejulong, Marang, Terengganu, juga semasa persekolahan menengah saya di SHAMS, Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan kalian. Maaf kerana saya tidak mampu untuk menyenaraikannya seorang demi seorang walaupun sebahagian besar nama-nama guru kalian masih terpahat di hati ini.

2. Isteri saya yang penuh tabah menukar opsyen menjadi Guru Pendidikan Khas. Tiada hari tanpa cerita tentang "kemeriahan" menjadi Guru Pendidikan Khas dan juga "kemeriahan" di pendidikan khas itu sendiri. Manis, masam, kelat, pahit, tawar, maung, masam. Semuanya ada dan terangkum menjadi pelbagai cerita.

3. Abang dan adik saya yang juga merupakan seorang guru.

4. Semua kawan-kawan yang sedang menjadi guru dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Tiada "glamour", hanya kesabaran dan ketabahan yang banyak dalam mendidik serta menghadapi pelbagai karenah pelajar-pelajar zaman moden dan penuh kecanggihan ini. Meraikan zaman mereka yang perlukan bukan sedikit kebijaksaan dan penuh hikmah.

Razak Nordin berpesan ; Untuk anda semua, terimalah ucapan :-

SELAMAT HARI GURU. 

Saturday, May 15, 2010

Dua Malam, Suatu Petang, Tiga Peristiwa Dan Sebuah Doa

Dalam konteks agama.
Mungkin boleh saya katakan, itulah mungkin barakah doa sebelum perjalanan, suatu amalan yang tidak pernah saya lupakan sebelum memulakan perjalanan. Dekat atau jauh. Semoga perjalanan sentiasa dilindungi Allah s.w.t dari segala kejadian-kejadian yang tidak diingini.

Dalam konteks adat dunia.
"Nasib baik" mungkin masih menyebelahi saya dalam tiga situasi tersebut.

Situasi 1
Malam semalam.
Ia terjadi semasa kami sekeluarga dalam perjalanan ke RCH di Jelempok selepas Maghrib. Dalam "samar-samar kegelapan itu" sebelum sampai ke simpang tiga Kodiang, tiba-tiba seorang lelaki melintas di hadapan kereta yang saya pandu. Kurang lebih 10 meter jaraknya. Tetapi alhamdulillah, barakah dan nasib baik itu masih berpihak kepada saya. Tetapi terkejut saya bukan sedikit dengan kejadian itu. Dan dia berlalu tanpa rasa bersalah pun.

Situasi 2.
Petang tadi.
Berlaku di Lebuhraya Utara Selatan menuju selatan di kawasan Pendang kalau tidak silap saya. Ketika saya cuba memotong sebuah treler panjang, tiba-tiba tidak semena-mena treler se"panjang" itu termasuk sedikit ke lorong tengah sedangkan tidak ada "apa-apa" yang perlu dipotongnya. Sangkaan saya kemungkinan pemandunya terlelap atau terkhayal seketika dan pada saya ia tidak sepatutnya berlaku untuk sebuah treler "sepanjang" itu di laluan lebuhraya. Kecut perut juga seketika. Dan sekali lagi barakah doa dan nasib baik itu masih berpihak kepada saya.

Situasi 3.
Awal malam tadi.
Berlaku selepas kami melepasi Plaza Tol Bukit Merah menuju ke Kamunting. Awal malam yang baru masuk seketika masuk waktu maghribnya, tiba-tiba seorang Mak Cik yang sedang bercakap dengan seseorang yang berada di kanan jalan melintas jalan dalam keadaan tergesa-gesa "tidak jauh" di hadapan kereta saya. Entahlah apa puncanya saya tidaklah pasti. Barangkali dia "terlalai" dan tidak perasan kehadiran kereta saya. Dalam keadaan terkejut itu, alhamdulillah, sempat juga saya menekan brek sambil mulut "membebel-bebel" panjang juga. Dan sekali lagi barakah doa dan nasib baik itu masih berpihak kepada saya.


Sama ada apa yang berlaku itu suratan atau kebetulan.
 
Doa yang dipohon kepada Allah s.w.t. setiap kali sebelum memulakan perjalanan atau pengembaraan rasanya telah acapkali menyelamatkan kami semua. Syukur, alhamdulillah. Moga rahmat Ilahi sentiasa berpihak kepada kita semua.
 
Razak Nordin berpesan ; Apabila kamu berazam, maka bertawakallah kepada Allah s.w.t.

Album KPIM Jan 2010

Gambar-gambar sekitar Kem Pembinaan Insan Mulia(KPIM) Sesi Jan 2010 yang dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Am dengan kerjasama Pusat Islam dan Kamsis PTSS.
Sekitar Majlis Perasmian Pembukaan oleh Tuan Pengarah PTSS, Tuan Hj Md. Noor bin Baharom

Forum Cinta Kampus
Majlis Perasmian Penutup oleh Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Puan Najmiah binti Haji Abdullah









Razak Nordin berpesan ; Semoga ketemu lagi...